Untitled Document
03/09/2006

PM insafi nasib rakyat -- Bajet 2007 ambil kira kesusahan hadapi kenaikan harga minyak

PM insafi nasib rakyat -- Bajet 2007 ambil kira kesusahan hadapi kenaikan harga minyak

Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI dan MUSTAFA KAMAL BASRI

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Bajet 2007 yang dibentangkannya semalam mengambil kira kesusahan yang ditanggung oleh rakyat ekoran kenaikan harga minyak.

Menurut Perdana Menteri, beliau merasai masalah rakyat terutama yang berpendapatan rendah ekoran kenaikan harga minyak sementara pendapatan boleh guna semakin kurang dan harga barang serta inflasi meningkat.

‘‘Justeru, daripada menambah gaji, kerajaan memutuskan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang boleh mengurangkan perbelanjaan rakyat,’’ katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Ke-35, di sini hari ini.

Abdullah melihat pendekatan menyediakan kemudahan serta pemansuhan yuran peperiksaan di sekolah rendah dan menengah serta pemberian biasiswa sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengurangan perbelanjaan yang harus dikeluarkan, sekali gus mengurangkan bebanan ibu bapa.

Dalam pada itu, katanya, insentif seperti Elaun Tetap Khidmat Awam, bantuan kos sara hidup (COLA), kenaikan pelepasan cukai pembelian buku dan komputer serta subsidi ujian saringan mengesan kanser memberi faedah kepada semua pihak.

‘‘Saya mahu seramai mungkin rakyat mendapat faedah daripadanya tanpa mengira kaum dan agama,’’ katanya.

Beliau memberitahu, pembentangan bajet semalam turut menekankan kepada pembangunan modal insan.

‘‘Ia amat penting terutamanya mempunyai hubung kait dengan anak-anak kita di bangku sekolah.

‘‘Mereka perlu dibesarkan dan diberi pendidikan sebaik-baiknya tanpa sebarang gangguan sama ada wang atau kemudahan-kemudahan yang diperlukan,’’ katanya.

Abdullah berkata, beliau mahu mereka membesar dalam keadaan persekitaran yang sihat dan menjadi orang berguna kerana mereka adalah modal insan yang penting bagi mewarisi perjuangan membangunkan bangsa dan negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa segala bantuan yang diberi oleh kerajaan adalah sebagai membantu dan bukannya mengambil alih peranan ibu bapa.

‘‘Pelajar dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan menjadikan mereka generasi yang berguna kepada negara,’’ katanya.

Selain itu, beliau menekankan supaya rakyat sentiasa menunjukkan kemampuan untuk bekerja kuat dengan menggunakan inisiatif dan keupayaan kreatif supaya apa yang dilaksanakan itu berjaya.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.