Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


27/02/2008

Jangan fitnah saya - Khairy

Jangan fitnah saya - Khairy

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

REMBAU 26 Feb. - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas tindakan pembangkang yang sengaja menabur fitnah terhadapnya semata-mata untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, dakwaan pembangkang seperti beliau tidak layak bertanding kerana tidak mendaftar sebagai pemilih di kawasan tersebut jelas membuktikan bahawa mereka begitu terdesak.

Beliau berkata, tindakan pembangkang mengungkit perkara remeh-temeh itu juga jelas membuktikan pembangkang kini ketandusan idea untuk berkempen.

''Kalau mereka menuduh saya tidak mendaftar sebagai pemilih di kawasan ini, maka rumusan yang saya dapat buat adalah mereka buta huruf.

''Ini kerana kalau pergi ke SPR memang jelas bahawa saya adalah pengundi di Rembau dan Kampung Gadong menjadi cawangan saya sendiri,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan ke majlis peletakan batu asas Masjid Baru Kg. Pedas Hilir di sini hari ini.

Beliau menegaskan, fitnah yang ditaburkan oleh pembangkang itu sedikit pun tidak mengganggu tumpuannya dalam berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac ini.

''Tumpuan saya sekarang adalah untuk rakyat dan bertemu mereka kerana saya ingin memperkenalkan diri saya sebagai calon," kata beliau.

Menyentuh Manifesto BN yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, kata Khairy, ia adalah satu manifesto yang menyeluruh dan merangkumi beberapa langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

''Ia menggambarkan laporan pencapaian dan apa yang kerajaan BN janjikan. Ia juga bukan sekadar janji kerana turut mengemukakan kejayaan negara selama empat tahun di bawah pentadbiran BN.

''Selain itu, ia juga yang memberikan penerangan tentang apakah langkah yang diambil oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat dalam bentuk pelaburan, bantuan dan gaji," ujar beliau.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing