saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 24/06/2012

Homosektual

PADA minggu kedua, dia telah dibawa ke sebuah pusat tahanan lantas dikurung di sebuah kamar kecil yang kelihatannya sudah pun dihuni oleh seseorang. Tatkala dia melangkah masuk ke kamar tersebut, penghuni asal kamar entah di mana. Dia meletakkan kole berisi berus gigi, sabun telur, tuala kecil dan sikat di atas lantai. Kamar itu tampak bersih. Cuma terdapat sebuah ranjang bujang untuk seorang. Dia memandang pengawal yang mengiringinya. Dan bersuara, "Hanya ada sebuah katil? Nampaknya bilik ini sudah pun berpenghuni?"

Pengawal itu sekadar menjawab dengan ketawa yang tidak dimengertinya. Hanya kemudian dia memahami maksud di sebalik tawa jahat tersebut.

Beberapa detik setelah itu, jeriji besi ditarik dan dia ditinggalkan di dalam kamar tersebut terpinga-pinga. Tahulah dia, kamar kecil ini terpaksa dikongsinya. Langit menyungkup kepala. Oleh kerana ranjang itu cuma satu, dia sebagai pendatang terkemudian terpaksalah tidur di atas simen. Jika penghuni asal kamar ini punya belas, mungkin dia akan dapat berbaik lalu bergilir tidur di katil bujang tersebut. Mungkin pula sebuah tilam akan diusung masuk untuk kenikmatannya. Tetapi, dia tidak memikirkan apa-apa yang indah di pusat tahanan tersebut. Sejak hari pertama dia ditahan atas dakwaan menjadi pengamal heterosektual, dia sudah siap siaga berdepan dengan kejahatan, manuver dan kezaliman kumpulan elit homosektual.

Matanya segera diserbu kantuk yang luar biasa. Memandangkan dia masih berwuduk, dia bersolat dahulu. Dia mengagak-agak sahaja zohor sudah pun melepasi batas waktu. Setelah menghadap Ilahi, dia berbaring di penjuru kamar dan dengan segera lelap menguasai. Dia tidur panjang.

Apabila dia membuka matanya, seorang pemuda yang tidak berbaju dan hanya mengenakan celana dalam pendek sedang terbaring di atas ranjang. Pemuda itu kemudian mengiring dan bingkas duduk. Tubuhnya kelihatan sasa dengan bidang dada yang besar. Urat tangan pemuda itu terjelma dan perut lepernya dirumbui bulu-bulu halus.

"Halo." Sapa pemuda kepadanya.

Dia menggeliat sedikit, dan serasa belakang badannya sakit-sakit. Jika dia harus tidur beralaskan simen buat beberapa lama lagi, dia tahu dia akan ditimpa bencana kesihatan yang ruwet kelak.

Dia membalas halo tersebut dengan kerlingan mata. Pemuda itu tersenyum dengan dua lubang lesung pipit yang menggandakan ketampanan. Mukanya bersih tanpa misai atau janggut. Rambut pemuda terlihat lurus dan memanjang hingga ke bahu. Dia sedikit rasa kurang selesa melihat pemuda itu hanya berseluar singkat.

Pemuda itu bersuara lagi, "Kamu ditahan kerana apa?"

Dia mendengus, menggaru-garu belakang pahanya yang kian berbintat. Mungkin kamar ini tidak sebersih mana. Perlahan-lahan dia bersuara, "Ditahan sejak awal Mac lalu kerana menjadi pengamal heterosektual."

Pemuda itu membundar mata, "Kamu pengamal heteroseksual? Cis, mereka sengaja nampaknya menempatkan kamu di sini denganku."

Dia menghela nafas, "Ya aku heteroseksual dan heterosektual."

Pemuda itu bagai dilanda kebingungan tiga jenak, dia merenungnya dan bertanya kembali, "Aku tidak tahu bahawa elit homosektual juga memusuhi heterosektual. Aku menyangka mereka hanya memburu kumpulan homoseksual."

Dia diam. Pemuda itu berdiri. "Seorang heterosektual berkongi kamar dan ranjang dengan seorang homoseksual."

Dia menghulur tangan untuk berjabat. Untung baik dia akan dipelawa tidur di atas ranjang bujang yang tampak selesa itu. Pemuda menyambut tangan dan menggoncang kukuh.

