saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 17/06/2012

Tumbangnya sang diktator

Peperangan ada dalam hidup manusia di dunia ini. Falsafahnya mudah saja. Yang menang kuat. Yang kalah lemah. Yang menang tuan kepada yang kalah. Yang kalah hamba kepada yang menang. Itulah Dato' Panglima Perang Negara Merah. Dia memikirkan dalam-dalam. Perang! Kata putus ahli-ahli untuk berperang belum muktamad. Di Negara Putih kesucian adalah pegangannya. Berperang dengan Negara Putih untuk meluaskan jajahan takluk. Itulah yang disuarakan oleh Ahli-ahli Sidang Perang. Namun begitu ada juga yang tidak bersetuju dengan peperangan.

"Tiada faedahnya kita berperang dengan Negara Putih." Dato' Purba dengan tiba-tiba berani bersuara. Ahli-ahli Sidang Perang sungguh terperanjat dengan kata-kata Dato' Purba itu.

"Wahai Ahli-ahli Sidang Perang yang budiman sekalian. Lebih baik kita batalkan saja usul untuk berperang dengan Negara Putih. Merugikan saja negara. Lihat saja bila kita berperang dengan Negara Biru. Ramai tentera kita terkorban. Memang kita menang. Negara Biru dapat kita takluk. Tapi banyak wang kita habiskan untuk belanja berperang. Akibatnya kita tidak dapat melaksanakan pembangunan negara," dengan panjang lebar Dato' Purba berhujah.

Untuk menguji kekuatan peperangan adalah jawapannya. Negara Merah sudah dilengkapi dengan senjata perang canggih. Negara Merah tidak mahu ketinggalan dengan negara-negara lain yang memiliki senjata canggih.

Tiada gunanya senjata canggih ini dimiliki. Dengan harga yang mahal menggunakan wang rakyat. Hasilnya?

Menguji senjata canggih yang dibeli berperang dengan Negara Biru adalah permulaan kebangkitan Negara Merah. Dalam peperangan dan penaklukan pembangunan negara tidak diutamakan. Sidang Negara Merah lebih kepada peperangan.

"Dato'!" herdik Dato' Panglima. Wajah bengis dan garang. Kena dengan perwatakan dan jawatannya. Semua terdiam. Ketakutan. Memandang wajah Dato' Panglima yang menerkam bulat-bulat muka Dato' Purba.

"Mulai hari ini Dato' dipecat dari menjadi Ahli Sidang Perang. Keluar!" halau Dato' Panglima dengan nada suara yang tinggi.

"Dato', sebagai pengerusi saya harap Dato' fikirkanlah apa yang saya perkatakan ini untuk kebaikan Negara Merah yang kita cintai," kata Dato' Purba.

"Sudah! Keluar saya kata!" tengking Dato' Panglima lagi. Dato' Purba meninggalkan dewan tempat berlangsungnya Sidang Perang diktator dan kuku besi. Itulah yang diamalkan oleh Dato' Panglima. Menggunakan kuasa tentera dan kekerasan.

Bagi Negara Putih peperangan perlu dielakkan. Pentingkan keamanan, kedamaian dan keharmonian hidup rakyat. Bersesuaian dengan nama negara. Suci dan bersih. Mengelakkan kemusnahan dunia daripada ledakan peluru dan bom. Tidak sanggup melihat rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa.

"Kita harus bersedia untuk berperang dengan Negara Merah," ujar Dato' Pendeta. Pemimpin Negara Putih.

"Dato', kita perlu membeli senjata-senjata canggih untuk mengalahkan mereka," sahut Dato' Setia pula sebaliknya. Dato' Pendeta tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata Dato' Setia itu. Rasa kehairanan jelas kelihatan di wajah Dato' Setia. Salahkah? Apa yang diperkatakan tadi.

"Tak perlu kita membeli senjata canggih. Bukankah itu pembaziran namanya dan bertentangan dengan dasar kerajaan kita," Dato' Pendeta menambah.

"Habis kita nak lawan mereka dengan apa?" tanya Dato' Setia sambil mengangkat kepala melihat wajah Dato' Pendeta.

"Diplomasi!" Dato' Pendeta menjawab pendek. Mengangguk-anggukkan kepala. Memegang lembut bahu Dato' Setia.

******Menerusi jendela kaca Dato' Panglima melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke luar. Deru kenderaan jelas kelihatan berlibur di atas jalan raya. Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit. Bersama cuaca yang nampak cerah, matahari terang-benderang. Awan tebal memutih dan langit membiru.

Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang bilik. Sidang Perang berhenti rehat makan tengah hari. Dato' Panglima terus melayan fikirannya. Dia perlukan majoriti ahli-ahli bagi melancarkan serangan ke atas Negara Putih.

Kekayaan hasil bumi, emas dan minyak Negara Putih mesti direbut untuk menyumbang pembangunan ekonomi Negara Merah. Negara Merah semakin mundur dan malap akibat peperangan. Peperangan sebenarnya tidak membawa apa-apa keuntungan.

Dato' Panglima terus merenung nasib rakyat Negara Merah. Sebagai pemimpin dia bertanggungjawab ke atas semua itu. Jumlah hutang Negara Merah dengan Bank Dunia amat besar. Semuanya belum dilangsaikan lagi. Notis untuk melangsaikannya telah banyak kali dikeluarkan. Silap-silap Negara Merah terpaksa digadaikan kepada Bank Dunia sekiranya gagal menjelaskannya. Ini sudah tentu membangkitkan lagi kemarahan rakyat.

Merbahaya dan masalah besar Dato' Purba ini. Sungguh, begitulah telahan Dato' Panglima. Ini tidak boleh dibiarkan. Semalaman dia tidak tidur memikirkan perkara ini. Kuasa diktator yang ada padanya dan tiada siapa yang berani menentang. Riwayat Dato' Purba bersama dengan Parti Pembela Nasib Rakyat perlu ditamatkan segera sebelum terlambat. Dato' Purba dilabelkan sebagai peracun dan perosak pemikiran rakyat. Nasi kalau sudah menjadi bubur tiada gunanya lagi. Kalau dah terhantuk baru tergadah pun begitu juga. Semuanya sudah terlambat sekiranya benar-benar terjadi sedemikian.

Sangkaannya terhadap Dato' Purba meleset sama sekali. Dipecat dari menjadi Ahli Sidang Perang kerana menentang usul menyerang Negara Putih. Akan hilang kuasa dan pengaruh. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dato' Purba terang-terang melakukan pemberontakan. Mengubah dasar Kerajaan Negara Merah. Peperangan. Menghapuskan keberanian yang menjadi lambang utama negara. Diwarisi pemimpin terdahulu hingga sekarang, Dato' Panglima memanggil Ketua Pihak Berkuasa.

"Ada apa, Dato' memanggil saya?" Ketua Pihak Berkuasa menyoal.

"Tangkap Dato' Purba sekarang jugak. Dan penjarakan dia!" arah Dato' Panglima pula sebaliknya.

"Tapi dia perlu dibicarakan dulu di Mahkamah Pengadilan. Barulah boleh dipenjarakan. Itu kan undang-undang negara kita. Mana boleh kita langgar," kata Ketua Pihak Berkuasa itu menerbitkan kemarahan Dato' Panglima. Kata-kata itu. Wajahnya pantas berubah. Marah bercampur bengis.

"Ini arahan saya. Laksanakan saja. Jangan banyak tanya!" tengking Dato' Panglima sambil menghentak meja. Dia melepaskan geram teramat sangat kepada Ketua Pihak Berkuasa. Gema suaranya yang kedengaran seolah-olah bergegar dan boleh meruntuhkan bilik.

"Maafkan saya, Dato'. Saya tetap patuh pada peraturan dan undang-undang. Walaupun arahan Dato' pemimpin utama negara ini. Tiada gunanya saya memegang jawatan Ketua Pihak Berkuasa kalau bertindak sesuka hati. Saya tak mahu bersekongkol dengan Dato' melakukan kerja yang tidak baik. Saya rela meletakkan jawatan!" Dengan berani dia berterus-terang pada Dato' Panglima.

"Kalau begitu yang awak mahukan saya turutkan. Mulai dari hari ini awak dipecat sebagai Ketua Pihak Berkuasa seperti Dato' Purba jugak. Awak dijatuhkan hukuman penjara. Atas kesalahan besar bersubahat cuba menggulingkan saya!" putus Dato' Panglima. Nada suara tinggi dan keras.

"Saya rela masuk penjara asalkan tidak berdosa melakukan penganiayaan," Ketua Pihak Berkuasa bersuara. Berwajah tenang dan tersenyum kecil. Penuh dengan makna yang tersirat.

