Untitled Document
03/09/2006

Bersyukur dapat bonus

Bersyukur dapat bonus

DUNGUN 2 Sept. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berharap kakitangan awam di negara ini bersyukur kerana mereka akan menerima bonus akhir tahun ini.

Katanya, langkah memberi bonus kepada kakitangan awam membuktikan kerajaan menghargai sumbangan mereka dalam mencapai matlamat negara.

‘‘Bersyukurlah dengan nikmat yang diberi dan gunakan untuk perkara yang sepatutnya khusus bagi anak yang bersekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun, di Sekolah Menengah Teknik, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2007 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan kakitangan awam yang berpendapatan sehingga RM750 sebulan akan menerima bonus dua bulan gaji, manakala yang bergaji lebih RM750 memperoleh bonus sebulan gaji.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, banyak peruntukan disalurkan ke kawasan luar bandar, sekali gus mampu merapatkan jurang taraf hidup antara penduduk bandar dan luar bandar yang selama ini agak ketara.

Mengenai penghapusan semua yuran peperiksaan sekolah, beliau berkata, ia juga hadiah kepada ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

Menurut Mohd. Ali, bagi Melaka pula kerajaan negeri dapat menjimatkan wang RM600,000 setahun ekoran penghapusan yuran peperiksaan.

Ini kerana selama ini kerajaan negeri membantu membayar yuran kepada pelajar bagi menduduki sebarang peperiksaan yang diperkenalkan sejak empat tahun lepas.

‘‘Kerajaan sememangnya prihatin kerana ramai ibu bapa terpaksa menanggung perbelanjaan hidup seharian akibat kenaikan harga minyak di pasaran,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Gerakan Belia 4B kawasan Dungun di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini malam tadi, beliau berkata, Bajet 2007 banyak membantu orang Melayu.

Mohd. Ali berkata, masyarakat Melayu banyak menerima manfaat daripada bajet itu berdasarkan peruntukan besar yang disediakan kerajaan untuk pembangunan luar bandar dan pembangunan modal insan.

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.