"Tuan homosapien, selamat datang ke kamar 16 Pusat Tahanan Muhhamd al Wahab 4. Namaku Haizam. Ditahan kerana orientasiku yang homoseksual. Apa nama kamu?"

"Homo Islamicus."

"Uhhh?"

II.

Sebulan selepas dia berkongsi kamar dengan pemuda, mereka semakin memahami antara satu sama lain. Benar, pemuda itu agak terbuka dan terdedah sentiasa. Haizam tidak pernah segan tidak berpakaian sama sekali. Juga Haizam berterang lagi terus dengan orientasi homoseksualnya. Dia juga masih tidak percaya kumpulan elit homosektual bertindak mengejar dan memenjarakan kumpulan minoriti heterosektual.

"Aku sukar percaya mereka anti kepada penganut supra mazhab. Ini kerana berbilang mazhab telah diiktiraf di negara-negara lain. Sangkaku mereka hanya bertindak kepada kami penganut faham liberal."

Dia ketawa rendah, serasa ingin membetulkan terminologi liberalisme tetapi memadam niatnya. "Manusia homosektual tidak pernah puas jika orang tidak dapat ditundukkan dan dipaksakan menganut satu faham sahaja. Kerana itulah mereka digelar homosektual. Penganut atau pengamal sejenis sekte dan hanya mampu mengunyah idea sejenis sekte sahaja. Untuk mereka hanya sekte mereka sahaja yang benar dan layak dimartabatkan."

Haizam pernah mempelawanya untuk tidur sekatil. Dia menolak dengan baik dan Haizam tertawa. "Kau bimbangkan aku seorang homoseksual ya?"

Namun melihat usianya yang sudah melepasi separuh abad, Haizam akhirnya bertolak ansur. Mereka bergilir tidur di atas ranjang yang sempit itu.

Bulan-bulan berikutnya Haizam sang homoseksual kian berani untuk mencabarnya, dia semakin berani mendedahkan diri. "Apa pandangan kau sebagai heterosektual terhadap kami homoseksual. Mungkinkah homosektual dan heterosektual bersikap yang sama terhadap kami manusia homoseksual?"

Dia menggeleng. "Tidak sama sekali. Bahkan kami heterosektual menerima adanya manusia dengan orientasi homoseksual."

"Menerima?" Tanya pemuda bernama Haizam itu tertarik, bahkan teruja.

"Aku belum habis..."

"Aku mendengar..."

"Buat kami pengamal heterosektual, kami menerima hakikat manusia memiliki salah satu dari empat orientasi seks. Pertama, adanya manusia heteroseksual. Kedua, ada pula manusia homoseksual seperti kamu. Ketiga, adanya manusia biseksual. Dan terakhir terdapat juga manusia aseksual. Kami menerima seadanya semua orientasi seksual. Harus diingat orientasi seks adalah perasaan, mungkin juga konsep diri. Bukan perilaku atau perbuatan. Orientasi seks dan perilaku seks berbeza. Aksi seks dapat dipilih. Sedang orientasi seks boleh sahaja menjadi sebab dari akibat-akibat seperti budaya, genetik, dan psikologi. Makanya kau dan aku boleh bersahabat dan bersaudara, kita boleh bertolak ansur dan menggilir malam untuk tidur di atas ranjang sempit ini sebagai manusia yang berhemah."

"Yang diterima adalah orientasi seks, tetapi perilaku seksnya dikutuk?" Haizam ingin penjelasan.

"Ha...kami pengamal heterosektual membezakan antara orientasi seks dan perilaku seks. Dalam Islam versi heterosektual, orientasi seks apa pun dibenarkan malah difahami kewujudannya. Seperti kataku tadi, ada manusia menjadi homoseks kerana trauma, kerana genetik dan berbagai-bagai alasan lain lagi. Yang kami tolak ialah perilaku homoseks. Ini kerana al-Quran menolak aksi atau perilaku homoseksual. Jika seseorang itu berorientasi homoseks tetapi tidak melakukan hubungan seks sejenis makanya Islam tidak menghukum."

"Yang diterima orientasi seks, tetapi perilaku seksnya dikutuk?" Haizam mengulang pertanyaan.

Dia membacakan ayat 54 dan 55 surah an-Naml itu langsung menerjemahkannya, "Dan (ingatlah kisah) Lut ketika ia berkata kepada kaumnya. Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi lelaki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu)."

