22 November 2018
30/01/2008

Rejimen sempadan ditubuh

Rejimen sempadan ditubuh

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan telah meluluskan penubuhan Rejimen Sempadan iaitu kor ke-16 Tentera Darat berkuat kuasa 12 Januari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rejimen itu ditubuh berasaskan organisasi Batalion Infantri Siri 300 Askar Wataniah yang ditukar peranan kepada batalion sempadan.

"Ini bermakna lima buah batalion yang terdapat di bawah Siri 300 Askar Wataniah dibubarkan," kata Najib yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau mengumumkan penubuhan rejimen terbaru itu pada sidang akhbar selepas memakaikan pangkat Kolonel Kehormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah di sini hari ini.

Menurut Najib, kesemua 125 pegawai dan 3,607 anggota lain-lain pangkat daripada batalion wataniah yang dibubarkan diserap kembali untuk berkhidmat secara tetap dalam Rejimen Sempadan.

Langkah itu, kata beliau, akan membolehkan pegawai dan anggota terlibat menikmati segala keistimewaan dan kemudahan seperti bantuan pinjaman, perumahan, kenderaan serta pencen yang sama seperti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lain.

Najib menjelaskan, peranan yang dimainkan Rejimen Sempadan menyamai peranan askar-askar wataniah yang terbabit dalam mengawal sempadan negara.

DiperintahTambah beliau, rejimen itu akan dikawal dan diperintah oleh sebuah markas briged yang ditubuhkan khusus untuk mentadbir serta mengawal semua bentuk operasi yang dilaksanakan.

Rejimen itu yang diketuai seorang Kolonel akan diletakkan di bawah Markas 2 Divisyen dan rejimen terbabit mempunyai identiti tersendiri.

Identiti tersendiri itu, tambah beliau, antaranya ialah lencana dan lambang baru yang khusus untuk rejimen terbabit.

Mengulas lanjut berhubung penubuhan rejimen itu, Najib berkata, Rejimen Sempadan membolehkan ATM menggandakan usaha mengawal keselamatan sempadan negara kerana ia kini mempunyai sebuah pasukan khusus yang cukup terlatih.

"Penubuhan Rejimen Sempadan ini mengambil kira keperluan semasa untuk memantapkan lagi pengawalan sempadan negara bagi memenuhi kehendak nasional dalam menentukan pengawalan ketat diadakan di semua sempadan darat.

"Berasaskan konsep operasi yang mendukung Polisi Pengurusan Sempadan Nasional, Rejimen Sempadan berperanan mengawal keselamatan sempadan daripada sebarang bentuk kegiatan pencerobohan, penyusupan dan jenayah," katanya.

Najib berkata, pelancaran rasmi Rejimen Sempadan akan diadakan di Kem Batu 11, Tanah Merah, Kelantan pada 9 Februari depan.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.