21/10/2005

Kronologi Datin Seri Endon Mahmood

Kronologi Datin Seri Endon Mahmood

* Disember 2000 - Kakak kembar Endon, Noraini disahkan menghidap kanser payu dara. Ini menimbulkan rasa cemas kepada Endon atas pertalian sebagai saudara kembar.

* 2002 - Endon didiagnosis menghidap kanser payu dara menyebabkannya terpaksa menjalani rawatan lanjut setiap beberapa bulan di Amerika Syarikat (AS).

Pada peringkat awal, Endon memutuskan untuk mengambil perubatan herba dan dirawat oleh seorang profesor pelawat dari China.

Selepas beberapa bulan mencuba petua yang disyorkan, ketumbuhan payu daranya mula mengecut.

* April 2002 - Endon berlepas ke Los Angeles (LA) dan telah menjalani pemeriksaan di dua buah hospital di Amerika Syarikat (AS) - UCLA Hospital iaitu sebuah hospital latihan perubatan dan Pusat Penyelidikan Kanser John Wayne (JWCI), St. John's Medical Centre yang merupakan sebuah hospital swasta.

* 18 April 2002 - Beliau menjalani mastektomi radikal iaitu pembedahan membuang payu dara bersama-sama noda-noda limfa dan otot-otot pada ketiak dan rawatan radiasi di JWCI.

Sepanjang tempoh rawatan, Endon telah menjalani 33 sesi radiasi dan fisioterapi serta urutan limfa, iaitu rawatan yang sangat penting selepas pembedahan kanser payu dara. Beliau perlu mengambil 20 jenis ubat setiap hari.

* 4 Januari 2003 - Kakak kembar Endon, Noraini, 63, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser payu dara.

* Januari 2004 - Endon berlepas ke AS sebelum sambutan Tahun Baru Cina bagi menjalani rawatan susulan penyakit kanser payu dara yang dihidapinya.

* 2 Februari 2004 - Ibu Perdana Menteri, Datuk Kailan Hassan, 79, meninggal dunia. Namun Endon tidak dapat hadir kerana menjalani rawatan perubatan di luar negara, seminggu sebelum itu.

* 2 Mac 2004 - Beliau kembali ke tanah air selepas lebih sebulan menjalani rawatan kanser di AS untuk membantu suaminya berkempen bagi menghadapi pilihan raya umum ke-11.

Namun Endon mengakui agak ralat kerana keadaan kesihatannya tidak membolehkan beliau sentiasa menemani suaminya berkempen untuk pilihan raya umum itu.

* 19 Mac 2004 - Endon memanfaatkan pengalaman dan pemerhatian ketika menjalani rawatan kanser di LA dengan mewujudkan kumpulan sokongan `Penyayang Pesakit Kanser' di Hospital Putrajaya.

* Jun 2004 - Endon sekali lagi menjalani rawatan kanser di AS selama dua bulan setengah.

* Julai 2004 - Endon tidak dapat menghadiri Perhimpunan Agung UMNO kerana masih menjalani rawatan di luar negara.

* Ogos 2004 - Beliau kembali daripada rawatan tersebut dan kepulangannya disambut oleh Abdullah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

* 24 Ogos 2004 - Endon dianugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah bagi menghargai ketabahan menghadapi cabaran sebagai pesakit barah.

Endon menyifatkan seseorang pesakit kanser boleh diibaratkan sebagai `pemenang' kerana kekuatan, ketabahan dan semangat jitu mereka berjuang melawan penyakit tersebut.

* Jun 2005 - Endon berlepas ke LA untuk rawatan kemoterapi Abraxene yang belum diperkenalkan di negara ini, tetapi ia terbukti berkesan dalam menangani kanser payu dara.

* Ogos 2005 - Abdullah berlepas ke AS bagi menemani isterinya yang menjalani rawatan susulan kemoterapi itu. Beliau

meluangkan masa hampir seminggu bersama isteri dan keluarganya di AS.

* 26 Ogos 2005 - Perdana Menteri berkata, teknologi 3G yang membolehkan pengguna telefon bimbit melihat wajah orang yang dihubungi, dimanfaatkan oleh beliau untuk mengubati rindu terhadap isterinya.

* 18 September 2005 - Perdana Menteri berkata, kesihatan Endon `bertambah baik' berikutan kemoterapi yang diberikan kepadanya.

* 2 Oktober 2005 - Abdullah berkata, Endon telah menyatakan hasratnya untuk pulang ke Malaysia bagi menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri semasa beliau mengunjungi isterinya di LA bulan lalu.

* 2 Oktober 2005 - Endon pulang ke tanah air, namun beliau dalam keadaan lemah berikutan rawatan intensif yang dilalui dan dimasukkan di Hospital Putrajaya untuk pemerhatian.

* Sejak diletakkan di bawah penjagaan rapi di Hospital Putrajaya, beliau menunjukkan keadaan yang semakin pulih, meskipun perlahan.

* Awal minggu ini, Endon telah dibawa pulang ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana.

* 20 Oktober 2005 - Setelah bertahun-tahun berjuang melawan kanser payu dara, akhirnya pada pukul 7.55 pagi, Endon menghembuskan nafas terakhir di samping suami dan keluarga di Seri Perdana.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]