saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/05/2012

Keindahan Prague, pelajar Malaysia dan wawasan kita…

Ribuan peserta Maraton Antarabangsa Prague menyeberangi Jambatan Charles yang membelah Sungai Vltava di Prageu pada 13 Mei lalu. - REUTERS

SEJAK Rabu minggu lalu saya berada di Prague, atau juga disebut Praha. Prague ialah sebuah bandar raya dalam negara Czech Republic di Eropah yang cukup hebat. Pelancongannya menjadi antara industri yang membawa keuntungan besar kepada negara ini.

Kristal Bohemia negara itu menjadi kegilaan dunia. Ramai pelancong Asia kini bertumpu ke negara ini, dari Korea, Jepun, Taiwan, China, India dan lain-lain. Banyak muka Asia boleh dilihat melancong, selain muka-muka pelancong Eropah dan Amerika. Bangunan-bangunan yang dibina pada zaman pertengahan (medieval) ribuan tahun dulu, kini peninggalan berharga untuk generasi hari ini.

Tidak salah membina bangunan ikonik atau seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), yang jika 100, 200 atau 1,000 tahun akan datang ia akan menjadi struktur yang akan dihargai oleh generasi hari itu. Ketamadunan sesebuah negara terletak juga kepada struktur-struktur bangunannya yang cukup terperinci pembinaannya.

Tidak salah Menara Berkembar KLCC dibina oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad atau pun bandar raya Putrajaya, kerana itu akan menjadi ketamadunan kita ratusan tahun dari sekarang. Semasa pembinaannya banyak yang mengatakan ia adalah projek membazir. Projek jambatan Pulau Pinang yang dibina pada 1980-an dulu pun dikatakan membazir. Yang bercakap mengenai membazir itu sebenarnya takut kerana ia akan menjadi sokongan kepada pihak yang lain.

Itulah politik wahai pembaca sekalian. Apa yang baik akan ditentang kerana dikhuatiri ia akan mendapat sokongan. Apa yang buruk akan dibesar-besarkan, kerana ia boleh menjatuhkan air muka pihak yang memerintah. Maka pusingan itu akan berpusing. Malangnya jika ada yang tidak faham mengenai permainan politik ini, maka dia akan menjadi taksub membabi buta, walaupun orang itu sebijak mana sekali pun.

Sekarang, peninggalan ribuan tahun Prague itu menjadi pendapatan kepada negara yang memelihara dan mewarisi bangunan-bangunan warisan itu. Prague yang terdiri daripada lima bandar purba, dibangunkan menjadi bandar raya moden pada 1900-an (Lihat http://travelgrotto.com/prague.htm). Bandar raya ini dianugerahkan Tuhan keindahan sungai, Sungai Elbe, yang dikenali sebagai Vltava yang membelah di tengah-tengah Prague. Restoran-restoran mahal kini ditempatkan dalam bangunan-bangunan lama yang menghadap ke arah sungai itu.

Prague pernah menjadi jalan persinggahan pedagang-pedagang di Eropah kerana lokasinya yang utama sejak berkurun-kurun.

Di satu peringkat semasa Zaman Kegemilangan Prague, ia lebih besar dan utama dari London atau Paris. Kemudian ia diperintah oleh kuasa diraja Austria selama 400 tahun. Revolusi oleh penganut Protestant meletus pada masa itu dan membawa kepada peperangan selama 30 tahun. Jerman pula menjajahi bandar Prague semasa Perang Dunia Kedua, diikuti dengan pemerintahan komunis selama 40 tahun.

Kini, Czech Republic berdiri megah di atas sejarahnya sebagai negara autonomi yang berjaya. Kereta-kereta mewah menjalar di atas jalan. Sukar untuk melihat kereta selain daripada Mercedes-Benz, BMW, Audi dan lain-lain. Wajah-wajah dan cara pakaian orangnya sama taraf dengan warga kosmopolitan London atau Paris atau pun New York.

