saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/07/2012

Nilai filem tempatan

filem Bunohan dipuji sebagai karya hebat, tetapi tidak mendapat perhatian penonton.

BAGUS atau tidak? Ada yang berpendapat sesebuah filem itu bagus, mungkin sebaliknya bagi sesetengah peminat. Justeru apakah justifikasi kita kepada sebuah filem yang bagus dan berkualiti? Ini kerana terlalu ramai yang menganggap kebanyakan filem tempatan yang dihasilkan hari ini kurang bermutu.

Ironinya, banyak filem kita yang pecah panggung dan mendapat kutipan berbelas juta ringgit. Jadi di manakah kita meletakkan sasaran bahawa sesebuah filem itu bagus atau sebaliknya kerana ada filem 'berisi' tetapi tidak mendapat sambutan. Sedangkan filem yang 'hampas' mengaut keuntungan berganda.

Terdapat dua kategori filem dalam pasaran iaitu filem arus perdana dan filem alternatif. Seperti yang kita maklum, filem arus perdana adalah untuk tontonan ramai dan seringkali popular di kalangan khalayak.

Sementara filem alternatif (kebanyakan kita menganggap ia filem artistik) pula hanya digemari segelintir masyarakat. Namun pengisiannya lebih jujur dan selalunya bercakap tentang nasib bangsa dan negara.

Kedua-dua kategori filem ini mempunyai pengikutnya sendiri. Namun kebanyakan para penggiat filem lebih gemar menghasilkan filem arus perdana. Penghasilan filem alternatif boleh di kira dengan jari.

Apakah kerana mengejar keuntungan semata-mata menyebabkan kita lebih senang berfantasi dan mengelak untuk menghasilkan filem yang jujur?

Cukupkah hanya aspek teknikal seperti pengarahan, sinematografi dan suntingan untuk memberi suatu nilai kepada filem kita?

Bagaimana pula dengan pengisian makna sesebuah filem itu sendiri memandangkan filem yang baik seharusnya mendahulukan isi daripada bentuk. Kerana isi mengangkat nilai kehidupan yang boleh dikaitkan dengan penonton.

Filem-filem arahan arwah Yasmin Ahmad contohnya memberikan satu refleksi yang dianggap sebagai bermutu oleh golongan tertentu.

Banyak lagi filem-filem alternatif seperti Bunohan, ...Dalam Botol dan Budak Kelantan menunjukkan sisi sebenar kehidupan. Namun terpinggir dan tidak diberi perhatian dalam arena arus perdana.

"Apa yang kita ada sekarang adalah cinema of distruction atau filem untuk mengalih pandangan yang selalunya lebih kepada fantasi dan cuba mengalih pandangan kita daripada perkara yang sebenar," demikian jelas pensyarah filem, Hassan Mutalib.

Filem-filem seperti aksi lasak samseng, bohsia dan lumba motosikal haram umpamanya digemari khalayak khususnya anak muda kerana ia bukan sahaja meningkatkan andrenalin tetapi 'amat dekat' dengan mereka.

Malah di panggung-panggung wayang seluruh negara dewasa ini menayangkan sehingga tujuh filem seminggu dengan kebanyakannya bertunjangkan bentuk-bentuk sedemikian rupa.

"Apa yang saya tengok, standard filem kita sekarang berada pada kelas pekerja. Banyak filem-filem yang dihasilkan ditujukan kepada kelas pekerja dan mentaliti kelas pekerja yang hanya mahu berseronok sahaja.

"Ya... saya juga tidak mahu tengok filem untuk berfikir tetapi saya mahu menikmati jalan cerita dan ia bercakap tentang apa. Malangnya saya lihat 95 peratus filem-filem sekarang kosong dari segi pengisian. Ia ada cerita tetapi ia semata-mata bawa keseronokan," katanya lagi.

Pembuat filem @ pembuat wayang?

Menurut Hassan, pembuat filem pecah panggung hari ini kurang ilmu, namun mereka tahu mengenai teknik yang mampu menjadi kekuatan penyampaian sesebuah karya seperti kerja-kerja pengarahan seni, sinematografi dan suntingan yang kemas dan cantik.

"Tetapi ia tidak bermakna kerana mereka hanya glamor dan cantikkan dunia rempit, samseng dan sebagainya itu termasuk poster yang menjadi daya tarikan kerana anak muda memang menyukainya.

"Ini membuatkan mereka gagal sebagai pembikin filem sebaliknya hanya menjadi pembuat wayang," ujarnya sambil mengakui aspek teknikal industri perfileman tempatan berada pada kedudukan baik namun kebanyakan isi sesuatu karya masih ditakuk lama.

