saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 05/04/2012

Kuala Linggi hab maritim Selat Melaka


Pelabuhan Kuala Linggi kini menjadi terminal tukar barang selain menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada syarikat perkapalan di Selat Melaka yang berlabuh di situ. - UTUSAN/Azli ahad


ALOR GAJAH 4 April - Port Supai cukup sinonim dengan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi kerana ia adalah kota pertahanan tinggalan tentera Belanda dan Bugis.

Kesan peninggalan sejarah kota yang terletak di puncak Bukit Supai itu dibina sebagai tanda perdamaian bagi perang antara 1756 dan 1757.

Berdasarkan sejarah, perjanjian antara tentera Belanda dengan Bugis telah berlangsung pada 1 Januari 1758. Hasil perjanjian, Belanda dibenarkan menguasai Linggi dan perdagangan bijih timah di situ.

Kini, Kuala Linggi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Melaka dan berada di sempadan Negeri Sembilan, iaitu Port Dickson sejauh 47 kilometer sudah jauh berubah di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Di bawah teraju Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ir. Ismail Othman, kehidupan penduduk di sini sudah banyak berubah. Penduduk Kuala Linggi dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana yang lengkap dengan setiap rumah mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna.

Kemudahan awam di sini termasuklah sepuluh buah masjid, 22 surau, dua sekolah menengah kebangsaan (SMK), lima sekolah rendah kebangsaan (SRJK) serta dua sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC).

Perkhidmatan bas awam juga masih beroperasi bagi memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan persendirian untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Perkhidmatan jalur lebar pula terdapat di balai raya Kampung Sungai Tuang, Kampung Permatang dan Kampung Ayer Molek bagi memudahkan bukan sahaja pelajar tetapi juga seluruh masyarakat di sini menggunakan internet.

Di samping itu, terdapat 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB).

Kampung yang terdapat di sini adalah Kampung Kuala Linggi, Kampung Bukit Darat, Kampung Tanjung Dahan, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Permatang, Kampung Kuala Pantai, Kampung Guan, Kampung Baru, Kampung Telok Gong, Kampung Sungai Tuang, Kampung Ladang dan Kampung Ayer Molek.

Perkampungan Cina terbesar ialah Kampung Paya Mengkuang, Kampung Mun Lok dan Kampung Bukit Beruang.

Dua pusat pengajian di sini pula adalah Akademi Laut Malaysia yang menawarkan kursus berkaitan dengan ilmu perkapalan terletak di Kuala Sungai Baru dan Kolej Universiti Islam Melaka.

Walaupun sektor pertanian bukan sumber ekonomi utama penduduk di sini, namun sektor pelancongan dan maritim menjadi tunjang membangunkan Kuala Linggi.

Telok Gong adalah lokasi tumpuan pelancong kerana mempunyai pantai yang cantik dan bersih, menjadi tumpuan pelancong setiap cuti hujung minggu dan umum.

Terdapat banyak calet diusahakan penduduk di sepanjang pantai Telok Gong dari pekan Kuala Sungai Baru hingga ke Pengkalan Balak.

Sungai Linggi pula adalah produk pelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri. Di sini cukup sinonim dengan udang galah dan pelbagai spesies ikan sungai seperti lampam, senangin, sembilang dan serkot.

Kini, terdapat sebuah taman rekreasi terletak berhampiran Sungai Linggi yang dikenali sebagai Taman Lokan.

Medan ikan bakarnya juga tidak kurang hebat seperti Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru dan Port Supai yang menyediakan pelbagai jenis ikan segar seperti jenahak, siakap, serkot, kepah, lokan, udang dan sotong.

Selain itu, Taman Paya Laut menjadi produk ekopelancongan hutan paya bakau yang menyediakan calet, persiaran jalan kaki dan menara tinjau bagi menambah daya tarikan.

Lebih menarik, taman ini turut menjadi tempat tumpuan spesies seperti memerang, burung bangau dan buaya bersantai.

Lebih penting, pelabuhan Kuala Linggi yang terletak di Kuala Sungai Baru pula bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi untuk menjadi hab maritim di Selat Melaka.

Pada masa ini, pelabuhan tersebut menawarkan pelabuhan kapal ke kapal (STS) bertaraf antarabangsa bagi kemudahan industri kargo cecair dan merupakan yang pertama di Malaysia.

Konsep STS begitu mudah, kapal yang melalui Selat Melaka hanya perlu berhenti di Hab Perdagangan dan Pemunggahan Terapung Antarabangsa Linggi (LIFT Hub), melakukan pemindahan dan kemudian meneruskan perjalanan ke lokasi lain.

Pelabuhan yang dikenali sebagai LIFT Hub berkenaan beroperasi di kawasan seluas 180 kilometer persegi di laut lepas iaitu terletak kira-kira 18 kilometer dari pantai Kuala Linggi.

Perairan Kuala Linggi mempunyai keistimewaan untuk menjadi pelabuhan STS utama dunia kerana mampu menampung 12 kapal tangki besar (VLCC) pada satu-satu masa.

Kawasan ini mempunyai ciri-ciri geografi yang sesuai seperti laut yang tenang, dasar laut yang rata dan terlindung daripada ancaman tsunami dan angin monsun.

Terbaru, pelabuhan Kuala Linggi menjadi terminal tukar barang (barter trade) selepas operasinya di Sungai Rambai dipindahkan ke sini pada 1 April lalu.

Selain itu, kawasan ini juga bakal menjadi sebuah pusat perdagangan, khususnya antara Melaka dan Riau, Indonesia. Beberapa syarikat lain yang beroperasi di sini seperti Tidle Maritim, Team Maritim, Alam Maritim dan Delta Maritim.

Sementara itu, Ismail menekankan, penduduk di sini harus percaya terhadap kepimpinan BN dalam mengubah dan membangunkan kawasan ini.

"Tiada sebab rakyat di kawasan ini perlu berubah fikiran untuk memilih kerajaan lain berbanding apa yang telah dilakukan oleh BN. Kuala Linggi sudah banyak berubah, peningkatan dalam sektor ekonomi terutama pelancongan memberi banyak limpahan rezeki kepada penduduk.

"Pelabuhan Kuala Linggi pula akan dibangunkan sebagai hab maritim di Selat Melaka. Pada masa ini, banyak perancangan besar sedang dilakukan untuk menjadikan pelabuhan ini antara yang tersibuk.

"Secara tidak langsung ia akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini," tegas Ismail lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.