Untitled Document
02/09/2006

BAJET UNTUK MENCAPAI MISI NASIONAL

BAJET UNTUK MENCAPAI MISI NASIONAL

LIDAH PENGARANG
Bajet 2007 yang dibentang semalam jelas merupakan langkah-langkah kerajaan dalam mendukung usaha mencapai Misi Nasional beserta Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kita dapat lihat betapa Bajet 2007 merupakan rancangan bagi setahun dalam kerangka hala tuju negara lebih luas bagi merealisasikan Wawasan 2020.

Dengan peruntukan-peruntukan tertentu beserta pelepasan-pelepasan khusus daripada perkara besar yang melibatkan sektor korporat hinggalah kepada langkah-langkah seperti pemansuhan yuran peperiksaan adalah kesemuanya merupakan usaha untuk mencapai Misi Nasional.

Tiga perkara yang wajar diberi perhatian khusus dalam matlamat bajet ini iaitu beserta kaitannya dengan teras-teras Misi Nasional ialah langkah meningkatkan keupayaan sektor swasta sebagai penjana utama ekonomi negara, menambah kekuatan modal insan dan mewujudkan minda kelas pertama.

Kita melihat ketiga-tiga unsur ini berkaitan kerana sektor swasta yang cemerlang memerlukan sumbangan serta bekalan modal insan yang berpatutan. Sementara daripada modal insan yang cemerlang pula sudah tentu dicerminkan dengan minda kelas pertama.

Sememangnya adalah suatu yang idealistik untuk mengubah kedudukan rakyat negara ini daripada kumpulan manusia yang berminda serba sederhana kepada melahirkan golongan insan cemerlang.

Tetapi ia bukan perkara mustahil dan apa yang digariskan dalam cita-cita Wawasan 2020 serta RMK-9 merupakan matlamat-matlamat yang boleh dicapai.

Bajet 2007 ini merupakan antara usaha setahun bagi menyumbang kepada cita-cita penting ini.

Bagi kita, dorongan bersifat kewangan memberi sumbangan penting tetapi pada tahap tertentu saja. Contohnya dalam usaha memperbesarkan modal insan, baik dari segi kualiti dan kuantiti, garis yang disediakan oleh Bajet 2007 akan memberi sumbangan penting.

Bagaimanapun pada perkiraan akhir, ia terletak juga pada kedua-dua pihak, iaitu golongan yang ditugaskan meningkatkan modal insan itu, dan manusia yang menjadi aset negara itu sendiri.

Maknanya, bukan saja mereka perlu menggunakan peruntukan Bajet 2007 sebaik dan sebijak mungkin, tetapi diri setiap rakyat Malaysia yang akan dijadikan modal itu mesti berubah untuk mencapai matlamat penting negara ini.

Sesungguhnya kita melihat Bajet 2007 ini bukan semata-mata pengagihan peruntukan dan usaha mencari pendapatan negara semata-mata tetapi lebih penting lagi terkandung di dalamnya resipi perjuangan untuk meletakkan negara mencapai cita-cita Wawasan 2020.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.