saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/07/2012

QMDC semarak bioteknologi negara

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal (kanan) bertukar dokumen perjanjian pelaksanaan Pusat Penemuan Pengetahuan Malaysia-QB3 (QMDC) Malaysia dengan Pengarah Institut Biosains Kuantitatif California (QB3), Dr. Regis Kelly, sambil disaksikan Dr. Maximus Ongkili di Boston, Amerika Syarikat baru-baru ini.

ANTARA cabaran besar dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk meletakkan bioteknologi sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan adalah kekurangan kepakaran dan bakat tempatan dalam bidang itu.

Lantaran itu beberapa inisiatif diambil termasuk menghantar pakar-pakar tempatan ke luar negara mengikuti program-program perkongsian pintar termasuk bersama Institut Kuantitatif Biosains California (QB3) bermula 2007.

QB3 menggabungkan tiga institusi pengajian tinggi utama di California, Amerika Syarikat (AS) iaitu Universiti California Berkeley (UCB), Universiti California San Fransisco (UCSF) dan Universiti California Santa Cruz.

Gabungan ketiga-tiga institusi itu bukan sahaja mewujudkan satu kolaborasi terbesar komuniti penyelidik dalam bidang bioperubatan tetapi menjadi peneraju dalam inovasi sains hayat di AS.

Lokasinya, di Bay Area, California membolehkan saintis dan usahawan bio Malaysia mendapat manfaat terus daripada hubungan rapat institut itu dengan institusi pendidikan ternama, kemudahan bertaraf dunia dan jaringan peluang bersama pelabur dan industri bioteknologi di Lembah Silikon.

Tiga saintis tempatan Dr. Izza Jahari, Dr. Kenny Ang dan Dr. Wong Weng Ruh dihantar menyertai QB3 pada 2007 dan 2010 bagi menimba pengalaman dan kemahiran mengendalikan pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pengkomersialan bioperubatan itu.

Sasaran selepas itu adalah menubuhkan pusat yang sama di Malaysia yang diharap akan mewujudkan satu ekosistem baru dalam penyelidikan bioteknologi khususnya berkaitan pencarian ubat baru atau penawar dan pembangunan bahan terapeutik daripada sumber asli negara.

Selain itu, ia diharap membantu merancakkan inovasi serta penyelidikan bioperubatan dan pada masa sama melahirkan bakat-bakat tempatan dalam keusahawan bioteknologi.

Hasrat untuk mewujudkan QBE versi Malaysia menjadi kenyataan apabila persefahaman mewujudkan pusat berkenaan dimeterai di Boston, Amerika Syarikat sempena Konvensyen Bio Antarbangsa 2012 baru-baru ini.

Pada majlis itu Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal dan Pengarah QB3, Dr. Regis Kelly.

Dr. Izza yang akan bertindak sebagai pengarah memberitahu pusat yang bakal dikenali Pusat Penemuan Pengetahuan Malaysia-QB3 (QMDC) diharapkan dapat mencontohi kejayaan QB3 California.

''QMDC akan berperanan sebagai pusat kolaborasi kecemerlangan antara konsortium Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) terdiri daripada Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm), Institut Genom Malaysia (MGI) dan Institut Bioteknologi Agro (ABI) dengan QB3 California di mana ilmuwan daripada QB3 bekerjasama dengan wakil di Malaysia meneruskan aspirasi QB3 bagi melahirkan lebih banyak inovasi dan penemuan baru termasuk menghasilkan usahawan bioteknologi.

''Ia akan meneraju penyelidikan dan inovasi dalam menghasilkan ubat baru sekali gus memenuhi keperluan perubatan serta membolehkan pembangunan terapeutik berasaskan produk asli daripada kepelbagaian biodiversiti negara," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau menambah, QMDC akan menyokong agenda bioteknologi negara menerusi pelbagai kaedah. Paling penting ia akan menyediakan platform meningkatkan ekosistem keupayaan bioteknologi kebangsaan dengan menyediakan pusat sehenti kecemerlangan dalam penyelidikan berkaitan ubat di negara ini.

Ia juga menyumbang dalam pembangunan tenaga manusia dan pemindahan teknologi di semua peringkat penyelidikan.

''Seperti semua sedia maklum bioteknologi membabitkan sains yang amat teknikal, pengkhususan yang sangat tinggi serta perubahan dan inovasi yang amat pantas.

''QMDC akan membantu negara kekal pada kedudukan tinggi dalam penghasilan ubat baru menerusi hubungan aktif dan berterusan dengan QB3 dan lain-lain pusat kecemerlangan di California.

''QMDC juga dilihat sebagai kemuncak program QB3-Malaysia seperti diharapkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta BiotechCorp," tambahnya.

Dr. Izza memberitahu, QMDC akan digerakkan bersama Dr. Kenny yang turut bertindak sebagai Pengarah Bersekutu bertanggungjawab dalam kolaborasi dan penyelidikan, manakala Dr. Weng Ruh, juga sebagai Pengarah Bersekutu memberi fokus dalam latihan dan pemindahan teknologi.

