saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/03/2012

Bunohan memang kelas A!


BIARPUN seketika, kemunculan Tengku Azura membangkitkan emosi tersendiri.


JUJURNYA, saya cukup teruja untuk menonton filem cereka kedua arahan Dain Iskandar Said berjudul Bunohan ini yang mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula semalam (8 Mac).

Selepas ‘kecewa’ kerana filem pertamanya, Dukun gagal ditayangkan atas faktor sensitiviti, sudah pasti ramai lagi yang mahu menonton buah tangan terbarunya itu.

Apatah lagi, filem tersebut sudah menjelajah dunia dengan menyertai festival filem antarabangsa selain ditayangkan di sirkit sinema dunia serta ulasan pengkritik filem asing tentang Bunohan yang rata-rata mendapat kritikan yang sangat positif dan pujian tinggi melangit.

Apabila cerita tentang Bunohan bertebaran di seluruh dunia sehingga mampu menembusi makalah ternama seperti Variety dan The Hollywood Reporter, sudah tentu ada sesuatu yang cukup istimewa tentang Bunohan.

Ternyata keghairahan menanti tayangan Bunohan turut dirasai oleh sebahagian besar anak seni tempatan dan semua itu dapat dilihat pada malam gala yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bayangkan, lebih daripada 50 orang selebriti dan orang kenamaan membanjiri pawagam tersebut yang jarang dilihat dalam mana-mana tayangan perdana filem tempatan sebelum ini.

Jika ada sekalipun, hanya filem-filem hebat seperti Puteri Gunung Ledang (2004) dan Embun (2002) sahaja yang pernah melalui situasi yang serupa sebelum ini.

Tidak menunggu lama, saya memasuki panggung dengan minda yang kosong dan tidak mahu menjadi berat sebelah hanya kerana Bunohan telah mencatatkan kejayaan membanggakan.

Liga tersendiri

Sepanjang berada di dalam panggung selama hampir dua jam, pelbagai perasaan saya alami sewaktu menonton filem ini.

Bukan sengaja mahu memberi pujian melambung, tetapi Bunohan memberikan pengalaman baru untuk saya selepas sekian lama tidak menonton filem tempatan yang benar-benar memberi kepuasan.

Jujurnya, Bunohan bukan sebuah filem komersial kerana ia tidak dibarisi pelakon popular yang memiliki wajah kacak dan menjadi kegilaan ramai.

Sebaliknya, kekuatannya terletak kepada lakonan hebat dan mantap para pelakon yang kesemuanya adalah lelaki yang telah memberikan dimensi baru dalam sinema tempatan.

Sehinggakan saya berfantasi untuk melihat Bunohan tersenarai dalam lima kelompok terbaik untuk Anugerah Screen Actors Guild tahun depan sekali gus memenangi Outstanding Performance by a Cast in a Motion Picture.

Mungkin agak keterlaluan fantasi itu tetapi itulah realitinya apabila menonton Bunohan kerana kesemua pelakonnya termasuk watak pembantu memberikan persembahan yang baik dan seimbang.

Meskipun semuanya adalah pelakon hebat dan terbaik, mereka langsung tidak membayangi antara satu sama lain. Setiap watak diceritakan dan ditonjolkan dengan baik sekali.

Di sini terletaknya kebijaksanaan Dain selaku pengarah dan syabas diucapkan kepada beliau kerana memilih pelakon yang berkualiti untuk membawakan watak-watak dalam Bunohan.

Secara peribadi, saya cukup menggemari lakonan Pekin Ibrahim sebagai Bakar yang mampu membangkitkan rasa benci dan meluat secara perlahan-lahan.

Di sebalik imej ‘budak baik’ dengan sentiasa berpakaian kemas, rupa-rupanya dia adalah syaitan yang bertopengkan manusia sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi melunaskan impiannya.

Bukan hanya Pekin tetapi lakonan Faizal Hussein juga begitu memberangsangkan sebagai seorang pembunuh upahan.

Watak Ilham yang dilakonkan oleh anak kepada pasangan seniman dan seniwati legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail ini membuktikan bahawa dia sebenarnya pelakon yang versatil.

Satu-satunya bunga di dalam barisan pelakon Bunohan yakni model terkenal, Tengku Azura juga muncul dengan aura tersendiri sebagai Mek Yah, meskipun hanya untuk beberapa babak.

Begitu juga dengan aspek penceritaan yang saya sifatkan begitu ringkas. Bagi saya, cerita tentang kepincangan hubungan antara adik-beradik sehingga menimbulkan dendam kesumat dan kebencian memang sesuatu yang biasa kita tonton.

Tetapi keunikan cerita yang diolah dengan kemas dan penuh dinamik oleh Dain menjadikan Bunohan sebagai naskhah agung pengarah ini. Malah filem itu juga mempunyai unsur mistikal yang menambahkan rencah untuk menyedapkan lagi intipatinya.

Ditambah dengan kecemerlangan sinematografi oleh Charin Pengpanich, ia telah mencernakan warna untuk menimbulkan mood filem itu dan membuatkan Bunohan berada dalam dimensinya tersendiri.

Mungkin ada yang akan keliru sehingga mengerut dahi apabila memikirkan tentang jalan ceritanya tetapi inilah masanya untuk penonton kita bangkit daripada ‘kemalasan’ dan menonton antara karya hebat tempatan ini.

Cabaran baru Zahiril

SEBAGAI bakat baru dalam bidang seni, Zahiril Adzim sememangnya antara pelakon pelapis yang menjadi perhatian dan mampu meletakkan dirinya sebagai aktor terbaik di masa hadapan.

Melihat kepada lakonannya sebagai peninju tomoi bernama Adil atau Bunga Lalang, cukup jelas terbukti kesungguhannya menghidupkan watak tersebut.

Selama tempoh dua bulan kata Zahiril, dia menjalani latihan intensif bagi memastikan dirinya kelihatan seperti peninju tomoi profesional selain mempelajari dialek Kelantan.

“Kalau diikutkan, rejim yang saya lalui itu tidak mencukupi dan untuk mempersiapkan diri sebagai seorang peninju profesional, ia memakan masa sekurang-kurangnya setahun.

“Jadi bayangkan tempoh setahun itu dipadatkan kepada dua bulan dan kesakitan yang saya lalui itu memang memeritkan sehingga lebam.

“Namun saya cukup seronok dan segala keperitan itu bagai tidak dirasai sekali gus memberikan satu pengalaman baru buat saya sebagai seorang pelakon,” kata Zahiril yang pernah memenangi Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia Ke-22 (2009) menerusi filem Kami The Movie itu.

Buat peminat filem tempatan, pastikan anda tidak ketinggalan menonton Bunohan di pawagam berdekatan anda hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.