saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/04/2012

Mata dan telinga Sultan

KEMESRAAN yang jelas terpancar antara pemain dan kepimpinan BAM ketika Abdullah menjawat jawatan Presiden.

SETELAH agak lama menyepikan diri berikutan tidak lagi terlibat dalam dunia politik, tokoh kali ini Datuk Seri Abdullah Fadzil Che Wan, pada awalnya agak sukar diajak untuk ditemu bual.

Namun akhirnya beliau akur bahawa sebagai bekas Presiden Persekutuan Badminton Malaysia (BAM) selain pernah menjawat jawatan timbalan menteri di beberapa kementerian, kisah terbaru mengenai dirinya masih tetap mendapat perhatian ramai.

Ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya, Abdullah jelas masih aktif dan kuat bekerja namun semangatnya kini lebih tertumpu kepada bidang perniagaan.

Apatah lagi bidang perniagaannya kini lebih terarah kepada industri sarang burung walet yang diterokai secara besar-besaran bersama beberapa rakan kongsinya.

Selain itu beliau juga terbabit dalam pelbagai perniagaan lain yang kebanyakannya tertumpu di negeri kelahirannya, Perak.

Namun sepanjang pertemuan berlangsung, Abdullah jelas teruja bercerita mengenai pengalamannya sebagai bekas Presiden BAM selain jawatan yang disandangnya sejak tidak lagi terlibat dalam politik, Orang Besar Jajahan Kinta di Perak.

Menurut beliau, jawatan tersebut merupakan sesuatu yang diwarisi dari keluarganya memandangkan Allahyarham bapanya pernah menyandang jawatan tersebut sepanjang hidupnya.

Namun jawatan tersebut disandang oleh ahli keluarganya yang lain selepas itu dan hanya setelah kematian saudaranya itu beliau telah terpilih untuk memegang jawatan itu.

"Ahli keluarga saya merupakan pewaris Orang Besar Jajahan Kinta sejak zaman berzaman maka apabila sampai giliran saya untuk memegang amanah itu saya telah meminta supaya nama saya digugurkan daripada bertanding semula dalam pilihan raya 2004.

"Bagi saya tanggungjawab sebagai Orang Besar Jajahan Kinta adalah sesuatu yang perlu dijalankan kerana ia telah menjadi amanah yang telah diperturunkan daripada Yang Teramat Mulia Sultan Perak terdahulu sehingga sekarang kepada keluarga saya.

Menurut Abdullah, tugas sebagai Orang Besar Jajahan Kinta adalah sebagai mata dan telinga kepada Sultan Perak selain menjalankan tugas sebagai penasihat kepada beliau dalam hal dan perkara berkaitan dengan dengan daerah Kinta.

"Selain itu saya juga bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian serta mengambil tahu masalah penduduk setempat," ujar Abdullah.

ABDULLAH turut berkeupayaan bermain beberapa peralatan muzik.

Penglibatan

Lelaki ini yang dilahirkan pada Julai 1945 di Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak pernah bersekolah di Sekolah Menengah Anderson dan Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Pajab di Lahore Pakistan.

Menceritakan tentang keluarganya, bapanya meninggal dunia pada usianya baru mencecah dua tahun. Manakala ibunya On Zahariah Abu Bakar merupakan orang yang paling banyak mempengaruhi hidupnya.

Bagi Abdullah, ibunya adalah segalanya dalam hidupnya malah pada saat beliau bersama ibunya sebelum beliau menghembus nafas terakhir empat tahun lepas, itu adalah saat paling menyayat hati dalam hidup beliau.

"Ibu saya adalah seorang yang sangat penyayang malah beliau langsung tidak pernah marah malah mencubit beliau dan adiknya sepanjang hidupnya.

Sepanjang hidupnya beliau adalah seorang yang sangat berjasa bukan sahaja kepada keluarga malah juga kepada masyarakat," katanya.

Menurut Abdullah, ibunya merupakan antara ahli politik wanita terawal negara dan pernah menjadi ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Mewarisi darah politik ibunya, sejarah penglibatan Abdullah dalam politik bermula pada tahun 1982 apabila dilantik sebagai Senator.

Namun sebelum itu sekitar awal tahun 1970-an, beliau pernah berjumpa dengan Dr. Mahathir (kini Tun) dan isterinya Dr. Siti Hasmah memandangkan beliau pernah berkhidmat di Hospital Jitra.

Hubungan beliau menjadi rapat kemudiannya walaupun Abdullah kemudian terpaksa berpindah randah ke beberapa hospital lain.

Namun beliau kemudiannya nekad berhenti berkhidmat untuk kerajaan kerana mahu membuka kliniknya sendiri di kampung halamannya memandangkan di sana masih belum terdapat klinik yang dikendalikan oleh orang Melayu.

Klinik tersebut yang dibuka pada tahun 1976 diberi nama Klinik Che Wan.

Sejak itu beliau mula berkecimpung dalam politik bermula dari bawah dan pernah menjadi Ketua Pemuda Negeri Perak.

BELIAU kini bergerak aktif dalam perniagaan burung walet bersama syarikatnya, swiftletecopark.

Akhirnya rezeki beliau dalam politik termakbul apabila beliau dipilih untuk bertanding di Parlimen Bukit Gantang selama empat penggal bermula pada tahun 1986 hingga 1999.

Beliau pernah menjawat jawatan penting dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri Luar dan Pertahanan.

Namun nama beliau sebenarnya lebih dikenali sebagai orang penting dalam arena badminton negara. Setelah terpilih sebagai Timbalan Presiden BAM untuk beberapa ketika, Abdullah akhirnya menjawat jawatan presiden pada 1993 hingga 2000.

Bagaimanapun beliau meluahkan kekecewaannya kerana sepanjang kepimpinan beliau negara gagal memenangi Piala Thomas dan ia berlarutan sehingga kini.

Namun sedikit sebanyak kemenangan Malaysia sebagai juara Piala Thomas 1992, ketika beliau menjawat jawatan nombor dua di dalam BAM sedikit sebanyak mengubat hatinya.

Walaupun pelbagai kontroversi melanda BAM ketika di bawah kepimpinannya, namun beliau masih bertegas dengan apa yang telah berlaku.

Bapa kepada tujuh anak, empat lelaki dan tiga perempuan, masih terus bermain badminton sehingga kini sebagai hobi masa lapang.

Selain itu beliau turut berkeupayaan bermain beberapa alat muzik seperti gitar dan piano selain melukis apabila ada masa lapang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.