Untitled Document
02/09/2006

Sistem perbankan kekal mantap ekonomi

Sistem perbankan kekal mantap ekonomi

NISBAH modal berwajaran risiko (RWCR) dan nisbah modal teras (CCR) sistem perbankan tempatan kekal di paras yang tinggi sebanyak 12.9 peratus dan 10.1 peratus pada akhir bulan Jun lalu.

Catatan itu juga terus melebihi keperluan minimum Basel sebanyak lapan peratus dan empat peratus.

Sistem perbankan mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM6.1 bilion pada enam bulan pertama 2006, berikutan pendapatan faedah bersih dan pendapatan berasaskan yuran yang lebih tinggi.

Kualiti aset sistem perbankan terus meningkat dengan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) bersih berdasarkan klasifikasi enam bulan menurun kepada 4.2 peratus pada akhir bulan Jun, tahap terendah sejak krisis kewangan Asia.

Nisbah NPL bersih berdasarkan klasifikasi tiga bulan juga bertambah baik kepada 5.5 peratus berbanding 5.8 peratus pada akhir tahun 2005.

Sementara itu, konsolidasi bank perdagangan dan syarikat kewangan menjadi entiti tunggal telah disempurnakan pada bulan Januari 2006, manakala penggabungan bank saudagar, syarikat broker saham dan syarikat diskaun sedang dilaksanakan.

Proses transformasi kepada bank pelaburan dijangka akan diselesaikan pada akhir tahun 2006.

Rasionalisasi itu bertujuan untuk terus meningkatkan kapasiti dan keupayaan sistem kewangan untuk memenuhi keperluan ekonomi yang berubah dan berbeza.

Pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) berjalan lancar dengan akhir tahun 2005 menandakan peringkat pertengahan tempoh perancangan 10 tahun (2001-2010).

Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 49 perakuan telah disempurnakan, 29 perakuan lagi dilaksanakan secara berterusan.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.