Untitled Document

   DAFTAR
    Utusan Online   Kumpulan utusan   Hubungi Kami   Jom Iklan!   Arkib Berita    

24/08/2008

Kedah kuasai anugerah bola sepak

Kedah kuasai anugerah bola sepak

KUALA LUMPUR - Kedah menguasai tujuh daripada 10 kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2007-2008 dengan penjaga golnya, Helmi Eliza Elias dipilih sebagai Penjaga Gol Popular dan Pemain Paling Bernilai sekali gus pada majlis penyampaiannya di Hotel Grand Millenium di sini, semalam.Tonggak Si Kenari yang turut memenanginya ialah Victor Andrag (Pemain Pertahanan Popular), Khyril Muhymeen Zambri (Pemain Tengah Popular), Fadly Baharom (Pemain Harapan Popular), Marlon Alex James (Pemain Import Popular) dan Azraai Khor Abdullah (Jurulatih Popular).

Helmi yang hanya baru mendapat kepercayaan mewakili skuad negara menentang Indonesia, Jun lalu, turut membawa pulang ganjaran RM2,000 selaku Pemain Paling Bernilai anugerah ini yang dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin.

Liew Kit Kong yang dipinjamkan bermain untuk Terengganu pada Piala Malaysia, memenangi kategori Penyerang Popular dan dia terpilih berdasarkan aksinya bersama kelab Kedah, Kuala Muda yang menyaksikan mereka bergelar juara Liga Perdana dan sumbangan 20 gol, musim ini.

Perak dipilih sebagai Kelab Penyokong Terbaik manakala Persatuan Bola Sepak Terbaik menjadi milik Negeri Sembilan.

Tahun lalu anugerah berdasarkan penghantaran Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), kali ini mengambil kira undian pilihan peminat menerusi laman web FAM, www.fam. org.my.

Kata Azraai yang turut menerajui Kedah mengumpul Piala FA dan Liga Super musim ini: "Anugerah buat Kedah ini membuktikan pengiktirafan dan penghargaan peminat tanah air. Kami mengambilnya sebagai pemangkin semangat ke arah pencapaian yang lebih baik dan belum pernah dilakukan pasukan lain.

"Helmi tidak menyerlah dalam masa yang singkat. Dulu dia dibayangi Megat Amir Faisal Ibrahim Al Khalidy (kini di Selangor). Orang yang memajukan Helmi ialah Ahmad Sobri Ismail, bekas penjaga gol Kedah dan kebangsaan yang tidak kedekut ilmu dan banyak bertungkus-lumus," katanya.

Sementara itu Kit Kong yang juga penjaring terbanyak kalangan pemain tempatan Liga Perdana, berkata, "saya gembira tetapi tidak menyangka dipilih memenangi anugerah ini. Saya hanya sentiasa berikan yang terbaik untuk sebarang pasukan yang diwakili (Terengganu dan Kuala Muda musim ini).

"Saya juga akan cuba menggembirakan peminat dengan aksi saya di padang dan terserah kepada jurulatih (untuk menyenaraikan saya semula ke skuad negara)," katanya.