19 Januari 2019
21/03/2004

Adik beradik jadi perhatian

Adik beradik jadi perhatian

KUALA LUMPUR 20 MAc - Selain kerusi-kerusi panas yang ditandingi oleh nama-nama besar dalam politik negara, pilihan raya umum ke-11 hari ini meriah dengan persaingan di antara calon-calon yang mempunyai ikatan kekeluargaan tetapi berbeza fahaman politik.

Tumpuan yang agak menarik tentunya di kerusi Parlimen Penampang apabila calon Barisan Nasional (BN), Donald Mojuntin ditentang oleh bapa saudaranya, Conrad Mojuntin dari DAP.

Donald merupakan anak kepada tokoh politik Sabah, mendiang Peter Mojuntin yang juga abang kepada Conrad.

Mengulas tentang pertembungan itu, Donald berkata, arah politik yang tidak sehaluan sama sekali tidak akan menjejaskan hubungan kekeluargaannya.

``Bagi saya, politik dan keluarga tidak boleh dicampur aduk,'' katanya seperti dipetik oleh akhbar selepas penamaan calon, baru-baru ini.

Sementara itu, perhatian juga akan bertumpu kepada nasib Datuk Shahrir Abdul Samad (calon BN-Parlimen Johor Bahru) dan adiknya, Khalid Abdul Samad (calon Pas-Parlimen Shah Alam) dalam pilihan raya kali ini.

Sekiranya Khalid mampu mengatasi calon BN, Datuk Aziz Shamsuddin, beliau akan menyertai abangnya, Shahrir di Parlimen yang dilihat tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menewaskan calon Pas, Atan Ahmad.

Senario yang sama juga boleh dilihat di Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan pertandingan dua adik-beradik, Teng Chang Yeow dan Teng Chang Kim.

Chang Yeow yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang akan mempertahankan kerusi DUN Padang Kota (BN) manakala Chang Kim yang juga Ketua Pemuda DAP mengadu nasib di DUN Sungai Pinang.

Di Sabah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Salleh Said bertanding di Parlimen Kota Belud atas tiket BN sementara adiknya, Saidatul Badru yang juga Pengerusi Keadilan adalah calon parti itu di DUN Karambunai.

Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting bertanding di Parlimen Tanjung Piai manakala adiknya Pengerusi MCA Perak, Ong Ka Chuan berentap di Parlimen Batu Gajah.

Sepasang lagi adik beradik yang bertanding atas tiket parti yang sama ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Adiknya, Datuk Abdul Aziz yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO bertanding buat kali pertama sebagai calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil.

Dalam pada itu, di sebelah Keadilan, Khalid Jaafar bertanding di kerusi Parlimen Bukit Katil manakala kakaknya, Zainon Jaafar bertanding di kerusi DUN Air Limau.

Sepasang lagi adik beradik yang bertanding di negeri itu ialah Goh Leong San (DAP-Parlimen Alor Gajah) dan Goh Leong Chong (DAP- DUN Bachang).