DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    


21/08/2007

Liga M musim baru mula November

Liga M musim baru mula November

PETALING JAYA – Musim baru Liga Malaysia 2007-2008 akan bermula 3 November ini sehingga Jun tahun depan sebagi mematuhi arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mahu menyelaraskan jadual liga tempatan kesemua negara anggotanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, musim Liga Malaysia seterusnya pula akan membuka tirainya pada Ogos 2008 dan berakhir pada Mei 2009.

Secara tradisinya, persaingan Liga Malaysia setiap musim turut akan didahului dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah antara juara Piala Malaysia tahun ini menentang juara Piala FA, Kedah dan jika pemenangnya masih sama, naib juara akan menggantikannya.

‘‘Liga kita musim depan akan menempatkan 15 pasukan dalam Liga Super dan 14 pasukan Liga Perdana. Hanya Melaka selaku pasukan terbawah Liga Super diturunkan ke Liga Perdana musim depan tetapi tiada penurunan sebarang pasukan daripada Liga Perdana ke Liga FAM,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Liga Super 2007-2008 dianggotai Kedah, Perak, DPMM Brunei, Terengganu, Perlis, Johor FC, Telekom, Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sarawak, Polis dan UPB-MyTeam sementara Melaka, PKNS, Johor-Pasir Gudang, Shahzan Muda, Sabah, Kuala Lumpur, Kelantan, Angkatan Tentera, Kuala Muda, PLUS Kuala Lumpur mewakili Liga Perdana.

Turut dinaikkan daripada Liga FAM musim ini sebagai muka baru Liga Perdana musim depan ialah empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala FAM termasuk juaranya Proton yang menewaskan Baverly Kota Kinabalu 4-2 pada perlawanan akhir di Kuala Lumpur, Sabtu lalu selain Felda United dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

‘‘Jawatankuasa menjadikan 14 pasukan bagi Liga Perdana dan tidak menurunkan sesiapa kerana kami mahukan negeri mengadakan liga sendiri di kalangan kelab mereka dengan juaranya akan dipilih sebagai wakil ke Liga FAM musim depan,” katanya yang juga Naib Presiden FAM.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis FAM yang dipengerusikan Presidennya, Sultan Ahmad Shah di sini, kelmarin turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Wanita yang bertujuan memantapkan pembangunan sukan ini di kalangan golongan tersebut.



 



IKLAN Teks