Prague dibina semula atas kehancuran peperangan dan anutan yang dibendung. Semasa pemerintahan komunis dulu ia tertutup. Kini Czech Republic ialah sebuah negara berstatus maju. Malaysia bukan maju lagi. Kini mengejar tahun 2020, jika semuanya lancar, dengan izin Allah, kita akan menjadi status negara maju, sama seperti Singapura, Jepun, England dan negara-negara orang putih yang lain.

Negara maju bermakna, semua sistemnya sudah berjalan dengan lancar. Jarang sekali kedengaran rungutan yang tidak tentu pasal. Pengangkutan awam di Prague ini cukup baik. MRT Metro bawah tanahnya bagus. Tram di atas tanah pula bersimpang-siur. Bas-basnya bukan seperti bas Metro Kuala Lumpur yang comot. Teksi-teksinya cukup mewah. Pemandu-pemandunya terdiri daripada anak-anak muda yang cukup bersopan.

Pendek kata, sikap pekerja, pemandu teksi, pemimpinnya sudah maju. Pemandu teksi tidak bercerita mengenai politik yang mahu menjatuhkan kerajaan tidak tentu pasal kepada penumpangnya.

Kerja ialah kerja. Bukan kerja dan mengondem. Semasa saya dalam perjalanan ke KLIA (juga salah satu ikon Malaysia), pemandu teksinya megah menceritakan fasal keluarganya, semuanya ahli-ahli dan pemimpin Pas! Dirinya sendiri mengaku sebagai pemimpin cawangan Pas. Yang hairannya, saya tak tanya pun?

Jika itulah pemikiran kita sampai bila kita hendak maju.

Di Prague dan Czech, rakyat Malaysia ramai juga. Semuanya para pelajar yang terbaik Malaysia. Jika saya sebut terbaik, bermakna pelajar-pelajar itu ialah pelajar yang mendapat keputusan bukan sekurang-kurangnya, tapi sempurna 10A+.

Kira-kira 350 orang semuanya belajar dalam bidang perubatan. Semua mereka akan kembali menjadi pegawai perubatan di negara kita. Bermakna mereka akan menjadi doktor perubatan. Saya amat beruntung kerana diberi kesempatan bertemu dengan sebahagian mereka. Bercakap dengan mereka.

Yang datang bertemu saya ialah mereka yang berfikiran terbuka. Mungkin kerana mereka mendengar saya dari Utusan Malaysia, maka ada yang datang. Ada juga yang apabila mendengar saya dari Utusan Malaysia ada yang benci.

Mereka fobia mendengar saya dari Utusan. Kumpulan ini mungkin pada fikiran saya, tidak fobia apabila mendengar media-media pembangkang atau anti kerajaan yang lain. Anti bermakna baik, yang menyokong kerajaan mungkin sebaliknya?

Rata-rata atau sebahagian besar ialah pelajar Melayu. Yang menerima biasiswa, sama ada JPA atau Mara.

Ada yang syukur menerima biasiswa itu, atau yang tidak mahu bersyukur akan berkata itu hak kerajaan memberi mereka biasiswa, kerana mak bapa mereka juga membayar cukai.

Wahai pembaca sekalian yang menyukai atau membenci kolum saya ini, Malaysia belum lagi menjadi negara maju. Tapi apa yang dilakukan kerajaan Malaysia, menghantar ratusan ribuan rakyatnya ke luar negara sejak 1970-an atau lebih awal lagi, dan pada zaman kegemilangannya pada 1980-an apabila berpuluh-puluh ribu pelajar dihantar ke Amerika Syarikat dan Britain. Tujuannya adalah untuk memastikan landasan negara kita berjalan dengan betul.

Kita mempunyai wawasan. Wawasannya ialah untuk menjadi sebuah negara maju. Perdana Menteri, Najib Tun Razak kini berhempas pulas memegang amanah daripada penyandang-penyandangnya untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang betul. Malah beliau telah membuat beberapa transformasi drastik bagi memastikan ia diselaraskan dengan suasana semasa.

