Untitled Document
03/09/2006

Jangan spekulasi harga petrol

Jangan spekulasi harga petrol

KUALA LUMPUR 2 Sept – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini memberi amaran keras khususnya golongan peniaga supaya tidak membuat spekulasi kenaikan harga petrol bertujuan menaikkan harga barangan pengguna.

Menterinya Datuk Mohd Shafie Apdal berkata seperti yang diulangi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, kerajaan tidak akan menaikkan harga bahan api itu sehingga akhir tahun ini.

“Jadi jangan buat spekulasi yang harga minyak akan naik sebab nak naikkan harga barangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai di sini.

Katanya operasi pengawasan dan pemantauan harga barangan pengguna di seluruh negara juga akan dipertingkatkan.

Menyentuh krisis kekurangan gula di beberapa negeri sekarang, Shafie memberi jaminan bekalan gula mencukupi menjelang musim perayaan.

Katanya, pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah itu termasuk mengarahkan pengeluar gula meningkatkan pengeluaran mereka dan mempertimbangkan untuk membeli gula dari Brazil.

“Saya akan buat keputusan dalam sikit masa lagi. Kita belum putuskan sama ada akan membeli gula dari negara lain. Semua masih dalam kajian sama ada syarat-syarat mereka memenuhi keperluan kita,” katanya.

Setakat ini empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak masih kekurangan gula.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.