Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


12/03/2008

Kabinet perlu cerminkan realiti politik

Kabinet perlu cerminkan realiti politik

Oleh ROZAMAN ISMAIL

AWAL-AWAL lagi Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik memberitahu beliau tidak akan merayu kepada Perdana Menteri untuk meletakkan wakil parti Gerakan dalam barisan Kabinet baru.

“Kami bukan pengemis. Tak malu ke dengan hanya dua kerusi Parlimen, kita nak bercakap tentang kuota dalam Kabinet?” tegasnya.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting pula tidak akan mencalonkan dirinya sendiri untuk sebarang jawatan dalam Kabinet.

Beliau sebaliknya mahu menumpukan usaha kepada membina semula MCA.

Kedua-dua pemimpin utama parti berketurunan Cina itu memperlihatkan sikap ‘sedar diri’ berikutan prestasi buruk parti mereka pada pilihan raya 8 Mac lalu.

Dengan MCA hanya memperoleh kira-kira 10 peratus undi popular, MIC mendapat dua peratus dan Gerakan tidak sampai dua peratus, ia jelas membuktikan bahawa para pengundi Cina dan India secara terang-terangan menolak wakil-wakil daripada ketiga-tiga parti itu.

Penolakan tetap berlaku walaupun beberapa hari sebelum pilihan raya, Ka Ting mengeluarkan kenyataan meminta para pengundi Cina terus menyokong Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan parti itu mempunyai suara dalam kerajaan.

Hanya calon-calon berketurunan Cina daripada BN, kata Ka Ting, mempunyai kuasa untuk mewakili kaum itu dalam politik arus perdana negara.

Seruan yang sama turut dilontarkan oleh para pemimpin Gerakan, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) sepanjang kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, semuanya tidak diendahkan dan akibatnya parti-parti komponen BN di Semenanjung kehilangan banyak kerusi.

Keputusan ini sangat ketara di kawasan-kawasan pengundi majoriti Cina dan India terutama di Pulau Pinang dan Perak.

MCA hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya sedangkan pada pilihan raya 2004 mereka menang 31 kerusi.

Parti itu diberi kuota empat menteri, sembilan timbalan menteri dan empat setiausaha parlimen.

MIC pula diberi kuota seorang menteri, tiga timbalan menteri dan dua orang setiausaha parlimen manakala Gerakan pula seorang menteri, tiga timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen .

Senario baru politik selepas pilihan raya 8 Mac lalu dijangka memberi kesan yang sangat besar kepada kedudukan parti-parti berkenaan dalam pembentukan Kabinet baru nanti.

Ketika parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak dilihat mempunyai kuasa tawar- menawar yang lebih besar kali ini, MCA, Gerakan dan MIC hanya menyerah nasib kepada ihsan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain ketiadaan kuasa tawar-menawar, ketiga-tiga parti berkenaan juga ‘tidak cukup calon’ untuk mengisi kuota jika kuota 2004 diambil kira.

MCA hanya mempunyai 15 kerusi Parlimen sedangkan kuota lama mereka adalah sebanyak 17 jawatan Kabinet dan kerajaan manakala MIC pula hanya ada tiga sedangkan lantikan 2004 adalah sembilan orang.

Gerakan pula hanya mempunyai dua kerusi sedangkan jawatan dalam Kabinet lalu adalah sebanyak enam.

Penganalisis politik tanah air, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika diminta mengulas isu itu berkata, berdasarkan semangat pemuafakatan BN, ketiga-tiga parti itu akan terus diberi kuota dalam lantikan Kabinet.

Bagaimanapun, katanya, jumlahnya mungkin tidak sama lagi.

“Walaupun kalah banyak, MCA dilihat masih mempunyai ahli-ahli Parlimen yang senior untuk kekal mengetuai beberapa kementerian seperti sebelum ini.

“Gerakan dan MIC pula mungkin ditawarkan jawatan Kabinet yang lebih junior manakala PPP boleh melupakan terus kedudukan mereka berikutan prestasi buruk parti itu,” katanya.

Mengenai wajah Kabinet baru, Mohamed Mustafa berkata, rakyat mahu melihat Kabinet yang benar-benar segar, energetik, bersih, kombinasi muka lama dan baru yang lebih berkaliber, boleh diterima rakyat dan boleh berkhidmat.

“Rakyat sudah tidak boleh menerima lagi barisan Kabinet yang kelihatan usang, lapuk, ketinggalan zaman dan tidak berkesan atau barisan muka-muka baru yang diselaputi dengan persepsi negatif serta menjadi liabiliti kepada parti dan negara.

“Amat tidak sesuai jika kepimpinan BN terus mengekalkan muka-muka lama yang sudah tewas seperti Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam Kabinet baru ini menerusi tiket Senator,” katanya.

Menurut Dr. Mohamed Mustafa, BN tidak pernah ketandusan pemimpin berkaliber dan boleh diterima rakyat untuk diketengahkan.

Apa yang menarik, barisan Kabinet baru nanti mahu tidak mahu akan menyaksikan lebih banyak wakil daripada parti di Sabah dan Sarawak yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada kejayaan BN dalam pilihan raya Sabtu lalu.

Beberapa parti Cina dan suku kaum di kedua-dua negeri itu dijangka mengisi kuota parti-parti yang kalah teruk di Semenanjung.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siva Murugan Pandian pula berkata, rakyat mahu melihat barisan Kabinet yang bertenaga, ada kelayakan, kredibiliti serta berwawasan. Mereka perlu ada kewibawaan untuk menyelesaikan segala masalah rakyat.

Kabinet baru, katanya, tidak perlu besar malah ia boleh dikecilkan lagi sesuai dengan demografi politik negara.

“Kementerian-kementerian yang bertindih peranannya perlu digabungkan kerana jika terlalu besar, kos, guna tenaga dan birokrasi turut menjadi besar dan ia memberi kesan besar ke atas sistem penyampaian kita,” katanya.

Menurutnya, walaupun bersaiz kecil, Kabinet yang bersih dan cergas akan menjadi tunjang kepada sebuah kerajaan yang cekap dan efisien.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing