saya nak baca ..

EKONOMI


ARKIB : 17/03/2012

Halim Saad tauke minyak luar negara

KUALA LUMPUR 16 Mac - Melihat beliau berselipar di dalam pejabat milik sendiri dan lebih selesa memakai baju kemeja lengan panjang tanpa bertali leher, mengingatkan saya kepada mentornya, Tun Daim Zainuddin.

Ternyata Tan Sri Halim Saad, bekas orang kuat Kumpulan Renong kini jauh berbeza sekali berbanding pada satu ketika dahulu.

Menurut Halim, beliau lebih senang berkeadaan low profile dan menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa beliau 'merajuk' untuk bergiat dalam dunia korporat tempatan.

"Mana ada saya merajuk, saya hanya low profile sahaja dan saya lebih senang begini.

"Saya masih berniaga kecil-kecilan,'' katanya dengan cukup merendah diri kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di pejabatnya di sini.

Namun begitu, perniagaan beliau masih bukan 'kecil-kecil anak' kerana Halim kini merupakan rakyat Malaysia pertama memiliki medan minyak di Kazakhstan.

Berbeza di Malaysia dan negara-negara lain di dunia, di negara tersebut, sumber hasil bumi adalah milik sesiapa sahaja yang mempunyai wang dan peluang.

Halim melalui syarikat miliknya Markmore Sdn. Bhd. menjadikan sektor minyak dan gas serta makanan, sebagai sasaran tumpuan perniagaannya terutamanya di luar negara.

Kesibukannya mengurus perniagaan menyebabkan ramai yang menyangka kehadiran sekali sekala dalam arena korporat tempatan sebagai satu kemunculan semula.

Halim berkata, berniaga di luar negara lebih mudah berbanding di Malaysia kerana di sini perlu bersaing dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Sambil berseloroh, bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Renong Bhd. itu berkata: "Perniagaan saya bukan besar pun, tidak seperti Petronas untuk bersaing dengan GLC, nanti sukar bagi perniagaan saya hidup."

Beliau mengakui bahawa sungguhpun sukar untuk memulakan perniagaan di luar negara tetapi perkara berkenaan tidak mematahkan semangatnya.

"Saya adalah seorang yang akan berusaha sekiranya berkehendakkan sesuatu. Saya akan cuba sehingga dapat.

"Dan, saya sudah berjaya membuktikan bahawa saya menjadi rakyat Malaysia pertama memiliki medan minyak di Kazakhstan," kata Halim yang mempunyai pemegang-pemegang saham dan orang kanan yang cukup berkaliber tetapi kurang dikenali di dalam negara.

Ditanya tentang detik awal pembabitannya di negara yang memiliki rizab minyak ke-11 terbesar di dunia, Halim berkata, ia mengambil masa setahun untuk mendapatkan konsesi medan minyak di Rakushechnoye yang memiliki 47 telaga.

Kini medan minyak atas darat itu berjaya mengeluarkan 1,000 tong sehari dan ia dijangka meningkat kepada 3,000 tong sehari dalam masa lapan tahun.

Lebih mengagumkan beliau berjaya bertapak di negara asing itu tanpa bantuan pembiayaan mana-mana bank, sebaliknya dengan usaha sendiri.

"Mana ada bank asing mahu memberikan pinjaman kepada saya kerana mereka tidak mengenali siapa itu Halim Saad.

"Saya pergi ke sana dengan bawa kad kredit sahaja,'' ujar tokoh korporat yang sudah mencecah 58 tahun sambil tersenyum penuh makna.

Namun kepayahan yang dilalui itu berbaloi kerana beliau kini sedang mengintai peluang untuk menguasai sebahagian besar telaga minyak di Kazakhstan.

Menurut Halim, selain minyak dan gas, beliau juga teruja dalam perniagaan makanan dan kini sudah membeli tanah seluas sejuta hektar di Kemboja, membabitkan pelaburan RM1 bilion.

"Tanah itu akan dijadikan pusat tanaman makanan seperti jagung, kopi, getah, soya dan tebu. Hasilnya nanti akan dibawa semula ke Malaysia,'' katanya.

Jelasnya, perniagaan makanan mempunyai prospek cukup baik dan atas alasan itu beliau meneroka bidang tersebut.

Ketika ditanya tentang kegagalannya memiliki QSR Brands Bhd. pada 2010 sehingga mendorong beliau beralih kepada perniagaan tani, dengan nada selamba beliau berkata: "Sudah tiada rezeki di situ (QSR), tapi kita boleh cuba yang lain."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.