Sebagai negara yang baru merdeka selama 55 tahun, sepatutnya jauh lagi perjalanan kita. Tapi, alhamdulillah, hasil kerja kuat pemimpin terdahulu inilah Malaysia yang kita ada sekarang. Hanya lapan tahun lagi menjelang 2020.

Seorang diplomat dan bekas duta besar Czech ke Kuala Lumpur yang sempat saya ketemu di Prague amat-amat mengagumi Malaysia. Dia berkata kepada saya, di Malaysia beliau mempunyai ramai kawan. Anak-anaknya juga menyukai Kuala Lumpur. Malah anaknya mahu bekerja di KL, sebagai chef di sebuah hotel ternama di KL.

“Selepas saya bertukar sebagai Duta di Beijing, saya tiada kawan seperti mana di Malaysia," katanya sambil membuat simbol jarinya, kosong, semasa makan tengah hari dengannya di Prague.

Bagi pelajar-pelajar kita di luar negara pula, tugas mereka ialah belajar. Mungkin mereka boleh kritikal, itu tidak salah, tapi biarlah ia berhemah. Fikirlah apa akibatnya kepada negara. Tanggungjawab kita ialah kepada negara dan kerajaan semasa yang kita junjung.

Negara kita bukan seperti negara-negara maju lain. Kadar rasuah kita masih tinggi, namun ia kini terkawal. Jika tangkapan demi tangkapan kes-kes rasuah semakin banyak disiarkan media, itu tandanya demokrasi kita berjalan. Itu tandanya penguatkuasaan kita oleh SPRM berjalan. Begitu juga dalam agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Jika jumlah tangkapan atau dendaannya semakin tinggi bermakna fungsinya berjalan.

Polis trafik menyaman pemandu kerana kesalahan lalu lintas. Sistemnya telah diatur sebegitu. Tapi jika polis trafik itu meminta wang sebagai suapan untuk tidak mengeluarkan tiket saman, maka jangan disalahkan sistem itu, tapi individu yang memakan rasuah tersebutlah. Polis trafik itu perlu ditangkap, dihukum dan diaibkan melalui undang-undang.

Ternyata, kunjungan saya ke Prague sangat-sangat berharga. Sebuah bandar raya yang belum pernah terlintas untuk saya kunjungi. Saya telah pernah pergi ke banyak bandar raya besar dunia, ternyata Prague mempunyai keistimewaannya.

Walaupun umat Islamnya tidak ramai, saya sempat bersolat Jumaat di sebuah bangunan yang disewa. Solat itu terpaksa dilakukan dua kali kerana makmumnya ramai. Solat kedua yang saya ikutinya, kami terpaksa solat dalam keadaan bersesak-sesak. Itulah semangat dan ketaatan umat Islam kepada anutannya.

Akhir sekali, terima kasih tidak terhingga saya kepada Duta Besar Malaysia di Czech Republic, Tuan Yang Terutama, Zainal Abidin Abu Bakar dan isteri yang sempat saya ketemu dan melayan kerenah saya. Walaupun TYT Zainal seorang yang tegas, cengeh (garang atau tegas istilah orang Kedah), beliau berjaya menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Terima kasih kepada semua kakitangan kedutaan. Terima kasih juga kepada Duta Besar Republik Korea di Czech Republic, Gabriel Oh dan isteri yang mengajak saya makan malam di sebuah restoran mewah di tepi sungai Vltava.

Terima kasih saya juga kepada adik-adikku pelajar-pelajar Malaysia, termasuk bakal doktor kumpulan pertama yang akan bergraduan Julai ini. Yang akan menduduki peperiksaan saya ucapkan selamat berjaya.

Hanya ingatan saya, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri - yang terbaik ialah negara kita. Kita bangga menjadi rakyat Malaysia!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.