Untitled Document
03/09/2006

Bajet berasaskan kemampuan semasa

Bajet berasaskan kemampuan semasa

PEKAN 2 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2007 yang dibentangkan semalam adalah yang terbaik berasaskan kemampuan semasa kerajaan.

Menurutnya, banyak pertimbangan diberikan dalam penghasilan Bajet 2007 terutama sekali kepada kakitangan awam agar semua pihak merasa kenikmatan yang sama rata tanpa sebarang bentuk pembaziran.

“Saya nampak bajet kali ini memberi banyak pertimbangan kepada kakitangan pentadbiran tetapi dibuat dalam lingkungan kemampuan kita (kerajaan), inilah yang terbaik dapat kita lakukan pada masa ini,’’ katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya dalam bajet tahun hadapan apabila mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji atau minimum RM1,500 bagi kakitangan awam, penambahan Imbuhan Tetap Khidmat Awam kumpulan sokongan antara RM30 dan RM50 sebulan serta bantuan kos sara hidup (Cola) kepada mereka yang mendiami kuarters kerajaan.

Semalam Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melahirkan kekecewaan kerana anggota perkhidmatan awam tidak diberikan sebarang kenaikan gaji.

Badan pekerja itu sebelum ini pernah meminta kenaikan sehingga 40 peratus terutama untuk kakitangan sokongan kerajaan.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.