Untitled Document
03/09/2006

Cuepacs, MTUC sifatkan Bajet 2007 seimbang

Cuepacs, MTUC sifatkan Bajet 2007 seimbang

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Dua kesatuan sekerja di negara ini menyifatkan Bajet 2007 yang dibentangkan semalam adalah bajet yang seimbang di antara kerajaan dan rakyat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Nordin Abdul Hamid berkata, banyak perkara baru yang positif diumumkan dalam bajet tersebut.

Menurutnya, secara keseluruhannya Cuepacs berpuas hati dengan bajet itu, namun masih ada beberapa perkara yang dirasakan belum sempurna.

‘‘Sebenarnya peningkatan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) daripada RM30 kepada RM50 sangat kecil jika kita pecahkan kepada pecahan harian iaitu hanya RM1 ke RM1.75 sahaja sehari.

‘‘Dengan kos sara hidup di bandar-bandar besar yang amat tinggi, rasanya jumlah yang sepatutnya ialah RM250,’’ jelas beliau sambil berharap kerajaan mengambil pendekatan holistik dan lebih memahami kehendak pekerja.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kerana kerajaan menyahut permintaan Cuepacs mengenai isu elaun kos sara hidup (COLA).

‘‘Namun, kami mencadangkan kategori untuk COLA dikurangkan daripada tiga kepada dua pecahan sahaja iaitu RM150 dan RM100 untuk semua pekerja awam.

‘‘Sebelum ini ia dipecahkan kepada bandar raya, kota dan luar bandar dengan nilai RM150, RM100 dan RM50,’’ jelasnya.

Menurutnya lagi, skim pencen untuk golongan pesara juga seharusnya dikaji semula dan dapat dilaksanakan dengan terancang dalam masa yang terdekat.

‘‘Ramai pesara yang mengadu pada kami dan merayu dapat dibuat sedikit semakan pada skim pencen yang dirasakan perlu dipertimbangkan.

‘‘Kos hidup yang tinggi sekarang rasanya tidak seimbang dengan wang pencen yang diterima golongan pesara kini,’’ katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Shafie BP Mammal pula menganggap langkah kerajaan menghapuskan semua yuran peperiksaan di sekolah kerajaan sebagai amat bijak.

‘‘Bebanan ibu bapa berkurang dengan pelbagai insentif tambahan seperti kenaikan kadar pelepasan cukai buku yang pasti mengurangkan kos sara hidup sesebuah keluarga.

‘‘Pengembangan Program Skim Latihan Graduan Pasaran Modal yang diperkenalkan juga sangat baik dan dijangka dapat mengurangkan masalah pengangguran di kalangan siswazah,’’ jelasnya.

Tambahnya lagi, program itu dilihat dapat mengurangkan kebanjiran pekerja asing yang masuk ke negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, MTUC berharap kerajaan dapat menetapkan gaji minimum untuk graduan ini untuk mengelakkan mereka terlampau memilih kerja.

‘‘Graduan bekerja akan mengelakkan pengangguran yang berlebihan dan semestinya mengurangkan jumlah masalah sosial yang kini semakin membimbangkan,’’ jelasnya.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.