saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 16/03/2012

Konsert besar terakhir D.J. Dave


D.J. DAVE (tengah) bersama Mohammed Juhari Shaarani dan tenaga kerja Konsert Sketsa Memori - Live D.J. Dave selepas pelancarannya di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


DATUK D.J. Dave telah terbabit dalam bidang seni suara tanah air sejak 40 tahun lalu. Sejak empat dekad lalu, penyanyi berusia 65 tahun ini telah mengadakan pelbagai jenis konsert sama ada yang berskala besar atau kecil.

Pada 1, 2 dan 3 Jun ini, anak kelahiran Kuala Kubu Baru, Selangor itu sekali lagi akan mengadakan konsert terbarunya. Ia merupakan konsert berskala besar anjuran syarikatnya, Shahdave Entertainment yang terakhir.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersua itu, keputusan tersebut diambil bagi menjadi penanda aras dalam kerjayanya sebagai penyanyi selama ini yang mungkin sukar dilaksanakan pada masa depan.

“Saya memang mahu membuat sebuah konsert yang besar dalam kerjaya saya sebagai penyanyi. Tetapi itu bukan bermakna saya mahu bersara. Sebaliknya saya akan terus menyanyi tetapi dalam majlis atau konsert yang kecil sahaja.

“Biasanya saya menyanyi dalam persembahan 30 minit. Tetapi untuk konsert ini saya akan menyanyi hampir dua jam tanpa henti. Saya mahu menjadikan konsert ini suatu tahap yang boleh dibanggakan.

“Pada usia 65 tahun saya tidak pasti sampai bilakah saya mampu untuk terus menyanyi. Jadi konsert ini adalah yang terbesar dan terakhir akan saya jayakan,” katanya sewaktu ditemui di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dave hadir pada pelancaran konsert terbaru, Sketsa Memori.. Live With D.J. Dave yang bakal dilangsungkan di Panggung Sari, IB, selama tiga malam berturut-turut dengan tiket-tiket berharga dari RM53 hingga RM453.

Konsert yang menelan kos lebih RM1 juta itu akan turut menampilkan artis undangan seperti Uji Rashid, Dayang Nurfaizah dan Marsha Londoh serta Eddie Marzuki sebagai Pengarah Muzik itu akan diiringi kumpulan pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Jelas Dave, sebelum ini iaitu lebih 20 tahun lalu dia pernah mengadakan konsert bergerak yang berskala besar di seluruh negara yang kebanyakannya untuk tujuan amal.

Tambah penyanyi yang telah menghasilkan 40 album itu, dia sebelum ini misalnya pernah mengadakan Konsert Udara D.J. Dave pada tahun 1987 bersama Tentera Udara Diraja Malaysia ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Malah pada tahun 1983 saya juga pernah mengadakan konsert secara besar-besaran yang diberi nama Pentas Mesra Bakti anjuran Polis Diraja Malaysia bagi mengisi Tabung Koperasi Polis di seluruh negara.

“Konsert amal bergerak yang saya jayakan itu berjaya mengutip derma sehingga RM400,000.

“Walaupun konsert terbesar saya ini saya anjurkan sendiri tetapi saya juga akan menyumbangkan sedikit kepada badan-badan kebajikan.

“Sumbangan itu saya lakukan daripada jualan tiket yang diperolehi selepas ia ditolak daripada semua kos penganjuran konsert ini nanti. Secara tidak langsung saya mahu memberikan semula tanda sokongan masyarakat terhadap saya,” ujarnya.

Jelas bapa kepada tiga orang anak itu, Sketsa Memori - Live D.J. Dave bukan sahaja akan mengimbau nostalgia sewaktu zaman kegemilangannya pada tahun 1980-an tetapi juga kepada penonton yang menontonnya.

Untuk itu, kata Dave, beliau akan tampil dengan kostum termasuklah pakaian-pakaian lamanya yang masih disimpan elok pada persembahan dengan seleksi lebih 30 lagu-lagu yang popular pada era tersebut.

“Saya akan menyanyi di Panggung Sari nanti dengan memakai pakaian-pakaian lama saya pada tahun 1970-an dan 1980-an yang masih elok dalam simpanan saya. Saya harap cara itu dapat mengimbau nostalgia para peminat saya.

“Malah saya juga akan membawa kereta Alfa Romeo sports yang saya gunakan pada kulit album saya dulu ke Istana Budaya supaya para peminat dapat melihatnya dari dekat. Saya juga akan menyanyikan lagu terbaru saya, Nyawaku.

“Lagu itu ciptaan Datuk M. Nasir akan dimuatkan dalam album single terbaru saya yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Lagu itu M. Nasir cipta khas selepas saya pilih sendiri daripada beberapa lagu ciptaannya,” jelas Dave.

Sepanjang bergelar penyanyi, Dave mempunyai banyak koleksi lagu-lagu popular seperti Ku Tak Ingin Menangis Lagi, Kini Ku Menangis Lagi, Hanya Mimpi, Di Desa, Kawan Setia, Pesanan dan Cukup Sudah.

Sementara itu, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohammed Juhari Shaarani pula berkata, Konsert Sketsa Memori - Live D.J. Dave itu turut mencipta sejarah yang tersendiri di Panggung Sari sepanjang lebih sedekad penubuhannya.

Jelas beliau, D.J. Dave merupakan penyanyi solo lelaki bukan Melayu pertama yang akan mengadakan konsert hasil pengarahan Lokman Ghani sebagai Pengarah Persembahan di panggung yang berprestij itu.

“Ini juga adalah persembahan kedua yang berkonsepkan retro selepas pementasan teater Badai Semalam baru-baru ini. Saya yakin D.J. Dave mampu menarik ramai peminat termasuklah irama Hindi yang masih diminati hingga kini.

“Banyak elemen tarian dan kostum yang melambangkan era retro yang akan dipersembahkan pada konsert itu. Kesemua tenaga kreatif yang terbabit terdiri daripada kalangan pekerja IB,” katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.