''Kami tetap meneruskan tugas hakiki dalam penyelidikan, mengendalikan makmal penyelidikan dan menyumbang program latihan kepada seluruh universiti di Malaysia.

''Memang ini amat mencabar tetapi kami perlu berusaha menjadikan QMDC relevan dalam landskap Malaysia dan mampu menarik perhatian dan kemahiran tempatan serta antarabangsa," jelas beliau.

Katanya, untuk memastikan QMDC menyumbang kepada ekonomi Malaysia dalam jangka panjang, ia harus membezakan dirinya dengan institusi lain dan perlu dilihat sebagai institusi yang berjaya menyalurkan 'sains ke pasaran'.

''QMDC perlu mencapai kejayaan sama seperti QB3 di California, bagi membolehkan ia mendapat perhatian serius daripada pihak Malaysia dan California. Jelas kami mempunyai banyak kerja untuk dilaksanakan,'' katanya.

''Kita akan menetapkan sasaran yang boleh diukur seiring dengan usaha mencapai hasrat ditetapkan. Tetapi, sekarang hasrat kami untuk berada pada kedudukan sama dengan QB3 California dalam penemuan dan inovasi.

''Sudah tentu kita tidak mampu mencapai hasil yang sama di peringkat awal tetapi kita mahu mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Secara kasar kita menyasarkan melahirkan tiga ke lima usahawan bioteknologi yang benar-benar memberi impak menerusi penemuan bertahap global dalam tempoh lima tahun," ujarnya.

Sasaran itu boleh digapai jika kejayaan program QB3-Malaysia dalam tempoh lima tahun diambil kira apabila berjaya menghasilkan kesan berganda dengan dua syarikat hanya menanti masa untuk ditubuhkan dan melahirkan tiga penyelidik utama.

''Ini satu kejayaan luar biasa dan sukar untuk dicontohi tetapi ia telah memberikan satu standard untuk dicapai pada masa akan datang.

''Dari segi masa dan tempoh, kita bergerak selari dengan aspirasi Wawasan 2020 dan membantu negara mencapai status negara maju. Lebih daripada itu, kami berharap QMDC akan menjadi sebahagian landskap tetap bioteknologi negara dan terus menjadi peneraju dalam kerjasama antarabangsa berkaitan penemuan dan inovasi dalam bidang bioperubatan," ujarnya.

Dr. Izza memberitahu sebagai permulaan, QMDC akan beroperasi di IPharm memandangkan institut tersebut mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap.

''Kami sedang mencari dana untuk menggerakkan pusat itu dengan lebih agresif. Kami menjangkakan pusat itu beroperasi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Menurut Dr. Izza, manfaat program QB3 Malaysia bukan hanya boleh dilihat menerusi penubuhan QMDC tetapi peluang yang disediakan kepada rakyat Malaysia menyertai kursus khas, GloBE QB3.

''GloBE adalah kursus komprehensif selama seminggu berkaitan bio keusahawan yang amat sesuai untuk profesional di negara yang mana bidang bioteknolgi berkembang pesat seperti Malaysia. Kursus ini memberi tumpuan kepada perkembangan industri sains hayat, keusahawanan dan dana permulaan perniagaan.

''Ia merangkumi kajian kes dan pelaksanaan projek untuk membina kemahiran dan kepakaran kepada individu terbabit menjadi peneraju dalam bidang masing-masing. Sejak 2007 seramai 161 peserta menyertainya, kebanyakkannya dari Malaysia," tambahnya.

Menurut beliau lagi, pihaknya turut berhasrat untuk memperkenalkan kursus yang sama di bawah QMDC di Malaysia dengan menyasarkan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan bioteknologi.

''Kami yakin PKS akan memainkan peranan besar dalam pembangunan bioteknologi Malaysia dan percaya kursus seperti ini mampu memberi sumbangan besar dalam pembangunan dan kejayaan komersial," tambahnya.

Apa yang pasti QMDC bukan program akademik tetapi lebih kepada program sokongan. Penyelidik daripada universiti tempatan dan institusi-institusi penyelidikan boleh memohon untuk mengadakan kolaborasi dengan penyelidik QB3 atau datang dan belajar.

Ia juga perlu disokong memandangkan fungsinya amat penting untuk negara khususnya bagi memenuhi keperluan perubatan negara. Apatah lagi statistik menunjukkan kos penjagaan kesihatan negara telah mencecah RM33.3 bilion dengan RM4.2 bilion daripada jumlah itu merupakan kos ubat sahaja.

Daripada jumlah kos ubat itu, hanya RM1.3 bilion ubat dihasilkan di dalam negara manakala baki RM2.9 bilion terpaksa diimport. Nilai eksport ubat Malaysia hanya bernilai RM400 juta.

Penerokaan kaedah rawatan dan kawalan baru terhadap penyakit seperti diusahakan QMDC bukan sahaja mampu mengawal kos tetapi meningkatkan kualiti serta tempoh hidup

Kewujudan organisasi seperti QMDC juga diharap dapat memanfaatkan kekayaan sumber asli negara untuk kelangsungan hidup di masa depan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zohor 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.