Untitled Document
02/09/2006

Ke arah mencapai status negara maju

Ke arah mencapai status negara maju

DASAR Malaysia yang pragmatik dan fleksibel telah membolehkan ekonomi negara menghadapi keadaan yang mencabar. Langkah yang tegas telah dilaksanakan untuk memperluas dan mempelbagaikan asas ekonomi bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan. Usaha berterusan juga diambil untuk mengembangkan sektor perkhidmatan, meningkatkan nilai ditambah sektor pembuatan serta mempergiatkan sektor pertanian dan asas tani sebagai enjin ketiga pertumbuhan. Sumber pertumbuhan baru terus digalak dan dibangunkan, seperti bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, produk halal dan kewangan Islam. Kita juga giat membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan, dipacu oleh inovasi dan idea.

Persekitaran global kekal mencabar pada tahun 2006 berikutan harga minyak mentah yang terus tinggi, tekanan inflasi dan dasar monetari yang semakin ketat, menyebabkan kenaikan kadar faedah serta prospek pertumbuhan dijangka lebih perlahan dalam separuh kedua tahun ini. Namun demikian, kita tetap yakin dalam menghadapi cabaran tersebut bagi mencapai kadar pertumbuhan yang baik iaitu 5.8 peratus pada tahun 2006, berdasarkan kepelbagaian struktur ekonomi dan asas ekonomi domestik yang teguh. Malaysia terus menikmati lebihan akaun dagangan luar yang besar semenjak bulan November 1997, kadar pengangguran yang rendah serta rizab antarabangsa yang kukuh dan tabungan negara yang tinggi. Sungguhpun inflasi meningkat berikutan kos tenaga yang lebih tinggi dan pengurangan subsidi bahan bakar, namun inflasi masih berada pada tahap terkenal. Paling penting, pertumbuhan ekonomi negara telah dipacu oleh sektor swasta sejak tahun 2003, manakala kerajaan pula terus mengamalkan dasar fiskal yang menyokong pertumbuhan tersebut. Pertumbuhan ekonomi juga disokong oleh sektor perbankan yang kukuh serta pasaran modal efisien yang menyediakan keperluan pembiayaan ekonomi negara.

Tahun 2006 amat penting kerana ia merupakan tahun pertama bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang menggariskan lima teras Misi Nasional 2006-2020. Dalam Bajet 2007, kita akan menumpu kepada beberapa teras RMK-9 yang akan membantu mempertingkatkan daya saing negara serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keseimbangan sosial dan kualiti hidup yang baik yang kesemuanya dicapai melalui kapasiti pelaksanaan dalam negara yang mantap.

Usaha untuk mencapai status negara maju menuntut setiap rakyat Malaysia memberi komitmen dan sokongan padu. Sektor swasta mesti terus memainkan peranan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Sektor swasta akan terus diberi peluang untuk menyertai usaha pembangunan ekonomi dan yang terkini melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) yang diumumkan dalam RMK-9. Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) akan diperkasakan bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara. Pihak kerajaan pula akan terus mewujudkan suasana mesra perniagaan dan pelaburan agar aktiviti sektor swasta terus maju. Kita akan terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengurangkan kos kendalian perniagaan. Kita juga akan terus mempertingkatkan akauntabiliti, ketelusan dan integriti serta menghapuskan rasuah dan memupuk nilai-nilai murni di kalangan rakyat Malaysia. Saya penuh yakin, bersama-sama kita akan dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang berkualiti dan kemakmuran negara yang tercinta.

DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.