saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 22/04/2012

RTM Mobile cetus revolusi baru

Dr. Rais Yatim bersama Masnah Rais (dua dari kiri), Norhyati (kiri sekali) dan Joseph Salang (kanan) melihat telefon bimbit pintar yang kini boleh menonton saluran RTM dan radio RTM melalui RTM Mobile.

SEIRING dengan ulang tahun ke 66, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengorak langkah setapak ke hadapan dengan pelancaran RTM Mobile yang dilihat sebagai medium baru dalam era globalisasi tanpa sempadan.

Tidak mahu terus melihat stesen yang cukup matang dalam segala sudut terus ditenggelamkan oleh pesaing, apa yang dilakukan oleh RTM merupakan cara untuk terus menjadi juara di hati para penonton yang setia bersama mereka sejak dulu lagi.

Apa yang dilakukan oleh RTM merupakan satu usaha berterusan untuk terus dekat dengan hati penonton dan dalam masa yang sama menjadi platform untuk menyebarkan informasi dan maklumat terkini terus menerus tanpa henti.

Meskipun menerima persaingan penyebaran maklumat dunia tanpa sempadan, itu tidak bermakna RTM perlu mengatasi medium berkenaan. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh RTM menerusi RTM Mobile ini merupakan kesinambungan untuk terus kekal relevan dan menjuarai hati penonton.

Bertempat di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Rabu lalu, RTM Mobile telah dilancarkan secara rasminya.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim turut dihadiri isterinya, Datin Seri Masnah Rais.

Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Joseph Salang, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Norhyati Ismail dan tetamu kehormat yang lain.

Aplikasi

RTM Mobile merupakan satu aplikasi streaming secara langsung di telefon pintar mudah alih. Segala maklumat dan perkhidmatan kini hanya berada dihujung jari dan boleh dicapai pada bila-bila masa menggunakan telefon pintar seperti Android, iPhone, BlackBerry, iPad, iPod dan gajet-gajet yang lain.

Sebagai peneraju aplikasi baru ini, penonton kini boleh menonton tiga saluran RTM terdiri daripada tv1, tv2 dan tvi selain boleh mendengar sembilan saluran radio yang terdapat di bawahnya termasuklah Klasik Nasional dan Muzik FM.

Saluran-saluran lain pula terdiri daripada ai FM, Minnal FM, Traxx FM, asyik FM, Nasional FM, KL FM dan Suara Malaysia.

Matlamat ini jelas menunjukkan kesungguhan RTM untuk terus kekal menjadi peneraju negara bangsa menerusi perkhidmatan penyiaran berteraskan gagasan 1Malaysia selain memanfaatkan teknologi maklumat dan media baharu untuk jangkauan pendengar dan penonton yang maksimum.

Tidak terkecuali dalam memartabatkan Bahasa Melayu untuk membina negara bangsa seperti yang diharapkan oleh semua.

Dalam ucapan perasmian, Rais cukup berbangga apabila RTM terus kekal mengorak langkah seiring dengan teknologi hari ini untuk terus berdaya saing dan kekal relevan.

“Perjuangan yang telah kita lalui harus diteruskan. Atas dasar itu, wajah penyiaran kita perlu berubah bila adanya aplikasi yang kita perkenalkan. Sudah pasti ini akan dapat memberikan informasi kepada seisi masyarakat tanpa mengira sempadan.

“Sesuai dengan keputusan ini, RTM Mobile harus menjadi wadah pelopor yang ulung tidak kira di mana sahaja. Ia akan menjadi platform terbaik kepada pemegang telefon bimbit untuk membuat capaian masing-masing kepada mana-mana saluran yang mereka gemari termasuklah TV1, TV2 dan TVi berserta sembilan saluran radio yang lain.

“Kita harap rangkaian yang lain dapat melakukan perkara yang sama agar setiap orang boleh menerima siaran dengan baik. Mungkin ada bayaran biasa yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi masing-masing.

“Saya berharap agar perkhidmatan yang kita berikan ini dapat disebar luas dan akhirnya akan menjadi sebutan setiap rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Menerusi Jabatan Penyiaran, mereka galak melaksanakan beberapa perubahan sama ada dari segi infrastruktur, pendekatan siaran dan juga modal insan. Penubuhan Media City, Pusat Berita Bersepadu, pendigitalan RTM dan sebagainya, adalah antara usaha pemantapan yang dilaksanakan, untuk meningkatkan prestasi dan mengukuhkan peranan Jabatan Penyiaran.

Usaha ini dilakukan secara berterusan untuk mengembalikan kecemerlangan RTM dalam bidang penyiaran negara ini.

Bagi Norhyati pula, beliau berharap apa sahaja usaha yang dilakukan ini akan diterima ramai terutama golongan muda yang menjadi pemangkin kepada negara.

Tambahnya, RTM sentiasa bersedia dengan ‘iklim’ yang sentiasa berubah terutamanya untuk generasi baru.

“Alhamdulillah, dengan daya usaha yang tidak sedikit nilainya, RTM Mobile menerusi telefon mudah alih dihasilkan dan menawarkan siaran streaming 4 saluran TV dan 9 saluran radio. Dengan menyediakan prasarana ini ia dilihat mengukuhkan lagi jenama RTM di medan persaingan media digital.

“Saya percaya, tanpa perubahan minda yang positif, bakat yang kreatif dan usaha keras warga RTM, inovasi ini tidak mungkin mampu dilaksanakan. Dengan perubahan minda ini, membuktikan warga RTM bersedia berubah, untuk menghadapi cabaran, bergerak seiring zaman, untuk sentiasa relevan.

“Hasil daripada perubahan demi perubahan yang dilaksanakan, RTM kini boleh ditonton, didengar dan dicapai oleh bukan sahaja penonton mahu pun pendengar negara kita, malah di seluruh dunia.

“Dengan penggunaan sistem telekomunikasi terkini juga daya kreativiti dan inovasi pegawai-pegawai kami, RTM kini dapat bersiaran menerusi internet dan menemui lebih daripada 23 juta penonton di mana jua,” katanya lagi.

Dengan adanya perkhidmatan ini, pemilik telefon bimbit boleh melayari www.rtm.gov.my seterusnya ke klik pada RTM Mobile untuk menyaksikan terus rancangan kegemaran mereka tanpa henti.

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat berkenaan RTM Mobile, pembaca boleh menghantarkan cadangan kepada [email protected], [email protected] atau menaip RTM ADUAN (e-mel pengadu) dan hantar kepada 15888.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.