Untitled Document
31/08/2006

Harapan pembayar cukai

Harapan pembayar cukai

Oleh FARIDAH AHMAD

SEMUA golongan masyarakat menunggu dengan penuh minat untuk mengetahui insentif yang bakal diumumkan dalam pembentangan Bajet 2007 hari ini.

Di samping pembayar cukai individu, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka akan menerima pelbagai insentif sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan besar PKS kepada ekonomi negara sejak beberapa tahun yang lalu.

Seperti bajet tahun-tahun sebelum ini, pelbagai strategi akan diperkenalkan dalam bajet 2007 terutama bagi memastikan pencapaian matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada akhir Mac lalu.

Pelbagai pihak mengharapkan agar penyemakan semula dilakukan ke atas sistem pentadbiran cukai bagi mewujudkan satu sistem percukaian yang mesra rakyat dan mesra perniagaan. Pembentangan Bajet 2007 merupakan masa yang terbaik untuk melaksanakan penyemakan tersebut.

Bagi pembayar cukai individu, mereka mengharapkan pelbagai insentif yang dapat membantu mereka mengimbangi kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Antara insentif yang diharapkan ialah pengurangan kadar cukai pendapatan individu. Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu antara 0 peratus hingga 28 peratus. Kadar maksimum 28 peratus dikenakan ke atas pendapatan kena cukai melebihi RM250,000 setahun.

Kadar ini lebih tinggi berbanding kadar cukai bagi syarikat PKS. Kadar cukai bagi PKS ialah 20 peratus jika pendapatan kena cukai tidak melebihi RM500,000. Pendapatan PKS melebihi RM500,000 dikenakan cukai korporat 28 peratus.

Bagaimanapun, kadar cukai individu mungkin tidak akan diturunkan daripada tahap sekarang memandangkan kadar cukai tersebut masih rendah berbanding negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, India dan Australia.

Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih kecil atau masih bersekolah, mereka mendapat pelepasan tahunan sebanyak RM1,000 seorang. Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas dan belum berkahwin mendapat pelepasan sebanyak RM4,000 seorang.

Adalah lebih wajar jika pelepasan bagi anak-anak yang masih kecil ditambah memandangkan kos penjagaan anak-anak semakin meningkat, terutama bagi pasangan yang bekerja.

Mereka perlu menanggung kos penjagaan anak-anak sama ada menggunakan khidmat pembantu rumah atau menghantar mereka ke taman-taman asuhan. Kenaikan pelepasan ini dapat memastikan anak-anak diasuh dengan lebih baik dan berkualiti selaras dengan hasrat mewujudkan masyarakat penyarang.

Budaya menabung di kalangan rakyat harus digalakkan. Caruman melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau pengambilan insurans hayat merupakan cara menabung yang diamalkan oleh kebanyakan orang.

Pada masa ini, pelepasan maksimum sebanyak RM6,000 diberi terhadap caruman tersebut. Bagi menggalakkan lagi budaya menabung, adalah wajar jika jumlah pelepasan ini dinaikkan. Di samping itu, Bajet 2007 juga boleh memberi laluan kepada penubuhan lebih banyak skim pencen atau dana pencen bagi menyemarakkan lagi budaya menabung di kalangan pekerja.

Bajet 2007 juga boleh memberi pengecualian cukai terhadap pampasan yang diterima oleh individu yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja. Pada masa ini pampasan diberi pengecualian cukai sebanyak RM6,000 bagi setiap tahun bekerja dalam satu kumpulan syarikat.

Elaun sara hidup (COLA) yang sedang dinikmati oleh kakitangan awam pada masa ini seharusnya dikecualikan cukai bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sektor swasta juga seharusnya disaran untuk membayar elaun tersebut, dan sebagai galakan, syarikat boleh diberi potongan dua kali ganda daripada pendapatan perniagaan untuk tujuan pengiraan cukai syarikat.

Dari tahun taksiran 2001 hingga 2003, kos komputer yang dihadiahkan oleh majikan kepada pekerja boleh ditolak daripada pendapatan syarikat dalam pengiraan pendapatan kena cukai. Bajet 2007 boleh memperkenalkan semula insentif ini bagi menggalakkan syarikat menghadiahkan komputer kepada pekerja dan seterusnya menggalakkan penggunaan komputer di kalangan pekerja.

Berdasarkan Public Ruling 1/2006, manfaat daripada penggajian yang disediakan oleh majikan atau dibayar oleh majikan bagi pihak pekerja dikenakan cukai ke atas pekerja tersebut. Manfaat daripada majikan termasuk bayaran yuran sekolah, kolej atau universiti untuk anak-anak pekerja seharusnya dikecualikan daripada cukai.

Salah satu daripada insentif yang boleh diberi kepada syarikat ialah mengecualikan sepenuhnya cukai keuntungan terhadap hartanah yang dijual dalam tempoh lima tahun (seperti yang dinikmati oleh pembayar cukai individu). Pada masa ini kadar keuntungan hartanah ialah 5 peratus.

Dari segi cukai barangan dan perkhidmatan (GST), walaupun masih belum dikuatkuasakan, badan-badan perniagaan mungkin menanggung kos yang tinggi untuk membuat persediaan terutama mewujudkan sistem maklumat perniagaan yang berkesan dan menyediakan pasukan pekerja yang berpengetahuan dalam pengendalian GST kelak. Oleh itu, semua badan perniagaan (termasuk pemilik tunggal dan perkongsian) hendaklah diberi potongan terhadap perbelanjaan yang berkaitan dengan persediaan tersebut.

Bagi bangunan perindustrian pula, sudah sampai masanya untuk mengubah definisi bangunan industri dan bangunan bukan industri. Pada masa ini pejabat dan bilik pameran tidak dikategorikan sebagai bangunan industri jika kos bangunan tersebut melebihi 10 peratus daripada kos keseluruhan bangunan. Memandangkan pejabat dan bilik pameran juga adalah penting dalam menjalankan perniagaan, perubahan perlu dibuat supaya bangunan tersebut boleh dianggap sebagai bangunan industri. Oleh itu elaun modal dapat dituntut ke atasnya, sama seperti kilang-kilang, gudang-gudang dan sebagainya.

Dari segi kos latihan, pada masa ini, syarikat diberi potongan dua kali ganda jika latihan dikendalikan oleh institusi latihan yang diluluskan. Walau bagaimanapun, tidak banyak institusi latihan yang dapat menjalankan aktiviti ini. Adalah diharapkan Bajet 2007 dapat memberi lebih peluang atau insentif kepada pertubuhan yang menjalankan latihan berkaitan dengan profesion perakaunan, kejuruteraan, senibina dan undang-undang. Diharapkan juga latihan ini termasuk yang dijalankan oleh badan-badan iktisas seperti Institut Percukaian Malaysia (MIT), MIA, ACCA dan MACPA.

Bajet 2006 telah memberi potongan dua kali ganda ke atas elaun yang dibayar kepada graduan-graduan yang diambil bekerja (dari tempoh 1 Oktober 2005 hingga 31 Disember 2008) oleh syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Bagaimanapun, skim ini perlu mendapat pengesahan daripada Suruhanjaya Sekuriti. Adalah diharapkan insentif ini juga diberi kepada syarikat-syarikat yang bukan tersenarai di Bursa Malaysia, termasuk firma-firma profesional. Ini adalah penting supaya graduan-graduan memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang luas sebelum mereka mampu diserap oleh mana-mana syarikat sebagai pekerja tetap.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.