saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/05/2012

Okey! Okey!

LAGU-LAGU Allahyarham Sudirman menjadikan penonton berasa dekat dengan karya ini.

Tidak ramai pengarah yang berani atau mungkin sebenarnya tidak berupaya menghasilkan filem muzikal.

Jangan keliru antara sebuah naskhah muzikal (misalnya Tipah Tertipu arahan Ahmad Idham, 2006) berbanding filem yang dipenuhi dengan lagu-lagu (Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam, 1994) kerana pendekatannya sama sekali berbeza.

Cabaran terbesar pengarah adalah untuk menjadikan sesuatu babak muzikal itu berkesan. Lazimnya, perlakuan menyanyi sambil menari di dalam filem Melayu kelihatan tidak 'natural', lalu dengan mudah mengundang ketawa penonton.

Untungnya hal itu tidak terjadi kepada Hoore! Hoore!, filem terbaru arahan Saw Teong Hin selepas epik blockbuster Puteri Gunung Ledang (2004) dan filem komedi romantik, Apa Kata Hati (2008).

Seperti mana Mamma Mia! (2008) menggunakan lagu-lagu Abba sebagai penyambung cerita, Teong Hin dan penulis skrip Shahriman Wahap juga menggunakan rangka struktur yang serupa. Mereka menjadikan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad sebagai titik inspirasi.

Hoore! Hoore! mengisahkan seorang gadis bertubuh gempal, Nurul Aiman yang selalu dibuli dan dipandang rendah rakan sekolah. Akrab dengan neneknya, suatu hari dia dibawa menyertai pertandingan Ratu Idola anjuran sebuah majalah ketika ibu bapanya mengerjakan umrah.

Disokong rakan baiknya, Johari, mereka mahu Aiman membina keyakinan diri dan percaya kecantikan itu bukan sekadar luaran. Keberanian Aiman mencetuskan sensasi baru untuk pertandingan itu. Ada yang mengecam, tetapi tidak kurang juga yang memberi sokongan.

Dilema tercetus apabila ibu bapa Aiman pulang dari Mekah. Penyertaannya yang sudah sampai ke peringkat akhir ditentang. Malah, bapa Johari juga menghalang anaknya dari bertemu Aiman lagi kerana menyifatkan perbuatan gadis itu tidak manis dipandang orang kampung.

Sekali imbas, temanya tentang gadis bertubuh gempal yang mahu membuktikan sesuatu kepada dunia, mengingatkan saya kepada muzikal Hairspray (1988, 2007). Begitupun, persamaan tersebut berjaya dilupakan kerana kebijaksanaan Teong Hin dalam membuatkan penonton terleka.

Babak demi babak mempunyai kesinambungan yang baik hasil nukilan skrip yang meyakinkan. Saya kira ini juga berkaitan dengan pemilihan lagu-lagu Sudirman yang mesra pendengar, yang membuatkan penonton berasa lebih dekat dan menyayangi naskhah ini.

Tahniah Audi Mok atas susunan yang sangat minimal pertukarannya dan 'kehangatan' bunyi asal lagu-lagu tersebut masih boleh dirasai.

Setiap watak mempunyai keserasian yang boleh dipercayai penonton, terima kasih kepada barisan pelakon yang berbakat tinggi, terutamanya Fauziah Nawi dan Adibah Noor. Kerana mereka menyanyi dengan suara sendiri, babak yang dijayakan itu tidak nampak janggal atau kaku.

Nurfarah Nazirah yang baru pertama kali berlakon, memberikan sepenuh dedikasi dan kebolehan untuk menjiwai peranan Aiman. Hoore! Hoore! sebenarnya bergantung kepada Nurfarah kerana dialah yang menjadi tunjang cerita. Jika dia gagal, maka filem ini juga berkemungkinan kecundang.

Dia bernasib baik kerana disokong barisan pelakon berpengalaman, tetapi Nurfarah juga tidak tenggelam dalam kehebatan mereka. Dia mampu menyampaikan perasaan-perasaan asas - marah, gembira, kecewa, tertekan - dan suaranya sesuai. Mungkin belum ke tahap cemerlang, tetapi boleh tahan.

Pertama kali di layar perak juga, Akim kelihatan selesa dengan karakter Johari. Cuma watak Rita lakonan Kilafairy dirasakan seperti sedikit terpinggir dan underdeveloped. Sebagai watak antagonis utama, 'perhubungan' di antara Rita dan Aiman sepatutnya dibina dengan lebih kukuh.

Hoore! Hoore! juga mempunyai kelemahan dari aspek koreografi. Naskhah muzikal selalunya mengujakan penonton untuk menari sama atau sekurang-kurangnya membuatkan penonton mahu menggoyangkan kaki. Tetapi penggayaan tarian dalam filem ini tidak cukup bertenaga.

Saya membayangkan alangkah seronoknya jika babak ketika penduduk kampung menari pada awal dan akhir filem ini disertai lebih ramai orang. Begitu juga jika babak pertandingan Ratu Idola diadakan dengan set dan lokasi yang lebih gah, bersesuaian dengan liputan muka depan yang diberikan akhbar tempatan.

Hoore! Hoore! bukanlah sebuah naskhah yang sempurna, tetapi secara keseluruhannya ia okay. Filem ini mampu menjentik perasaan, membuatkan penonton sebak dan ketawa. Keberanian Teong Hin untuk mengerjakan filem muzikal dengan tema inspirasi remaja tanpa dibantu pelakon komersial patut diberikan tepukan di bahu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.