saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/03/2012

Buka ruang pada semua


SEBAGAI Pengarah Eksekutif mobTV, Abdul Hamid Mohamed sentiasa memastikan kelengkapan untuk penggambaran berada dalam keadaan baik.


TIADA siapa mampu menidakkan perkembangan teknologi moden yang telah mendominasi kehidupan harian masyarakat hari ini.

Media sosial terutamanya dilihat sebagai satu senjata baru yang sangat berkuasa dalam menyebarkan maklumat terutama kepada generasi muda.

Bukan mahu bersaing dengan media arus perdana yang menjadi santapan masyarakat sejak sekian lama, tetapi kehadiran media baru adalah alternatif dalam memperolehi berita terkini.

Dalam konteks itu, sebuah saluran televisyen internet percuma, The Malaysian OBserver atau lebih dikenali sebagai mobTV merupakan wadah baru untuk masyarakat yang mahu mendapat gambaran jelas tentang sesebuah isu.

Cukup menekankan soal etika kewartawanan dan ketelusan dalam menyebarkan berita, kehadiran mobTV bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak.

Sebaliknya ia adalah platform yang membuka ruang kepada semua pihak untuk memberikan pendapat dan hujah dalam meleraikan isu yang sedang hangat diperkatakan.

"Selama ini, masyarakat kita sering beranggapan berita politik yang dimainkan di media arus perdana dianggap sebagai berat sebelah dan menyebelahi sesetengah pihak.

"Penubuhan mobTV juga bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana media sedia ada tetapi kami mahu telus dalam menyebarkan berita kepada khalayak terutama generasi muda.

"Kita harus sedar bahawa golongan muda hari ini adalah penyambung warisan dan bakal menjadi pemimpin di masa hadapan.

"Adakah kita mahu membiarkan mereka terus dibelenggu dengan isu yang tidak berkesudahan dan membiarkan mereka mencari jawapannya sendiri," kata Pengarah Eksekutif mobTv, Abdul Hamid Mohamed ketika ditemui di pejabatnya, Contract Advertising Sdn. Bhd., di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bersama-sama dua temannya, Md. Salleh Kassim dan Zulkafly Baharuddin, Abdul Hamid menubuhkan mobTV hampir setahun lalu.

Jika disingkap profil ketiga-tiga individu ini, sememangnya mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang penyiaran negara.

Abdul Hamid dan Md. Salleh misalnya, merupakan antara perintis kepada penubuhan stesen televisyen swasta TV3 sekitar tahun 1983.

Ketika itu, Abdul Hamid menjawat portfolio sebagai pengurus rancangan manakala Md. Salleh pula berkhidmat di bahagian berita dan hal ehwal semasa termasuk pencetus kepada program Majalah 3.

Bukan itu sahaja, Abdul Hamid juga pernah bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sebaran Am, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor (kini Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) dan Universiti Malaysia Kelantan.

Begitu juga dengan Zulkafly yang pernah menjadi koresponden TV3 di Washington, Amerika Syarikat selain menjadi penyumbang artikel untuk Utusan Malaysia.

Puas hati

Melihatkan kepada pengalaman mereka, sudah cukup membuktikan mobTV mempunyai kekuatan kandungan tersendiri untuk menjadi wadah baru kepada masyarakat.

Sejak mula bersiaran di www.mobtv.my pada April tahun lalu, Abdul Hamid cukup berpuas hati dengan sambutan dan penerimaan orang ramai terhadap saluran tersebut.

Apa yang membanggakan pihaknya apabila maklum balas yang diterima adalah daripada anak-anak muda sekali gus membuktikan matlamat mobTV dalam menarik perhatian golongan itu mencapai sasarannya.

Tidak sampai setahun, mobTV sudah mencatatkan lebih daripada satu juta pelayar menerusi hampir 900 video yang dimuat naik.

