saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/03/2012

Amir terkenang zaman emas UK's


WAJAH terbaru Amir yang tidak banyak berubah biarpun sudah lebih 20 tahun terbabit dalam persada seni suara tanah air.


MENURUT vokalis Uk's, Amir, kumpulan yang disertainya itu pada awal tahun 1990-an pernah mencatat jualan album sebanyak 350,000 menerusi album berjudul Bisa Berbisa yang diedarkan pada 1994. Ia antara jualan album tempatan yang tertinggi ketika itu.

Sayangnya, jelas Amir atau nama sebenarnya Mohd. Azmir Muhammad Yusof, pencapaian itu sukar diulangi kerana pasaran dan jualan album secara konvensional seperti kaset dan cakera padat (CD) tidak serancak dulu. Saat manis itu, bagi Amir sekadar mampu dikenang sahaja.

"Sekarang ini susah untuk penyanyi atau pemuzik berkumpulan untuk menjual album mereka dalam bentuk kaset atau CD lebih 100,000 unit. Kalau ada pun jualan album single yang dimuat turun secara digital. Tetapi album single hanya ada satu atau dua lagu sahaja.

"Ia berbeza dengan era kegemilangan UK's dulu kerana penjualannya berdasarkan sebuah album penuh yang mengandungi 10 buah lagu. Bukan setakat Bisa Berbisa, malah album UK's seperti Tajam Menikam dijual lebih 280,000 unit sewaktu ia berada di pasaran pada 1995.

"Semua itu sekarang ini hanya tinggal kenangan. Walaupun pencapaian jualan album-album UK's yang tinggi itu cuma tinggal kenangan, tetapi lagu-lagu kami terus diminati pendengar sehinggalah kini," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lagu-lagu UK's yang tetap menjadi siulan ramai dan boleh dikategorikan sebagai malar segar adalah lagu berjudul Di Sini Menanti Di Sana Menunggu, Seksa, Kau Satu-Satunya, Bila Diri Disayangi dan Kembali Mencari yang mana ia sering disiarkan menerusi radio-radio tempatan.

Jelas Amir, biarpun kebanyakan anggota UK's tidak aktif lagi dalam bidang muzik tetapi penyanyi berusia 43 tahun ini sukar melupakan kerjaya yang telah diceburinya sejak lebih 20 tahun yang lalu. Undangan menyanyi di merata-rata tempat seluruh negara terus diterimanya hingga kini.

Terbaru pada pukul 9 malam ini, Amir diundang menjayakan Konsert Big Jam 2012 di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu anjuran radio Hot FM bersama ramai artis tanah air seperti Hafiz, XPDC, Alyah, Ella, Zamani (Slam), XPDC dan Najwa Latif.

"Sampai sekarang saya tidak putus-putus menerima undangan menyanyi di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Setiap kali menyanyi para peminat akan minta saya nyanyikan lagu-lagu popular UK's seperti Si Jantung Hati yang tidak jemu-jemu didengar.

"Perkara ini membuktikan nama UK's masih kekal di ingatan para peminat sampailah bila-bila. Ini kerana lagu-lagu UK's bukan sahaja diminati pada era tahun 1990-an tetapi ia juga masih relevan untuk dihayati termasuklah oleh para pendengar generasi muda hari ini," ujar anak keempat daripada enam beradik ini.

Sewaktu ditanya apakah rahsia kekuatan lagu-lagu UK's atau dulunya dikenali sebagai Ukay itu, bapa kepada lima orang anak ini berkata, ia terletak kepada kekuatan melodi, kesesuaian lirik serta gaya penyampaian vokalnya yang menepati gabungan dua faktor tersebut.

Kata anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ini, UK's yang kebanyakannya menyampaikan lagu-lagu ciptaan komposer Saari Amri seolah-olah serasi dengan konsep pop rock dan balada yang diketengahkan oleh kumpulan itu dalam sembilan album yang mereka hasilkan setakat ini.

"Sekarang ini, seolah-olah susah mahu mendapatkan lagu-lagu yang sedap. Kalau ada lagu yang sedap, suara penyanyi pula seperti kurang sesuai atau mereka tidak mampu menyanyikan lagu itu pada tahap yang maksimum dan begitu jugalah sebaliknya.

"Seperkara lagi, saya dapati zaman kegemilangan seseorang penyanyi itu tidak sepanjang masa berada di kemuncak. Apabila zaman itu sudah berlalu, maka buatlah album atau nyanyilah lagu yang bagus macam mana sekali pun, ia sukar mengatasi zaman kegemilangannya dulu.

"Apa pun, saya bersyukur kerana pernah melalui zaman kegemilangan sebagai penyanyi bersama UK's kira-kira dua dekad yang lalu. Sekarang ini, saya hanya mampu meneruskan kerjaya dengan bakat yang ada sebaik mungkin. Zaman emas yang dulu itu, bagi saya hanya tinggal kenangan sahaja," tuturnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.