1 Mei 2017
02/08/2007

Pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya Petra dilancar

Pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya Petra dilancar

KOTA BHARU 2 Ogos_ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan projek Pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang menghubungkan antara Kota Bharu dan Tumpat melibatkan kos sebanyak RM150 juta.

Projek yang ditunggu oleh rakyat sekian lama dan bakal menjadi mercu tanda baru bagi bandar ini turut melibatkan pembinaan jalan baru sejauh 2.6 kilometer secara struktur bertingkat bermula dari Pasir Pekan di Tumpat hingga ke Langgar di sini.

Ini berikutan jambatan asal yang berusia 47 tahun itu sudah tidak mampu lagi menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat hingga menyebabkan kesesakan serius terutama pada waktu-waktu puncak.

Ia sekaligus bakal memberikan kelegaan terutama kepada penduduk Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu yang selama ini menjadi pengguna utama jambatan tersebut dan memacu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja bagi jajahan ini, malah di Tumpat dan Pasir mas.

Selain itu pembinaan projek tersebut yang merupakan projek utama Kerajaan Persekutuan di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) juga bakal melakar sejarah baru kepada negeri ini apabila buat pertama kalinya Kelantan akan mempunyai struktur jalan raya bertingkat.

Abdullah ketika berucap pada majlis pecah tanah projek itu berkata, salah satu agenda utama kerajaan adalah untuk meningkatkan keselesaan rakyat yang turut merupakan salah satu daripada lima teras utama dalam Misi Nasional.

Katanya, dalam hal ini antara penyebab mengapa rakyat kurang berasa selesa adalah kerana kekurangan infrastruktur yang bersesuaian dengan tuntutan semasa semasa dan salah satunya adalah yang berkaitan soal lalu lintas.

``Penyebabnya boleh jadi sama ada kerana jalan raya atau jambatan yang kurang lagi sesuai, sebab itu seperti mana pelancaran jambatan baru hari ini, Kerajaan Persekutuan akan terus berusaha bagi melaksanakan projek-projek infrastruktur yang boleh meningkatkan keselesaan rakyat,'' katanya.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Beliau menambah, dalam membangunkan projek-projek, permuafakatan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah sangat diperlukan bagi memastikan kelancaran pembinaan.

``Saya mahu segala projek yang kita rancangkan dapat dilaksanakan demi keselesaan rakyat dan untuk itu kerjasama antara Persekutuan dan negeri adalah penting.

``Ini termasuk di Kelantan yang telah kita berikan peruntukan yang besar sebanyak RM7.6 bilion untuk tujuan pembangunan,'' jelasnya.-Utusan