Untitled Document
02/09/2006

Dasar monetari kekalkan tekanan pertumbuhan ekonomi

Dasar monetari kekalkan tekanan pertumbuhan ekonomi

DASAR monetari pada tahun depan akan terus memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran kestabilan harga.

Dengan pertumbuhan dijangka mapan pada tahun 2007, cabaran utama dasar monetari adalah memastikan jangkaan inflasi dikawal baik dan keadaan pembiayaan terus menyokong kegiatan pelaburan.

Pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bukti jelas bahawa kesan pusingan kedua terhadap paras harga am adalah terhad serta kurang tanda bahawa inflasi berpunca daripada tekanan permintaan.

Bagaimanapun, dasar monetari akan terus berwaspada terhadap risiko inflasi.

Hala tuju dasar monetari akan ditentukan berdasarkan penilaian mengenai implikasi daripada perkembangan dan maklumat baru terhadap prospek jangka sederhana kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi mapan.

Pada tahun ini, cabaran utama dasar monetari adalah mengawal inflasi dengan ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan mantap, hasil sokongan permintaan domestik yang teguh serta persekitaran luar yang menggalakkan.

Di peringkat antarabangsa, tekanan inflasi terus membimbangkan disebabkan harga minyak mentah yang berterusan tinggi.

Inflasi negara juga meningkat berikutan pelarasan dalam harga runcit petroleum dan tarif elektrik akibat kenaikan harga bahan api global.

Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.8 peratus pada bulan Mac lalu yang merupakan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, berikutan kenaikan 30 sen seliter harga runcit petrol pada 28 Februari.

Namun, IHP telah menyederhana dengan purata sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Kadar dasar semalaman (OPR) telah dinaikkan sebanyak dua kali dalam separuh pertama 2006 bagi menjajarkan keadaan monetari dengan persekitaran ekonomi semasa.

Namun, OPR kekal di bawah tahap neutral, mencerminkan dasar monetari yang menyokong pertumbuhan.

Kenaikan kadar faedah adalah secara beransur-ansur dan dari tahap yang terendah pernah dicatat.

Kadar faedah semasa kekal menyokong aktiviti ekonomi dan pertumbuhan seperti ditunjukkan oleh pertumbuhan mantap pinjaman bank, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta isu rumah.

Peralihan rejim pertukaran ringgit kepada apungan terurus sejak 21 Julai 2005 memberikan kesan positif kepada ekonomi bagi membolehkan Malaysia bertindak balas dengan lebih baik kepada perubahan struktur dalam persekitaran serantau dan antarabangsa.

Sehingga kini, ringgit telah mengukuh berbanding dolar Amerika, didorong oleh prestasi perdagangan Malaysia yang mantap, aliran modal yang mapan dan prospek pertumbuhan yang positif.

Pasaran modal kekal sebagai sumber penting bagi pembiayaan aktiviti ekonomi, berjumlah RM1,161 bilion pada akhir Jun lalu dengan pasaran hutang menyumbang RM439 bilion atau 80 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pasaran ekuiti RM722 bilion atau 131.7 peratus kepada KDNK.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.