Untitled Document
01/09/2006

Bajet 2007 – usaha pacu ekonomi

Bajet 2007 – usaha pacu ekonomi

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

HARI ini Perdana Menteri membentangkan Bajet 2007 iaitu selepas sambutan Hari Kebangsaan Ke-49 berlangsung dengan meriah semalam. Rentetan dua peristiwa penting ini membawa makna yang tersendiri iaitu bagaimana kita mengisi erti kemerdekaan negara.

Kemerdekaan memberikan kebebasan kepada kita untuk mencorakkan masa depan negara sendiri. Dalam hal ini, kesempatan merancang pertumbuhan ekonomi negara merupakan suatu nikmat kemerdekaan yang besar. Sememangnya kita berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki.

Perlu kita sedar bahawa usaha penjajahan dalam bentuk penguasaan ekonomi boleh berlaku di pelbagai peringkat. Terjebak dalam kancah hutang merupakan contoh jelas bagaimana kemerdekaan ekonomi boleh terjejas.

Ekonomi global yang semakin liberal dan kompetitif menuntut kita untuk lebih berhati-hati dalam mencorakkan masa depan negara. Kewujudan blok-blok perdagangan menuntut setiap negara untuk lebih liberal dalam polisi perdagangan. Negara berdaulat kadang-kala tersepit dalam dilema kepentingan nasional dan tekanan pasaran antarabangsa.

Keadaan ini memerlukan kita supaya bijak dalam memelihara kedaulatan negara agar kebebasan ekonomi dapat terus dipelihara. Ini adalah penting demi memastikan pengisian kemerdekaan yang sebenarnya dapat kita laksanakan mengikut acuan kita sendiri.

Malah, usaha untuk mempertahankan kebebasan ini adalah lebih kritikal. Ini pastinya menuntut perancangan yang teliti dan rapi.

Antaranya, kita tidak seharusnya terlalu terikat atau bergantung kepada sesebuah negara untuk sumber-sumber ekonomi yang penting. Kita perlu mempunyai sumber dalaman yang mencukupi untuk meneruskan agenda nasional meskipun tanpa bantuan luar. Pada masa yang sama, kita juga perlu meningkatkan daya kompetitif negara dan terus progresif.

Merealisasikan kemerdekaan dalam bentuk kejayaan ekonomi juga menuntut usaha pembangunan ekonomi yang adil dan saksama. Hanya dengan ini kek ekonomi negara akan dapat dikecapi oleh setiap golongan rakyat.

Pembahagian kek ekonomi yang tidak adil akan menyebabkan erti kemerdekaan sebenar tidak dapat dihargai oleh sesetengah pihak. Golongan miskin dan daif misalnya, mungkin merasakan bahawa mereka terpinggir oleh arus pembangunan sekiranya isu keadilan ekonomi tidak ditangani.

Pengertian kemerdekaan juga dapat dinilai dari aspek kestabilan ekonomi sesebuah negara. Kestabilan ekonomi memberikan rakyat peluang untuk meneroka potensi diri masing-masing menerusi peluang yang wujud. Ini memberikan kita kebebasan untuk memajukan diri sendiri.

Kestabilan ekonomi juga dapat dikecapi dengan adanya kestabilan harga barangan. Kadar inflasi yang rendah memastikan nilai benar kekayaan dapat dipelihara. Kadar inflasi yang tinggi pula akan ‘merampas’ kekayaan rakyat dan bukanlah merdeka namanya apabila kekayaan kita ‘dirampas’ oleh keadaan ini.

Setiap warga Malaysia sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Malaysia. Kita bertuah kerana kita bebas untuk mencorakkan masa depan negara.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.