Pemuda diberi nama Haizam itu tidak berkelip.

"Ta'tuna dalam ayat ini adalah mendatangi atau lebih tepat menggauli. Justeru, teks al Quran sudah muktamad dalam hal ini. Jadi menurut kami, pengamal heterosektual, orientasi seks kamu adalah homoseks, kamu tidak wajar dihukum kerananya. Kamu tidak patut ditahan atau digam. Hanya, hanya jika kamu disabit dengan perilaku seks, dalam hal ini homoseksual maka saat itu kamu akan dihukum. Seruas tebu yang berulat, seruas dibuangkan." Dia memutus hujah.

Pemuda homoseks itu menggumam. Terang-terang kain. Terang-terang laras. Terang-terang daun kacang.

III

Pada satu malam yang hening, ketika salju turun dengan lebatnya di luar; dia sedang menggigil dalam geletar kedinginan. Pemuda homoseks bingkas dari ranjang dan mempelawanya tidur di atas tilam kusam.

"Tetapi malam ini bukan malam untukku tidur di kasur?"

"Kau seusia ayahku. Aku masih muda. Biar aku tidur beralaskan selimut kusam ini. Ia memadai." Jawab pemuda itu santun. Kini kian beradab.

Dia berterima kasih dan berbaring di atas ranjang yang serasa amat kecil tersebut. Hampir-hampir dia terlelap saat terdengar suara pemuda itu bertanya sesuatu.

"Apa? Apa tanyamu?"

Haizam mengulang, "Kenapa kau ditahan Homo Islamicus?"

Dia menyahut perlahan, "Kerana aku Homo Islamicus yang meraikan perbezaan pandangan dari pelbagai sekolah pemikiran dalam Islam. Aku seorang penganut dan pengamal supra mazhab sehingga aku dijolok sebagai tokoh heterosektual. Inikan bertentangan dengan faham homosektual yang dianuti di negara kita ini. Hanya satu mazhab atau hubungan mazhab sejenis saja yang diizinkan."

"Huhh, tiba-tiba homosektual terasa menjijikkan. Sangat tidak normal. Dan anehnya, ini pandangan daripada seorang homoseksual sepertiku." Kata pemuda itu semacam berseloroh. Dia menyambung, "Maksudku, apakah puncanya kamu ditahan?"

Dia membetulkan baringan. "Kamu, kamu tidak pernah memberitahuku kenapa kamu ditahan?"

Pemuda ketawa ringan, "Sebab yang kecil. Aku menulis sebuah karya, sekadar sebuah pandangan di luar arus perdana. Aku menolak homosektual dan cuba mewajarkan orientasi homoseksual. Ia sebuah karya tentang Tuhan, tentang kebebasan dan tentang kasih sayang..."

Dia segera menyambut, "Sudah aku khabarkan dulu, orientasi seks apa pun tidak harus jadi masalah. Tetapi perilaku seks yang homoseksual tetap satu jenayah menurut Islam mazhab apa pun."

"Aku maklum. Err maklumkan aku kenapa kau ditahan?" Pemuda Haizam mulai melakukan senam duduk untuk mengempiskan perutnya.

"Satu ketika, aku menghadiri sebuah wacana akademik dan menyatakan pandanganku bahawa sebagai seorang heterosektual aku suka untuk mencari yang terbaik pada mazhab-mazhab dalam Islam."

Haizam berhenti seketika bersenam, mengesat peluh dari ketiaknya yang berbulu halus. "Wacana akademik tentang apa?"

"Tentang apakah kondisi yang dapat mensabitkan seseorang itu dengan perilaku homoseksual. Wacana tentang bagaimana menghukum pelaku seks homoseksual."

Haizam tertarik, berlapang dada dan benak, "Wah, apa pandanganmu? Ya menurut heterosektual?"

"Aku mencari yang terbaik pada mazhab-mazhab dalam Islam. Salahku juga kecil, kerana aku berhenti merujuk pandangan dari kitab-kitab yang disepakati dalam kalangan homosektual. Aku menemukan alternatif dari sekte lain. Bahawa menurut al Hurr al 'Amili dan Sheikh al Ta'ifah al Tusi ada empat keadaan harus dipenuhi untuk mensabitkan seseorang dengan perilaku homoseksual."

