saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 21/06/2012

Wakaf baiki ekonomi negara

Berbeza dengan kutipan zakat, wakaf dapat diperuntukan bagi tujuan yang lebih menyeluruh kepada semua golongan masyarakat.

SEJARAH telah membuktikan, Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ekonomi yang sangat hebat. Hinggakan tiada seorangpun yang layak menerima zakat kerana tahap kemiskinan adalah sifar.

Ia berikutan perancangan ekonomi yang sistematik dan teliti yang diamalkan oleh pemerintah Islam pada zaman tersebut, di samping mengaplikasikan amalan ekonomi Islam dalam pemerintahan.

Salah satu daripadanya adalah amalan wakaf. Al-Qurtubi berpendapat wakaf ialah mengeluarkan harta dan manfaat yang dimiliki ke jalan yang diredai oleh Allah SWT demi untuk menghampirkan diri kepada Nya.

Wakaf bukan sesuatu yang baru untuk diperkenalkan. Malah ia telah diamalkan sejak dari era pemerintahan sahabat dan tabiin yang terbukti berkesan. Ia sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT menerusi ayat di atas.

Sehinggakan kemuncak kepada gagasan wakaf pada zaman Khalifah Uthmaniyyah iaitu, "Seseorang dilahirkan dalam rumah yang diwakafkan, tidur dalam buaian yang diwakafkan, membaca buku yang diwakafkan, mengajar dalam sekolah yang diwakafkan, menerima gaji daripada pentadbiran wakaf, dan akhirnya bila ia mati kelak, urusan jenazahnya adalah atas pentadbiran wakaf dan ia dikuburkan dalam tanah perkuburan wakaf."

Penubuhan PWS

Sebab itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang, wakaf mampu membaiki ekonomi negara.

Malah, mencontohi kegemilangan ekonomi pada zaman pemerintahan Islam , Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menubuhkan PWS pada Februari tahun lalu.

PWS adalah perbadanan yang berperanan untuk menggalakkan, mendorong, membantu, mengusaha dan memajukan harta serta produk wakaf mengikut Hukum Syarak.

Kata Abu Bakar, jika amalan wakaf berkembang pesat di negara ini ia diyakini dapat membentu membaiki ekonomi.

Beliau berkata, konsep menerima dan mengurus mengembangkan harta dalam amalan wakaf dapat membantu memperbaiki dan menyusun atur sistem ekonomi negara dengan menyumbangkan hasil wakaf kepada golongan yang memerlukan.

Sebagai contoh katanya, Universiti Al-Azhar, Mesir, ditubuhkan hasil daripada kutipan wakaf. Kini, pelajar yang menyambung pelajaran di universiti Islam tertua itu hanya perlu membayar yuran pada kadar yang minimum sahaja.

"Pencapaian itu kerana, kutipan harta wakaf diuruskan dan dikembangkan untuk manfaat masyarakat dengan cara melakukan kitaran pendapatan pada hasil harta wakaf tersebut.

"Tidak mustahil juga di negara ini, dengan kutipan wakaf yang disumbangkan mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang mengamalkan sistem ekonomi Islam dengan gemilang. Tidak mustahil pelajar tidak dikenakan bayaran dengan tertubuhnya sekolah wakaf, pesakit juga tidak dicas satu sen pun dengan terbinanya hospital wakaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di ibu pejabat PWS di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, baru-baru ini.

Selain menerima dan menguruskan kutipan harta wakaf, PWS turut berfungsi sebagai agensi penyelaras di dalam pelaksanaan kemajuan pembangunan harta dan produk wakaf secara pesat serta melaksanakan kajian dan pembangunan di dalam semua aspek harta dan produk wakaf.

Abu Bakar berkata, berbeza dengan kutipan zakat, harta wakaf dilihat lebih memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara kerana ia boleh dimanfaatkan tanpa batasan selagi tidak menyalahi hukum syarak.

"Zakat wajib dikeluarkan oleh semua umat Islam yang cukup syarat. Walaupun zakat juga memainkan peranan untuk pembangunan ummah, tetapi ia terbatas kepada golongan sasaran sahaja iaitu lapan lapan golongan asnaf yang disebutkan di dalam al-Quran dan perlu diagihkan segera pada tahun yang sama.

"Akan tetapi, harta wakaf berkekalan dan memberi manfaat berpanjangan kepada seluruh masyarakat dengan cara terus digunakan atau melakukan kitaran pendapatan pada hasil harta wakaf tersebut," jelasnya.

Hikmah wakaf

Bagaimanapun kata Abu Bakar, misi itu dilihat sukar untuk dicapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada seluruh masyarakat.

"Ramai di kalangan umat Islam yang masih belum menyedari hakikat kepentingan dan hikmah wakaf. Ramai yang beranggapan mereka akan kehilangan harta jika memberikan wakaf.

"Begitu juga pemikiran orang ramai yang mengatakan untuk memberi wakaf memerlukan harta yang banyak, sama ada untuk dijadikan tapak perkuburan atau masjid sahaja.

"Sebenarnya wakaf adalah luas. Ingin memberi wakaf tidak memerlukan harta yang banyak dan hasilnya juga akan dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan lain," katanya.

Tambahnya, di dalam kepercayaan agama lain juga telah mengamalkan sama seperti konsep wakaf dan terbukti berjaya sehingga mampu membina bangunan yang hebat dan gah.

Dengan serendah RM5 sebulan, orang ramai turut boleh menyumbang mewakafkan harta untuk kebajikan pembangunan ummah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.