"Cerita kita merapu. Filem Mael Lambong, Suatu Malam Kubur Berasap dan sebagainya. Inikah mentaliti abad 21? Kenapa kita buat filem makin ke belakang," katanya.

Tegas Hassan, industri perfileman merupakan manifestasi budaya yang digunakan untuk mendidik manusia. Dan perkara itu antaranya dipraktikkan oleh pembuat filem Iran sehingga membuatkan mereka mampu menakluk dunia dengan karya-karya agung yang mendapat perhatian antarabangsa.

Berbeza dengan pembuat filem tempatan yang seringkali melaungkan impian memasuki pasaran global namun masih tegar bergelar jaguh kampung. Semuanya kerana menghasilkan karya yang hanya berteraskan keuntungan.

"Sedangkan kita patut buat kajian sebelum menghasilkan sesuatu karya. Mengkaji bagaimana sesuatu kaum misalnya macam mana dia makan. Tengok macam mana P. Ramlee menghasilkan filem Musang Berjanggut. Bagaimana dia menunjukkan Melayu di dalam layar. Tengok U-Wei. Mereka ini mengkaji dulu sebelum buat sesuatu.

"Kita sekarang bernasib baik kerana masih ada dua tiga pengarah yang seperti itu misalnya Dain Said," tambahnya.

Tidak menafikan keperluan menerbitkan filem-filem arus perdana namun kata Hassan, industri juga patut menggalakkan pembuat filem untuk menghasilkan filem alternatif.

Cuma dia mengingatkan, andai mahu menghasilkan filem alternatif, jangan pula hanya pengarah sahaja yang memahami apa yang ingin disampaikan.

"Kita perlu filem-filem seperti Bunohan, Budak Kelantan, ... Dalam Botol, Kala Malam Bulan Mengambang misalnya sebagai tanda aras sinema Malaysia agar kita tidak malu untuk membawanya ke luar negara.

"Arwah Yasmin Ahmad menghasilkan sinema pertengahan di mana ada pelakon-pelakon dikenali dan popular tetapi menampilkan jalan cerita sangat berbeza. Begitu juga dengan Mamat Khalid," jelasnya.

Pembuat filem, ujarnya, perlu menampilkan cerita dan membawa isu universal yang boleh berlaku di negara lain seperti filem Layar Lara yang turut berlaku di Nigeria.

"Kerana filem yang baik bercakap tentang isu kita (isu tempatan) tetapi ia juga berlaku di tempat lain," jelasnya.

Ubah landskap

Justeru sudah tiba masanya industri perfileman tempatan mengubah landskap dan menghasilkan filem-filem yang bermutu sementelah kerajaan sendiri sudah banyak memberi bantuan dan sokongan.

Jangan kerana terlalu kapitalis untuk mendapatkan keuntungan, kita terus menghasilkan dan mengeluarkan filem-filem seperti kilang biskut.

"Buat wayang, tapi jangan main wayang. Sekarang ini banyak sangat main wayang," kata Hassan sinis.

Selain industri dan pembikin filem kata Hassan, khalayak perlu juga perlu didedahkan tentang seni. Oleh itu perlu ada program-program untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang seni di stesen-stesen televisyen.

Malah tegasnya, perlu diwujudkan sekumpulan ahli fikir dan bijak pandai filem (intelligentsia film) untuk melihat arah tuju filem tempatan berdasarkan situasi semasa.

Menurutnya, kita memerlukan kumpulan ini bagi memberi pandangan dan buah fikiran mereka merangkumi muzik, sastera, animasi, filem dan teater.

"Industri kita masih boleh diselamatkan jika ada kumpulan ini yang boleh memberi pendapat bagi menentukan arah seni. Slogan sudah ada, kita hanya mahu merealisasikannya sahaja," katanya sambil merujuk kumpulan Dialog Cerdik yang pernah diusahakan oleh Dr. Anuar Nor Arai dan Datuk Johan Jaafar pada tahun-tahun 80-an serta Forum Kuala Lumpur yang diusahakan olehnya bersama beberapa rakan lain termasuk Anuar pada 2000.

Malah beliau mencadangkan agar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjadi teraju bagi memikirkan jalan terbaik untuk mengubah keadaan.

"Kalau tiada pemikiran karyawan dan cendekiawan maka kita akan terus rosak seperti hari ini. Kerana jika kita tidak kenal budaya dan sejarah maka sesat jalanlah namanya," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.