"Apa?"

"Pertama, satu standar bukti yang sangat terperinci. Perilaku homoseks hanya dapat disabitkan jika ada pengakuan yang diulangi sebanyak empat kali, atau daripada empat saksi lelaki, atau berdasar pemerhatian seorang hakim yang dinamakan 'ilm al hakim. Jika tuduhan liwat itu palsu, maka si penuduh harus dihukum sebagai qadhafa atau penfitnah. Kedua, hakim mesti mengesahkan pelaku homoseks hendaklah lelaki dewasa yang memiliki pertimbangan rasio dan melakukannya dengan rela. Ketiga, hakim mestilah menyiasat apakah keadaan-keadaan yang menimbulkan syak wasangka itu terjadi kerana satu keperluan. Misalnya sebuah kamar kecil dengan ranjang kecil yang tunggal, makanya jelaslah kedua-dua pelaku terpaksa berdepan dengan masalah ruang. Yang terakhir, hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh seorang hakim berkelayakan dan perbahasan tentang hakim mana yang layak itu amat panjang dan terperinci."

Dia duduk, kantuknya hilang. Di luar salju kian melebat. Haizam kembali semangat bersenam untuk mengempiskan perutnya. "Dan empat yang aku sebutkan itu hanyalah untuk menentukan keadaan yang relevan. Hukuman hadd hanya akan dilaksana kiranya tiga ujian menjadi jelas."

Haizam berhenti lagi melakukan senam duduk. "Apa ujian-ujian itu?"

"Penetrasi mestilah terbukti. Ini standar iqab. Jika perilaku seksual itu tiada penetrasi maka hukuman hadd tidak dapat dijalankan. Dalam pandangan mazhab kedua-dua ulama yang aku sebutkan tadi, sedikit keraguan pun akan menyebabkan tergugurnya hukuman. Dalam prinsip legal mazhab mereka, dar al hadd bil shubha menjadi pegangan. Hadd tidak akan berlaku bersandarkan kemungkinan atau mereka sebutkan sebagai la hadd ma'a al ihtimal. Jika peribadi sang pelaku itu konsisten baik sebelumnya maka hukum hadd menjadi sangat sukar. Juga, ujian ketiga ialah selalunya si pelaku diberi peluang bertaubat dan dalam mazhab alternatif yang aku rujuki itu sebarang penyesalan dan taubat akan menghalang sebarang hukuman."

Haizam merenungnya, "Maka apa yang menyebabkan pasukan elit homosektual berasa terganggu?"

Dia menggeleng, "Penguasa homosektual hanya mahu satu mazhab sahaja. Dalam faham mereka hanya satu mazhab sahaja dibenarkan untuk menentukan cara hidup manusia."

Haizam yang sedia bermata sepet mengecilkan pasang matanya lagi, "Lho, bukankah manusia itu berbagai-bagai, dan datang dari latar berbilang-bilang maka bagaimana satu sekte dapat menyelesaikan masalah atau realiti sosial yang ada? Seharusnya untuk satu masalah yang sangat rumit dan berjenis-jenis, hubungan mazhab sejenis tidak lagi relevan. Kita mesti dibenar merujuk kepada kepelbagaian dalam lingkungan yang dibenarkan." Haizam seakan melenting.

"Orang muda, sejak negara kita merdeka, kita ditakluk oleh satu sekte. Keadaan yang aku namakan homosektual." Dia menutup bicara dan menguap besar.

Salji kasar turun merembas keras.

Dia melihat pemuda menggeletar. Panas senamnya sudah larut. Dan spontan oleh rasa manusiawi dia bersuara, "Kasihan. Dingin. Alas gebar tipis itu tak akan merebut sejuk lantainya simen di malam musim dingin begini. Aku masih ingat saat pertama kali tiba di kamar ini. Jika tidak kerana toleran kamu tentu lantai simen itu sudah membunuhku. Jika kau mahu, kita boleh tidur bersama di atas ranjang ini."

Haizam memandangnya, "Kau...kau tidak khuatir denganku?"

Dia menjawab tenang, "Rasa manusiawi harus lebih besar mengatasi khuatir yang tidak berpangkalan."

Dua belas bulan setelah berkongsi sel, itulah pertama kali kedua-duanya tidur sekali di atas ranjang kecil dalam kamar sempit di pusat tahanan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.