Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


25/02/2008

Zulhasnan ditentang anak bekas Datuk Bandar KL

Zulhasnan ditentang anak bekas Datuk Bandar KL


Calon BN Parlimen Setiawangsa, Zulhasnan Rafique bersalaman dengan calon PKR, Ibrahim Yaacob (kanan) selepas menyerahkan borang penamaan calon di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique ditentang anak bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Parlimen Setiawangsa pada pilihan raya kali ini.

Ibrahim Yaacob, 56, yang bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan anak kepada Allahyarham Tan Sri Yaacob Latif iaitu Datuk Bandar Kuala Lumpur pertama.

Majlis penamaan calon yang diadakan di Stadium Titiwangsa, di sini, berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Zulhasnan tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9 pagi dengan diiringi kira-kira 2,000 penyokong dan menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi kepada Pengurus Pilihan Raya Parlimen Setiawangsa, Zainudin Tala.

Zulhasnan dicadang oleh Abdullah Mat dan disokong oleh Tay Hang Song.

Ibrahim pula menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.20 pagi bersama 100 penyokong dan dicadang oleh Muhammad Talib dan disokong oleh Ahmad Nurdina Hussain.

Sepanjang tempoh bantahan, terdapat dua bantahan yang dikemukakan tetapi ditolak oleh SPR.

Zulhasnan yang ditemui selepas itu berkata, beliau mahu mengadakan kempen dengan cara yang baik dan bersih mengikut undang-undang.

‘‘Di pihak BN, segala ceramah serta program-program lain akan dijalankan seperti biasa dengan rakyat di kawasan Setiawangsa mengikut saluran yang betul,’’ katanya.

Beliau yakin sokongan rakyat kepada BN tetap utuh malah mengakui tiada isu yang boleh dibangkitkan di kawasan itu.

‘‘Sepanjang penggal yang lepas, perkhidmatan yang diberi oleh saya serta BN cukup baik malah segala permasalahan penduduk diadili dengan cukup baik,’’ katanya.

Ibrahim menyatakan dia yakin boleh memberi saingan sengit kepada Zulhasnan.

‘‘Isu kenaikan harga barangan, rasuah serta kenaikan harga minyak menjadi teras dalam isu yang akan diperjuangkan oleh PKR,’’ katanya.

Parlimen Setiawangsa mempunyai pengundi berdaftar seramai 57,161 dengan undi biasa sebanyak 42,167 manakala undi pos sebanyak 14,994.

Pada pilihan raya 2004 Zulhasnan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 19,669 undi.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing