20 Januari 2019
07/04/2007

Enam Felda guna nama Tun Ghafar

Enam Felda guna nama Tun Ghafar

ALOR GAJAH 6 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan nama baru bagi enam tanah rancangan Felda di Melaka, sempena nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Pemberian nama keenam-enam Felda yang akan dikenali sebagai Gugusan Felda Tun Ghafar itu sebagai menghargai dan mengenang jasa serta perjuangan Allahyarham kepada negara khususnya masyarakat Felda.

Enam Felda tersebut ialah Felda Tun Ghafar Machap, Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Felda Tun Ghafar Menggong, Felda Tun Ghafar Kemendor, Felda Tun Ghafar Air Kangkong dan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham adalah seorang tokoh yang sinonim dengan perjuangan kerajaan BN iaitu untuk mengubah kehidupan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

“Hari ini sejarah baru tercipta sebab kita tukar nama Felda untuk mengenang jasa Allahyarham Tun Ghafar Baba. Mula-mula nak tukar Felda dalam Parlimen Jasin sahaja tetapi bila bincang di peringkat lembaga Felda kita tukar semua nama Felda dalam negeri Melaka,” kata beliau.

Najib berucap merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Alor Gajah dan pelancaran Felda Gugusan Tun Ghafar di Felda Tun Ghafar Machap, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, calon Barisan Nasional (BN), Lai Meng Chong serta anak Allahyarham, Datuk Tamrin Tun Ghafar.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kegigihan dan semangat perjuangan Allahyarham patut dijadikan pedoman dan ikutan generasi masa kini, khususnya para belia Felda.

“Daripada keluarga yang miskin, kehilangan bapa pada umur lapan tahun. Allahyarham terpaksa hidup berdikari dengan menjadi kedi di padang golf, memungut bola tenis dan menjual kayu api.

“Namun atas kegigihannya, Allahyarham boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Oleh itu jadilah Allahyarham Tun Ghafar sebagai kisah teladan yang menunjukkan kegigihan sebab nak mencapai sesuatu perlu ada kegigihan dan semangat,” katanya.

Najib berkata, jika Tun Ghafar yang hidup dalam serba kekurangan boleh berjaya sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak nampak ia mustahil diikuti oleh generasi masa kini.

Allahyarham yang merupakan bekas guru aktif dalam memperjuangkan nasib bangsa dan negara apabila menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka pada tahun 1940 iaitu ketika berusia 15 tahun.

Kira-kira 11 tahun kemudian, perjuangan politik Allahyarham semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan dalam parti seperti Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Setiausaha Agung BN dan menjadi Naib Presiden UMNO.

Tun Ghafar mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik apabila bertanding di kawasan (DUN) Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga tahun 1963 dan menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), pengasas Kolej Mara yang kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).