saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/04/2012

Sesudah Guan Eng, siapa pula calon KM Pulau Pinang selepas PRU13

KETIKA DAP diasak oleh pelbagai pihak berhubung beberapa tindakan kerajaan negeri pimpinannya, Lim Guan Eng nampak tenang. Biar pun ‘gelora’ di luar, Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP itu mengambil sikap ‘membisu’ dan ‘memekakkan telinga’.

Beliau tidak melayan sebarang desakan yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk parti politik seperti Gerakan, UMNO, MCA dan Parti Cinta Malaysia. Begitu juga dengan teguran atau kritikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semuanya ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Inilah kelebihan Guan Eng yang gemar mengambil pendekatan ‘memekakkan telinga dan membisu seribu bahasa’. Jika ada pun kenyataan balas yang diberi, semuanya terarah kepada ia adalah fitnah terhadapnya.

Apa yang penting, dalam diam, beliau berusaha memantapkan kedudukan DAP di negeri itu. Pergeseran melibatkan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P.Ramasamy dianggap tidak menjejaskan DAP di negeri itu. Dulu pernah berlaku usaha untuk menyingkirkan Karpal dan Lim Kit Siang. Tetapi dalam gerakan yang dikenali sebagai KOKS itu, kedudukan kedua-dua pemimpin itu tidak terjejas. Justeru, tidak usahlah ‘musuh’ DAP mengharapkan parti itu terjejas. Sebaliknya mereka perlu berhati-hati ketika mengkritik atau mengeluarkan kenyataan kerana silap hari bulan, mereka dibawa ke mahkamah. Dengan pendekatan yang digunakan oleh Guan Eng dan disokong pula oleh rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, maka tidak keterlaluan jika dikatakan Barisan Nasional (BN) masih menghadapi laluan sukar di Pulau Pinang. BN tidak boleh terlalu bergantung kepada isu-isu yang dibangkitkan selama ini. Tidak mustahil, pengundi-pengundi tegar yang menyokong DAP dan rakan-rakannya juga mengambil sikap ‘memekakkan telinga’.

BN tidak mampu mentadbir semula negeri itu sekalipun UMNO memenangi semua kerusi yang ditandinginya. Seperti diselak minggu lalu, Gerakan, MCA dan MIC perlu turut sama ‘menyumbang kerusi’ untuk memastikan peluang BN di Pulau Pinang. Jika tidak lupakan saja. Namun BN tidak boleh menyerah kalah lebih awal. Dengan tempoh yang semakin menghampiri Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), BN melalui parti komponennya masih ada masa.

Satu persoalan yang perlu diberi perhatian ialah mengenai siapa bakal ketua menteri (KM) di pihak BN jika parti itu berjaya mendapat kerusi yang mencukupi. Isu yang cuba dibangkitkan oleh ‘musuh’ BN bahawa UMNO akan memiliki kerusi KM tidak lagi laku kerana UMNO sudah menegaskan tidak akan menuntut kerusi tersebut. Maka Gerakan perlu bersedia menurunkan calon yang mampu memimpin Pulau Pinang jika ditakdirkan BN menang.

Menjelang PRU lalu, Gerakan menyenaraikan beberapa nama sebagai calon KM berikutan keputusan Dr. Koh Tsu Koon yang menyandang jawatan itu berpindah ke kawasan Parlimen. Mereka ialah Chia Kwang Chye yang ketika itu sebagai Setiausaha Agung Gerakan serta dua Exco kerajaan negeri, Dr. Teng Hock Nan dan Teng Chang Yeow. Bagaimanapun Kwang Chye bertanding di kawasan Parlimen Bukit Bendera untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya selepas mengalahkan Lim Kit Siang manakala Tsu Koon bertanding di kawasan baru, Parlimen Batu Kawan. Hock Nan dan Chang Yeow pula bertanding untuk mempertahankan kerusi Pulau Tikus dan Padang Kota. Bagaimanapun semua calon Gerakan sama ada untuk Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kecundang. Maka tidak timbul lagi siapa yang bakal menjadi KM. Sebaliknya ketua pembangkang di DUN Pulau Pinang pula berpindah kepada UMNO.

Kali ini, Tsu Koon sudah mengesahkan tidak akan bertanding. Manakala Hock Nan pula sebelum ini dikritik hebat mengenai kepimpinannya dalam usaha memulihkan Gerakan dalam menghadapi PRU akan datang. Tidak pasti sama ada beliau akan menawarkan diri untuk bertanding semula atau sebaliknya. Bagaimanapun ada sumber menyatakan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang itu akan direhatkan. Berikutan itu, dua nama menjadi perhatian iaitu Kwang Chye dan Chang Yeow. Jika ini berlaku, Kwang Chye dijangka bertanding di Tanjong Bunga, kerusi yang pernah ditandingi Tsu Koon selama empat penggal. Di situlah bermulanya karier Tsu Koon sebagai KM apabila pada tahun yang sama, Chong Eu tewas. Seorang lagi calon berpotensi untuk diketengahkan oleh Gerakan sudah tentulah Chang Yeow, seorang pemimpin muda yang kini menjadi Setiausaha Agung Gerakan. Chang Yeow dijangka dikekalkan di Padang Kota, kerusi yang pernah disandangnya sebelum ini. Padang Kota juga pernah menyaksikan Chong Eu tewas kepada Kit Siang pada tahun 1990.

Khabarnya, senarai calon Gerakan untuk bertanding pada PRU akan datang telah dihantar kepada jawatankuasa pusat parti (CWC) untuk dipertimbangkan. Gerakan dijangka menurunkan muka-muka baru kecuali beberapa calon yang bertanding pada PRU lalu.

Persoalan siapa KM menarik perhatian kerana BN bukannya berada pada kedudukan sebagai kerajaan negeri. Isu ini juga timbul di negeri-negeri yang diperintah pembangkang iaitu Kelantan, Selangor dan Kedah.

Keadaan ini berbeza dengan situasi 1990 apabila Chong Eu tewas. Ketika itu sudah ada ‘pelapis’ yang disenaraikan sekiranya sesuatu berlaku ke atas Chong Eu. Selain Tsu Koon, turut tersenarai ialah dua Exco kerajaan negeri ketika itu, Dr. Goh Cheng Teik dan Dr. Kang Ching Seng. Bagaimanapun jawatan itu menjadi milik Tsu Koon. Siapa pun yang bakal dicalonkan sebagai KM jika BN menang, pada kali ini Gerakan perlu menyediakan barisan calon boleh menang, yang dapat diterima pengundi. Kalah atau menang, perkara kedua.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.