saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 29/03/2012

Pembangunan holistik di Sungai Lui


ZAINAL Abidin Ahmad beramah mesra dengan anak-anak masyarakat Orang Asli dan sentiasa memberikan perhatian kepada masyarakat ini di Kampung Sungai Cherbang, baru-baru ini.


JEMPOL 28 Mac - Bagi penduduk di daerah ini, nama Sungai Lui bukanlah asing bagi mereka kerana selain menjalani kehidupan yang tenang, ia merupakan penghubung jalan utama ke daerah Temerloh, Pahang serta kawasan pantai timur.

Sungai Lui mempunyai keunikannya tersendiri kerana walaupun ditadbir urus oleh Majlis Daerah Jempol (MDJ), namun sebenarnya lokasi ini terletak di bawah Parlimen Jelebu.

Biarpun kawasan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) melalui kemenangan Datuk Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu ini dianggap selamat, itu bukan tiket untuk beliau leka dalam memastikan pembangunan holistik dapat dilakukan.

Justeru itu, sejak dahulu lagi, banyak usaha, pembangunan dan gerak kerja dilakukan Zainal Abidin untuk memastikan Sungai Lui terus menerima limpahan nikmat kerajaan yang dipilih.

Jika dilihat kepada kemudahan daripada aspek pendidikan, kawasan ini sahaja mempunyai 10 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah, malah ia juga menempatkan dua buah sekolah rendah agama bagi keperluan anak-anak mendapatkan pendidikan berkualiti.

Bagi kanak-kanak pula, golongan ini tidak disisihkan untuk mendapatkan pendedahan awal persekolahan menerusi kewujudan 11 buah tadika selain dua buah taska oleh kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui.

Aspek kesihatan turut diberi penumpuan khusus oleh kerajaan termasuk mewujudkan lapan buah klinik desa selain sebuah klinik kesihatan bagi memenuhi keperluan orang ramai untuk mendapatkan rawatan.

Melihat keperluan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti seharian pula, pelbagai kemudahan dan infrastruktur telah dibangunkan. Antaranya termasuklah 12 buah dewan orang ramai di sekitar kawasan Sungai Lui ini.

Tidak ketinggalan juga pembinaan 12 buah balai raya di sekitar kawasan ini yang mana mengizinkan masyarakat menjalankan aktiviti berpersatuan selain program kemasyarakatan.

Malah, aspek kemudahan sukan juga diberikan perhatian oleh kerajaan apabila 12 gelanggang futsal telah dibina selain menyediakan 12 buah padang awam bagi tujuan riadah.

Mengenai pelancongan pula, kawasan Sungai Lui suatu ketika dahulu pernah menyimpan satu sejarah pahit yang cukup menarik untuk diketahui.

Di sini terbina sebuah tugu peringatan mangsa yang terkorban pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan menurut cerita yang diturunkan dari generasi ke generasi, terdapat lebih kurang 400 mangsa yang terbunuh, namun catatan sejarah hanya menyatakan 382 nama sahaja.

Dalam hal membangunkan daya pemikiran penduduk serta keterbukaan minda serta kemampuan akses kepada maklumat luar, usaha telah dilakukan oleh kerajaan BN dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) yang boleh dinikmati penduduk dalam kawasan terpilih di Sungai Lui ini.

Untuk menarik lebih ramai masyarakat mendekati teknologi maklumat, kerajaan juga menyediakan perpustakaan jalur lebar (PJL) di Lui Selatan di mana membolehkan pengunjung membaca di perpustakaan desa selain menerokai alam maya menerusi Internet.

Zainal Abidin berkata, kemudahan yang diberikan oleh kerajaan BN itu dilihat sebagai satu iltizam dalam memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh keuntungan secara bersama.

''Pelbagai rancangan dan pembangunan di kawasan Sungai Lui ini dibuat untuk rakyat dan sebahagiannya telah pun dirasai mereka," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat sembilan gelanggang futsal yang baru dibina di kawasan Lui dan kos membina gelanggang futsal di Felda Pasoh Dua sahaja bernilai RM1.8 juta.

''Ia siap sepenuhnya pada akhir tahun lalu dan ditempatkan di dalam dewan. Gelanggang itu merupakan gelanggang yang paling besar di DUN Sungai Lui," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembinaan Balai Polis Ayer Hitam, Zainal Abidin juga menjelaskan ia adalah usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan penduduk terjaga setiap masa.

''Balai Polis Ayer Hitam ini telah siap dibina dengan kos sebanyak RM20 juta. Ini adalah balai polis moden dan terbaik di negeri ini," tegasnya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menjelaskan, pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan BN untuk membantu golongan peneroka Felda di kawasan berdekatan seperti Felda Lui Timur, Felda Lui Barat, Pasoh 1 dan Pasoh 3 dengan program keusahawanan, penerangan, tanam semula dan sebagainya.

''Penempatan Orang Asli juga telah diberi perhatian dengan menyediakan tempat tinggal lebih selesa dan kemudahan asas seperti air dan elektrik di Sungai Sampo, Sungai Lui dan Kampung Sungai Cherbang," jelasnya.

Zainal Abidin optimis, sokongan rakyat terhadap BN di kawasan itu semakin bertambah selepas melihat kerja dan tindakan yang dilakukan.

''Kerajaan BN tidak bercakap kosong kerana apa yang dikata telah pun dikota, malahan yang tidak dikata sekalipun, kita akan kotakan untuk kepentingan rakyat," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.