"Sudah! Pengawal. Tangkap Ketua Pihak Berkuasa dan sumbatkan dia ke dalam penjara!" arah Dato' Panglima. Kemarahan. Sukar dibendung lagi. Serta-merta dua orang pengawal masuk ke dalam bilik Dato' Panglima dan membawa keluar Ketua Pihak Berkuasa.

Begitulah manusia yang bernama Dato' Panglima. Hidup dipandu dengan diktator dan pemerintahan kuku besi. Penindasan dan kezaliman bebas dilakukan terhadap rakyat macam sudah menjadi darah daging. Bukan setakat Ketua Parti Pembela Nasib Rakyat Dato' Purba saja ditangkap malahan ahli-ahlinya juga. Dato' Panglima menjadikan alasan mengganggu usul Sidang Perang untuk menyerang Negara Putih sebagai propaganda utama. Sebab penangkapan dan perlunya mereka dijatuhkan hukuman penjara tanpa menjalani perbicaraan.

Keyakinan jelas terpancar di wajah Dato' Panglima pemimpin Negara Merah. Dengan cara ini sajalah untuk melumpuhkan ancaman Dato' Purba. Yang menggunakan Parti Pembela Nasib Rakyat sebagai medan. Mencetuskan kebangkitan rakyat. Berpaling tadah mengamalkan peperangan sebagai dasar utama negara. Dia terus dapat berkuasa. Memegang tampuk kepimpinan sehingga ke akhir hayat. Melalui kaca jendela Dato' Panglima melemparkan senyuman puas. Di sebalik bangunan-bangunan batu tinggi mengawan. Kekerasan dan pembunuhan. Seperti dalam peperangan digunakan oleh Dato' Panglima terhadap rakyat sendiri.

Sanggup melakukan apa sahaja asalkan kehendak hati dan impian tercapai. Tiada halangan dan sekatan. Peperangan. Hidup Dato' Panglima tidak boleh lari dan tenteram apabila melihat mayat-mayat manusia bergelimpangan. Mendengar tangisan orang tua, muda sehinggalah anak-anak kecil. Api dan asap hitam mengganas. Mudah meragut segala khazanah sejarah dan tamadun hidup manusia. Negara yang diserangnya.

Penderitaan, kesengsaraan dan kepayahan. Dahlah kalah perang, kehilangan nyawa dan harta benda bertuankan Dato' Panglima. Itulah nasib negara yang ditawan oleh Negara Merah. Begitu jugalah dengan rakyatnya yang sanggup diperlakukan oleh Dato' Panglima mengorbankan rakyat sendiri. Demi kepentingan kuasa dan diri sendiri manusia sememangnya mudah lupa. Bila sudah berada di atas bertepatan dengan pepatah yang selalu disebut apabila mendongak langit tinggi rumput hijau di bawah tidak dipandang lagi. Dato' Panglima lupa, angkuh, sombong dan bongkak. Rakyat yang dipijak-pijak dan ditindas-tindasnya selama inilah yang telah mengangkatnya sebagai pemimpin Negara Merah.

Kaya kuasa diktator dan pemerintahan kuku besi. Rakyat tunduk dan takut. Miskin kesabaran dan terlalu mengikut kehendak hati. Itulah sebenarnya perwatakan Dato' Panglima. Di sebalik bertopengkan teraju utama Negara Merah.

"Kita mesti bertindak bijak. Buang masa kita bersidang lama. Usul untuk menyerang Negara Putih tak kita capai. Kita mesti rampas kekayaan hasil bumi Negara Putih. Yang telah sekian lama kita ketahui. Boleh menampung keadaan ekonomi negara kita yang sedang kritikal sekarang ini. Jadi, dengan kuasa yang ada pada saya selaku Pengerusi Sidang Perang saya arahkan kepada Ketua Tentera agar melancarkan serangan terhadap Negara Putih!" tegas Dato' Panglima.

Terperanjat ahli-ahli Sidang Perang. Suara-suara kecil kedengaran memecahkan seluruh dewan tempat berlangsung sidang. Dato' Panglima memerhatikan sahaja gelagat ahli-ahlinya itu. Dasar Sidang Perang meluluskan usul terlebih dahulu sebelum berperang telah diubah oleh Dato' Panglima selaku pengerusi. Sekarang sudah ada dasar baru. Suara dan pandangan ahli-ahli sebelum membuat keputusan telah dimansuhkan.

