saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/03/2012

Diplomasi acuan terbaik Barisan Nasional Kedah pupuk perpaduan di kalangan ahli

SUDAH lebih setahun teraju Badan Perhubungan UMNO Kedah dipimpin sepenuhnya oleh anak jati Kedah setelah negeri Jelapang Padi itu tumbang kepada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah diberi amanah besar oleh UMNO untuk mengambil alih jawatan pengerusi negeri yang disandang sementara oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkuat kuasa 1 Januari tahun lalu.

Kepercayaan yang diberikan itu diiringi dengan tanggungjawab berat memandangkan Ahmad Bashah perlu mengemudi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam melakarkan segala agenda bagi memantapkan parti berhadapan dengan PRU-13 yang diletakkan harapan tinggi untuk menawan kembali pentadbiran negeri daripada pakatan pembangkang.

Hakikatnya, Ahmad Bashah mengemudi UMNO dan BN Kedah dalam keadaan sukar kerana sesiapa yang menjadi Pengerusi UMNO negeri sebelum ini turut memegang jawatan Menteri Besar yang berkelebihan dengan mempunyai pelbagai jentera dan peruntukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata itu juga menerima baton kepimpinan UMNO Kedah dalam keadaan moral ahli, pemimpin bahagian dan cawangan parti berkenaan berada dalam keadaan yang rendah kerana belum pulih dalam kekalahan mengejutkan pada PRU lepas.

Di sebalik semua kekangan yang wujud, Ahmad Bashah dan rakan kepimpinan parti yang lain dilihat bersungguh-sungguh serta berusaha sedaya mungkin melonjakkan kembali kegemilangan UMNO dan BN Kedah termasuk menerusi bantuan kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, pendekatan Ahmad Bashah yang tidak gemar mengambil tindakan drastik dan konfrontasi dalam beberapa isu sama ada dalam UMNO mahupun melibatkan soal seteru politik sering disalah anggap sebagai satu kelemahannya.

Malahan sikap diplomasi bagi mencari jalan tengah yang dipraktikkan Ahmad Bashah turut dilihat pihak tertentu seolah-olah beliau tidak strategik dalam menerajui parti ke arah kemenangan.

Ahmad Bashah sebaliknya tidak melihat pendekatan itu sebagai satu kelemahan tetapi yakin ia adalah 'acuan terbaik' untuk rakyat Kedah yang dirumuskannya menerusi pengalaman lebih 30 tahun lalu sepanjang membabitkan diri dalam dunia politik.

"Kita perlu memahami cara hidup dan sikap orang Kedah. Mereka sangat merendah diri, penuh dengan sikap menghormati orang lain dan ada kalanya melebihkan orang lain daripada diri sendiri.

"Orang Kedah juga sangat menjaga maruah diri dan pihak lain. Mereka tidak suka orang yang berlagak, mahu menonjol, ego dan bersikap berlebihan dalam apa sahaja perkara.

"Sebab itu dalam melaksanakan tanggungjawab selaku Pengerusi UMNO Kedah, saya mengambil sikap toleransi dan bersederhana supaya semua pihak akan berasa menang dan maruah mereka terjaga," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ahmad Bashah berkata, perkara yang paling ditekankannya bagi mengembalikan semangat pemimpin dan ahli parti adalah perpaduan dan tidak berkelahi sesama sendiri kerana rekod membuktikan kekalahan BN Kedah dalam PRU lepas disebabkan perpecahan.

Katanya yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), dalam usaha membentuk keutuhan kesatuan parti, mana-mana ahli diingatkan agar tidak 'menabur paku di atas jalan' dengan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan parti.

"Saya melihat ada keazaman di kalangan ahli parti bahawa mereka akan memastikan BN menang pada PRU nanti. Semangat mereka sudah meningkat, namun usaha perlu diteruskan. Pemimpin bahagian harus terus memberi sokongan moral," katanya.

Menurut beliau, jentera BN kini begitu aktif dan agresif melakukan gerak kerja termasuk mendekati pengundi melalui program turun padang untuk berjumpa seramai mungkin pengundi tidak kira dalam kumpulan kecil atau besar.

Selain itu mereka mengadakan program untuk mendekati pelbagai golongan termasuk orang muda, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai kerajaan dan pendidik.

"Saya telah meminta pemimpin bahagian dan cawangan supaya sentiasa kehadapan dalam apa sahaja masalah rakyat seperti dilanda ribut, banjir, kebakaran dan membantu orang sakit serta susah.

"Ini bagi memastikan UMNO sentiasa dilihat juara dalam membela kepentingan rakyat selaras dengan slogan 'BN Menang Kedah Senang' serta rakyat didahulukan," katanya.

Ahmad Bashah yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar memberitahu, Kedah melancarkan jentera pilihan raya di kesemua 672 daerah mengundi sejak Julai tahun lalu.

Pada masa sama, kata beliau, BN negeri juga telah melaksanakan pengedaran hand bill (slip maklumat pengundi) bagi membolehkan parti itu mengetahui kedudukan terkini pengundi dan corak pemilihan di kalangan orang ramai.

"BN Kedah juga telah siap merangka manifesto khusus yang menjurus kepada beberapa perkara khas melibatkan kepentingan penduduk Kedah. Manifesto ini akan diumumkan apabila tiba masanya kelak," ujar beliau.

Mengulas mengenai peluang BN menawan semula Kedah, Ahmad Bashah optimis dengan kejayaan itu berdasarkan beberapa faktor antaranya faktor dalaman UMNO itu sendiri yang berkobar-kobar mahukan kemenangan, kegagalan kerajaan Pas mentadbir dan perebutan kuasa dalaman Pas Kedah.

Beliau juga percaya majoriti rakyat termasuk pengundi atas pagar ingin melihat BN kembali mentadbir negeri ini.

"Saya yakin dengan janji ahli dan pemimpin BN untuk merampas kembali Kedah, kita menyatukan semula kekuatan dan dengan izin Allah BN akan kembali berdiri megah. Rakyat Kedah boleh menaruh harapan baru kepada pentadbiran BN, berilah peluang kepada kami memimpin Kedah semula dan kami tidak akan menghampakan harapan anda," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:01
Zohor 1:23
Asar 4:27
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.