Untitled Document

   DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    

19/11/2007

Proton FC janji gegar saingan Liga Perdana

Proton FC janji gegar saingan Liga Perdana

Azzuddin Ahmad (tengah) dan Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri) dan Yusri Yusuf ketika melancarkan skuad Proton FC di Pusat Kegemilangan PROTON Subang Jaya, semalam.

SUBANG JAYA – Berbekalkan gelaran selaku juara Piala FAM musim lalu, muka baru dalam saingan Liga Perdana 2007/08, Proton FC tekad ingin memberi impak dengan sasaran antara tujuh terbaik.

Kesungguhan Proton FC tampak serius apabila serta enam pemain Liga Super musim lalu antaranya ketua pasukan Perlis, Nazarudin Mohd. Zain.

Lima lagi pemain yang turut dilamar menyarung jersi Proton FC ialah bekas penjaga gol Kedah, Jamsari Sabian; pemain pertahanan Perlis, Zami Mohd. Noor; pertahanan tengah N. Sembilan, Nizam Jamil; pemain tengah Johor FC, Mohd. Aiman Wong dan penyerang PKNS, Mohd. Fareed Shah Hassan.

Pengurus Proton FC, Yusri Yusuf berkata, penampilan skuad kali ini lebih mantap berbanding ketika menjulang Piala FAM menewaskan Beverly dari Sabah 4-2.

Menurut beliau, ini memandangkan Proton FC melangkah naik ke Liga Perdana dan bakal bersaing dengan pasukan-pasukan negeri dan kelab yang lebih berpengalaman.

‘‘Kerana itu, kita berjaya mendapat khidmat enam pemain utama daripada Liga Super dan Liga Perdana musim lalu selain beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden.

‘‘Gabungan barisan pemain lama dan baru diyakini dapat memberikan impak dan saya yakin Proton FC mampu melangkah jauh walaupun sasaran awal hanya berada antara tujuh pasukan terbaik,’’ ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar pada majlis memperkenalkan pemain Proton FC dan jersi baru skuad itu di sini, semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Yusri yang juga Pengerusi Kelab Proton berkata, skuadnya sejak dilatih oleh bekas penolong jurulatih Selangor, Razali Alias telah menunjukkan banyak peningkatan.

Kejayaan menjuarai Piala FAM kata beliau, membuktikan kesungguhan pemain dan skuad ini mampu melangkah jauh dalam saingan Liga Perdana musim 2007/08.

Beliau tidak menolak jika komitmen tinggi diberikan oleh pemain, Proton FC mampu bersaing hebat dengan Sabah, ATM, Kuala Lumpur, Kelantan, Melaka dan juga skuad Bawah 19 tahun.

Mengenai pemain import katanya, pihaknya belum membuat sebarang keputusan kerana masih menguji tiga pemain Nigeria yang pernah mewakili skuad itu musim lalu.