Untitled Document
02/09/2006

Bajet 2007 galakkan swasta terajui ekonomi

Bajet 2007 galakkan swasta terajui ekonomi

STRATEGI Bajet 2007 akan ditumpukan khususnya kepada usaha menggalakkan sektor swasta sebagai peneraju utama dalam pembangunan ekonomi dan menjana sumber kekayaan baru dalam sektor intensif teknologi dan pengetahuan.

Strategi itu juga memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan akses dan kualiti sistem pendidikan dan latihan di semua peringkat, membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang antara wilayah, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup serta mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Melalui strategi berkenaan, ia dijangka menggalakkan lagi aktiviti ekonomi domestik dan memperkukuhkan daya saing negara bagi membolehkan negara merebut peluang daripada proses globalisasi dan liberalisasi.

Kerajaan juga komited untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menggalakkan pelaburan swasta domestik dan asing.

Inisiatif pembiayaan swasta (PFI) yang diumumkan oleh Rancangan Malaysia Ke sembilan (RMK-9) pula akan menyediakan lebih peluang kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam projek pembangunan.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan akan memberi lebih perhatian bagi memastikan semua program dilaksanakan secara efektif melalui penyelarasan, kawalan dan penilaian yang lebih baik.

Selain itu, Bajet 2007 akan dijadikan landasan kepada negara untuk mencapai Misi Nasional dan sasaran yang ditetapkan dalam RMK-9.

Bagi mendapatkan faedah yang besar daripada dasar pembangunan, rangka kerja yang digariskan di bawah Misi Nasional memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama.

Antaranya termasuklah daya saing negara pada peringkat global, pembangunan modal insan, integrasi nasional, hubungan etnik, pembahagian pendapatan dan kekayaan serta kualiti hidup.

Berdasarkan kepada bidang keutamaan itu, Misi Nasional mengandungi lima teras utama iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.

Ia juga untuk menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi.

Sehubungan itu, semua pelan pembangunan sosio ekonomi yang akan datang termasuklah belanjawan tahunan akan berlandaskan kepada lima teras berkenaan.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.