"Ketua Tentera!" Dato' Panglima berkata.

"Saya, Dato'!" Dengan pantas Ketua Tentera menyahut dan mengangguk-anggukkan kepala.

"Buat persiapan segera. Kerahkan semua pasukan darat, udara dan laut. Susun strategi. Pastikan Negara Putih jatuh ke tangan kita. Laksanakan arahan ini!" arah Dato' Panglima lagi. Ahli-ahli Sidang Perang saling berpandangan. Suara-suara kecil yang tadinya kedengaran bertukar menjadi besar. Mempertikaikan usul yang diluluskan sendiri oleh Dato' Panglima.

"Maafkan saya, Dato'. Izinkan saya bercakap!" Di tengah-tengah kerancakan Ahli-ahli Sidang Perang membahaskan dasar negara yang tidak sepatutnya diubah oleh Dato' Panglima dengan tiba-tiba sahaja Dato' Dewangga yang menjaga hubungan luar negara bingkas bangun.

"Ya! Silakan!" ujar Dato' Panglima.

"Saya baru teringat. Negara Putih telah menghantar utusan. Mereka mahu berunding. Tidak mahu berperang," terang Dato' Dewangga.

"Lupakan semua tu. Teruskan misi utama negara kita!" tolak Dato' Panglima.

"Dato', sekali lagi saya minta maaf. Saya rasa lebih baik kita terima hajat baik Negara Putih untuk mengadakan rundingan. Lagipun …," Dato' Dewangga terhenti.

"Sudah! Sebagai pemimpin negara ini apa yang saya putuskan adalah muktamad. Kena ikut. Suka atau tidak. Hukuman penjara kepada sesiapa yang ingkar. Faham!" sergah Dato' Panglima.

Keganasan tiba-tiba sahaja melanda Negara Merah. Sangkaan Dato' Panglima silap. Rakyat telah disuntik semangat dan memberontak apabila Dato' Purba dipenjarakan. Ahli-ahli Sidang Perang juga berpaling tadah. Bergerak bersama rakyat untuk menentang Dato' Panglima. Saban hari demonstrasi berlaku. Desakan agar Dato' Panglima meletak jawatan dilaung-laungkan oleh rakyat.

Menuntut Dato' Purba dibebaskan. Rancangan untuk menyerang Negara Putih tergendala. Rusuhan yang berlaku dalam sejarah Negara Merah membawa pertempuran rakyat dengan tentera. Mereka yang berjuang atas agenda inginkan perubahan dan kepimpinan baru menggelarkan diri mereka "Pasukan Berani Mati". Ramai rakyat dan tentera terkorban. Huru-hara, kacau-bilau dan kegiatan Negara Merah lumpuh. Berperang sesama sendiri. Tentera juga adalah rakyat. Cuma dipilih untuk memikul senjata dan berperang. Inilah yang terpaksa ditanggung oleh Dato' Panglima. Dia salah percaturan apabila menjadikan peperangan untuk meluaskan kuasa dan mengaut keuntungan hasil daripada kekayaan bumi negara yang ditakluk.

Keyakinan rakyat terhadap Dato' Panglima untuk membawa negara ke arah pembangunan dan kepimpinan terus lenyap. Umpama gelombang ganas di lautan. Menelan sesiapa sahaja. Termasuk kapal. Diktator dan pemerintahan kuku besi. Inilah akibatnya. Rakyat sudah tidak takut lagi pada semua itu. Mereka berani mencabar dan menentang habis-habisan kezaliman dan penindasan yang selama ini membayangi kehidupan mereka. Di bumi bernama Negara Merah.

Nyata Dato' Purba masih lagi mendapat tempat di hati rakyat. Sepanduk dan poster Dato' Purba diarak oleh rakyat. Dia dijulang sebagai wira dan pemimpin baru Negara Merah. Poster dan sepanduk Dato' Panglima juga diarak oleh rakyat tetapi dibakar dan dipijak-pijak. Dikecam dan diminta meletakkan jawatan dengan segera. Supaya keadaan menjadi tidak lebih buruk lagi.

Macam nama negaranya. Darah merah mengalir macam air sungai. Mayat-mayat rakyat dan tentera bergelimpangan di sana sini. Memenuhi seluruh Negara Merah. Api marak menjulang tinggi dan asap hitam. Keadaan di negara yang diserangnya. Tapi kini dia melihatnya di negara sendiri melalui jendela kaca di pejabatnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.