Untitled Document
03/09/2006

Mesra rakyat, mesra perniagaan

Mesra rakyat, mesra perniagaan

Oleh: IZHAM YUSOFF

MENYELURUH , meliputi semua sektor ekonomi, merangsang perniagaan, melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta mempunyai fokus dan hala tuju cukup jelas. Itulah intipati utama Bajet 2007 yang telah dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin.

Bagi rakyat jelata, Bajet 2007 jelas bersifat prihatin dan mesra rakyat. Pemberian pelbagai insentif, pemansuhan yuran peperiksaan peringkat sekolah, pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang dari keluarga susah, pelepasan cukai bagi membeli buku yang dinaikkan dan pelbagai bentuk bantuan pendidikan lain, meringankan beban rakyat ketika kos sara hidup semakin meningkat berikutan kenaikan harga barangan keperluan akibat tempias kenaikan harga minyak dunia dan kelembapan ekonomi global.

Bagi kakitangan awam pula Bajet 2007 ibarat ‘durian runtuh'. Selain perkhabaran paling ditunggu-tunggu iaitu bonus antara satu ke dua bulan, tentunya kenaikan Imbuhan Tetap Khidmat Awam antara RM30 ke RM50 sebulan, kelayakan pinjaman perumahan kakitangan yang dinaikkan 20 peratus dan elaun sara hidup (Cola) kepada 146,000 kakitangan yang tinggal dikuarters amat dialu-alukan.

Namun apa yang menarik untuk dikupas ialah impak Bajet 2007 kepada ahli perniagaan, sektor swasta dan korporat.

Selepas Bajet 2006 berjaya menyeimbangkan antara komitmen kerajaan dalam mengurangkan defisit bajet dengan langkah mencergaskan kegiatan ekonomi negara - Bajet 2007 yang bertemakan `Melaksanakan Misi Nasional Ke Arah Mencapai Wawasan Negara' pula dirangka dengan begitu baik dan teliti dengan menyediakan langkah dan insentif khusus bagi mencapai setiap teras dalam Misi Nasional.

Selain mesra rakyat, Bajet 2007 boleh dianggap sebagai mesra perniagaan. Ia menekankan kepada usaha lebih jelas kerajaan dalam mencapai semua teras yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP-3).

Penekanan khusus diberikan kepada usaha membangunkan sektor ekonomi yang dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan baru ekonomi di bawah RMK-9 dan IMP-3. Ini dapat dilihat daripada insentif bagi memajukan sektor seperti bioteknologi, pertanian, pembinaan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Insentif yang dicadangkan dalam bajet kali ini dijangka mampu menggalakkan perbelanjaan swasta bagi membolehkan sektor domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan terutama dalam persekitaran ekonomi global yang dijangka menyederhana tahun depan.

Harus diingat, Malaysia yang ekonominya bergantung kepada pasaran eksport sebagai salah satu punca utama pendapatan boleh terjejas jika terlalu bergantung kepada sumber eksport terutama apabila rakan dagang utamanya seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah mengalami pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

Justeru, pelbagai insentif yang diperkenalkan dalam bajet kali ini diyakini akan menggalakkan pelaburan domestik bagi mengurangkan kesan daripada pertumbuhan ekonomi global yang dijangka sederhana tahun depan. Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan mengurangkan defisit dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran mencabar.

Pendek kata kerajaan meningkatkan perbelanjaan pada 2007 untuk mengurangkan risiko kelembapan ekonomi dan kesan negatif akibat penurunan ekonomi global.

Cadangan supaya kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan misalnya, adalah satu isyarat jelas untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta.

Manakala potongan cukai korporat kepada 27 peratus tahun depan dan 26 peratus pada 2008, dianggap sebagai kejutan dalam Bajet 2007, yang dianggap berupaya merancakkan lagi pelaburan dan memberi kesan positif kepada pasaran saham. Ini kerana cukai korporat 28 peratus yang dikenakan sejak 1998 dianggap tinggi berbanding negara serantau lain.

Satu peratus ini sebenarnya amat besar nilainya kerana ia bersamaan dengan RM1 bilion. Biarpun pengurangan cukai itu akan menyebabkan kehilangan hasil yang besar berjumlah RM2 bilion, namun ia diyakini akan memberi kesan positif ke atas ekonomi negara.

Potongan cukai korporat kepada 27 peratus tahun depan dan 26 peratus pada 2008 akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi serantau yang menarik kepada pelabur asing kerana insentif berkenaan adalah satu langkah yang boleh meningkatkan motivasi pelabur.

Kejutan yang diumumkan Abdullah boleh dianggap sebagai satu langkah positif ke arah menggalakkan pelaburan dan mendorong kemasukan pelaburan potfolio asing di pasaran ekuiti dalam jangka panjang. Potongan cukai itu dilihat sebagai begitu bermakna bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Penurunan cukai korporat dengan dasar kewangan yang membantu ketika ini akan meningkatkan keuntungan korporat dan juga merangsang pertumbuhan baru. Penurunan kadar cukai dan pelbagai insentif lain juga sudah pasti akan menggalakkan pelaburan asing langsung (FDI) dan pelaburan pofolio ke negara ini.