Antara segmen yang terkandung dalam mobTV termasuklah Let's Talk, What Others Say, What Say You, What Say Youth dan Women's Power.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang penyiaran negara, Abdul Hamid bersama pasukannya akan terus memberikan santapan terbaik buat pelayar mobTV.

Tidak hanya mengenengahkan isu politik semata-mata tetapi kandungan mobTV juga akan mengkhususkan kepada remaja dan juga wanita.

"Saya juga mendapat respons yang mengatakan mengapa tiada kandungan hiburan dalam mobTV. Jawapan saya cukup mudah kerana saya mahu memberikan pendekatan yang berbeza dengan apa yang stesen televisyen lain sudah berikan.

"Bukan saya antiprogram hiburan, tetapi saya fikir program tersebut sudah terlalu banyak dilambakkan kepada masyarakat. Jadi, setidak-tidaknya mobTV memberikan pendekatan yang berbeza dari segi isi kandungannya.

"Saya mahu golongan muda hari ini berfikir tentang masa depan mereka dan tidak hanya terlalu memikirkan tentang hiburan serta mahu berseronok sahaja.

"Kerana itu jugalah, mobTV banyak menyajikan program untuk mereka yang dapat dimanfaatkan bukan hanya kepada golongan muda tetapi dewasa," katanya bersungguh.

Tidak hanya orang ramai, tetapi Abdul Hamid juga menjelaskan saluran televisyen Internet itu turut mendapat perhatian daripada orang kenamaan baik pemerintah mahupun pembangkang.

Skeptikal

Meskipun pada mulanya mobTV dipandang sinis oleh pihak tertentu tetapi jelas Abdul Hamid lama-kelamaan perasaan skeptikal itu mula terhakis apabila mereka melihat sendiri operasi mobTV.

Semua program dirakamkan di studio mobTV yang terletak di bangunan sama. Tetapi kata Abdul Hamid, jika ada panel yang tidak dapat ke studio mereka, mobTV boleh bertoleransi dengan pergi ke mana sahaja lokasi yang dikehendaki.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, saluran ini tidak akan berpihak kepada mana-mana pihak. Kami mahu menjadi telus dan memberi ruang kepada pemerintah dan pembangkang untuk sama-sama melibatkan diri dalam program bual bicara yang kami terbitkan.

"Dari situ, masing-masing boleh memberikan hujah dan pendapat tentang isu yang dibangkitkan. Bukankah cara itu lebih baik agar masyarakat mendapat gambaran jelas daripada kedua-dua pihak.

"Saya juga akan memastikan wartawan penyiaran dan penerbit program untuk tidak menjurus kepada mana-mana pihak dalam soalan yang diajukan. Biar semuanya berlaku dalam keadaan adil dan saksama demi kebaikan semua pihak.

"Untuk makluman, tiada suntingan yang kami lakukan dalam mana-mana kandungan kami melainkan durasinya terlalu panjang," ujarnya yang menjelaskan mobTV juga membuat liputan tentang aktiviti mahasiswa universiti tempatan.

Jika ada pelayar yang melayari mobTV, pasti akan ada yang mengatakan pendekatan mereka lebih ke arah isu politik sejak akhir-akhir ini.

Menjawab persoalan itu, Abdul Hamid tidak menafikan perkara tersebut kerana mereka perlu berbuat demikian memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) semakin hampir.

"Insya Allah, selepas tamatnya PRU 13 nanti, kami akan memperbanyakkan kandungan untuk remaja dan wanita. Saya sendiri sedang merangka kandungan yang bakal ditayangkan nanti.

"Bukan itu sahaja, mobTV juga akan melahirkan program berbentuk dakwah dan agama kerana saya melihat senario hari ini sangat memberangsangkan. Pendakwah, ahli ulama dan tokoh agama juga kini semakin mendapat tempat sehingga sama popularnya dengan artis.

"Di mobTV, kami menghasilkan program apa yang masyarakat mahu tonton dan bukannya buat apa yang kita mahu orang tengok," jelasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.