Untitled Document
03/09/2006

Tubuh tribunal bukan kerana Mohd Said

Tubuh tribunal bukan kerana Mohd Said

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid menolak tanggapan bahawa pertelagahannya dengan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd. Said Yusof sebagai punca kerajaan menubuhkan Tribunal Rayuan Kastam.

Beliau yang tidak berkecil hati dengan tanggapan itu sebaliknya menganggap penubuhan tribunal itu sebagai satu usaha kerajaan untuk memperkemaskan lagi sistem kastam negara.

‘‘Tribunal ini sebenarnya sudah lama dirancang sebagai langkah memenuhi standard Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

‘‘Tribunal seumpama ini sudah lama wujud di negara-negara maju yang lain,’’ jelasnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Menurut Abdul Rahman, penubuhan tribunal itu akan menambah keyakinan semua pihak terhadap kekemasan dan kecekapan urusan kastam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan Tribunal Rayuan Kastam bagi meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran cukai negara berkuatkuasa 1 Mac depan.

Tribunal tersebut akan mempertimbangkan rayuan terhadap keputusan Ketua Pengarah KDRM mengenai percukaian di bawah beberapa akta.

Menurut Abdul Rahman, pelanggan akan mendapat respon yang lebih cepat jika mempunyai masalah dalam urusan yang melibatkan kastam dengan adanya tribunal itu.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.