Manakala langkah kerajaan mahukan syarikat senarai awam (PLC) mendedahkan pembabitan mereka dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan menggalakkan amalan berguna di kalangan korporat tempatan.

Bajet kali ini adalah transformasi negara kepada sebuah ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Ini akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing bagi FDI.

Langkah kerajaan memberikan insentif bagi menggalakkan pembangunan hab halal dan sektor kewangan Islam akan meletakkan negara pada kedudukan lebih baik dalam bidang yang mana ia mempunyai kelebihan. Cadangan menubuhkan Perbadanan Kemajuan Industri Halal yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan geran pelancaran RM25 juta akan dapat memastikan segala usaha memajukan industri halal dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh.

Adalah jelas Bajet 2007 mengambil kira ketegangan geopolitik yang melembapkan ekonomi dunia, kebimbangan mengenai inflasi dan kenaikan kadar faedah. Justeru pelbagai insentif diperkenalkan bagi mengerakkan pelaburan swasta dan perbelanjaan pengguna.

Bajet 2007 - bajet pertama selepas pembentangan RMK-9 dan IMP-3 memperincikan langkah untuk mencapai apa yang digariskan dalam kedua-dua pelan induk dan teras Misi Nasional, termasuk menggerakkan ekonomi Malaysia ke paras lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan dalam negara dan memupuk mentaliti kelas pertama di kalangan rakyat.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga terus diberi perhatian apabila Multimedia Development Corporation (MDeC) menerima peruntukan sebanyak RM154 juta untuk menjalankan pelbagai aktiviti bagi membangunkan firma PKS dalam bidang ICT. Dengan bilangan PKS merangkumi 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan, ia berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan sektor swasta.

Insentif bagi membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam bila mana Perbankan Islam dan entiti takaful yang melaksanakan perniagaan dalam mata wang asing dan dilesenkan mengikut Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984, dicadang diberi pengecualian cukai penuh bagi 10 tahun berkuatkuasa 2007 hingga 2016 juga satu lagi tarikan bagi sektor berkaitan.

Kerajaan juga mencadangkan tambahan pengecualian duti setem 20 peratus diberi pada instrumen berkaitan kepada perbankan Islam bagi tempoh tiga tahun, mulai 2 September 2006 sehingga 9 Disember 2009. Sebagai tambahan ia mencadangakn pengecualian bagi tempoh 10 tahun diberi kepada pengurus dana tempatan dan asing yang menguruskan dana Islam bagi pelabur asing.

Kini syarikat asing dan tempatan yang dilesenkan mengikut Status Pengurusan Dana Asing Yang Diluluskan untuk mengurus dana pelaburan asing dikenakan cukai pendapatan pada kadar konsesi 10 peratus.

Umumnya sektor korporat, perbankan dan kewangan menyambut baik fokus yang signifikan pada perbankan Islam dan pelbagai insentif cukai dalam bajet 2007 untuk menjadikan Malaysia hab kewangan Islam global utama serta untuk menggalakkan bank tempatan meneroka ke seberang laut.

Insentif itu diyakini akan merangsang bukan sahaja institusi kewangan Islam tempatan, malah akan menarik lebih banyak institusi kewangan global untuk beroperasi di negara ini dan ini akan mempercepatkan proses liberalisasi sistem kewangan Islam di negara ini.

Sementara keputusan kerajaan untuk menaikkan modal berbayar bank kepada RM2.7 bilion daripada RM370 juta akan menguatkan mereka dan meningkatkan asas pelanggan masing-masing bagi membolehkan mereka meneroka ke seberang laut.

Namun pendapat Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bahawa mesti ada ketelusan dalam pelaksanaan dan pengagihan dana-dana yang diperuntukkan tidak harus dipandang sepi.

Kerajaan perlu memastikan ketelusan dalam pelaksanaan pelbagai strategi bajet terutamanya dalam pengagihan geran-geran dan pinjaman-pinjaman di bawah pelbagai dana. Dana-dana patut dikeluarkan secara telus dan proses tidak patut birokratik.

Dengan meningkatnya ketidaktentuan luaran berikutan harga minyak dan kadar faedah yang tinggi, ketidakseimbangan global serta kelembapan ekonomi global, Bajet 2007 menggunakan pendekatan tersendiri untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan mengatasi cabaran mendatang.

Bajet 2007 membuka jalan menggerakkan sektor swasta sebagai penjana utama pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah melahirkan keyakinan ekonomi negara tahun ini akan mencatat pertumbuhan sekurang-kurangnya 5.8 peratus, selain jangkaan pertumbuhan 6 peratus untuk tahun depan.

Namun dengan tindakan bijak dan pendekatan pintar yang digariskan pucuk kepemimpinan negara menerusi Bajet 2007, pertumbuhan ekonomi negara tahun depan dijangka mampu melepasi matlamat ditetapkan iaitu melebihi 6 peratus, berbanding ekonomi global bagi tahun 2007 yang dijangka lebih perlahan pada kadar 4.7 peratus, kesan kenaikan harga minyak yang kekal tinggi dan ketegangan geopolitik.

- PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif KUB Malaysia Berhad

 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.