Untitled Document
02/09/2006

Ekonomi Malaysia kukuh enam peratus

Ekonomi Malaysia kukuh enam peratus

MALAYSIA, melalui sumber minyak mentahnya dan kenaikan harganya di pasaran, berada dalam keadaan lebih baik untuk menangani pertumbuhan global yang sederhana untuk meraih pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus tahun depan.

Ekonomi negara dijangka kekal mapan disokong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta dan usaha berterusan kerajaan menyokong pertumbuhan melalui dasar mikroekonomi yang efektif dan liberalisasi.

Pelaburan dalam aktiviti nilai tambah yang tinggi dan penggunaan teknologi termaju akan terus meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing.

Peningkatan produktiviti, perkembangan kapasiti, kadar faedah yang menyokong pelaburan dan dasar fiskal berhemat serta usaha memastikan pembendungan inflasi akan kekal sebagai fokus pengurusan mikroekonomi.

Pengurusan dasar monetari pada tahun depan akan terus mengimbangkan risiko inflasi dengan usaha menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, cabaran yang dihadapi ekonomi negara pada tahun ini dijangka berterusan hingga tahun depan.

Pada peringkat antarabangsa dijangka masih terdapat kebimbangan terhadap harga minyak mentah yang tinggi berikutan permintaan yang kukuh dan kapasiti penapisan minyak yang terhad serta peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Keadaan ini boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi dan kadar faedah global yang berterusan serta memberi kesan kepada perdagangan dan pertumbuhan dunia.

Ketidakseimbangan global semasa juga akan memberi kesan tidak menentu ke atas pasaran kewangan dan mengurangkan perdagangan dunia.

Berlandas kepada ketidaktentuan ini, pertumbuhan global dijangka sederhana sebanyak 4.7 peratus pada tahun depan berbanding 4.9 peratus disokong oleh perdagangan dunia dan kemasukan pelaburan berterusan.

Bagi menjana sumber kekayaan baru, program dan projek dalam sektor intensif teknologi dan pengetahuan akan dilaksanakan dan dibangunkan mengikut kemampuan sedia ada untuk menghasilkan nilai ekonomi terutamanya dalam sektor ICT, bioteknologi dan perkhidmatan berasaskan kemahiran.

Dalam usaha untuk terus membangunkan modal insan yang berkualiti pendekatan lebih menyeluruh akan diguna pakai di mana pengetahuan dan kemahiran, nilai etika dan kesedaran budaya akan diberikan tumpuan.

bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kewangan, insentif tambahan akan diperkenalkan untuk melicinkan proses kerja untuk menambah baik serta memudahkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan akan memberikan perhatian bagi memastikan semua program dilaksanakan secara efektif melalui penyelarasan, kawalan dan penilaian yang baik.

Pada tahun depan, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap usaha untuk menggalakkan sektor swasta sebagai peneraju utama dalam pembangunan ekonomi, menjana sumber kekayaan baru dalam sektor insentif teknologi dan pengetahuan serta meningkatkan akses dan kualiti sistem pendidikan dan latihan dalam semua peringkat.

Penekanan akan diberikan terhadap membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang antara wilayah, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup serta mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.