21/10/2005

Cekal mengharung derita

Cekal mengharung derita

Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)


Penyokong nombor satu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood meninggal dunia di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya jam 7.55 pagi semalam setelah beberapa tahun bertarung melawan kanser payu dara.

Pemergian Allahyarham adalah kurang dua bulan menjelang ulang tahun ke-40 perkahwinan mereka.

Kedua-dua pasangan ini berkenalan semasa sama-sama bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 1960-an dan berkahwin pada 4 September 1965.

Berita kematian Endon ketika orang ramai hendak memulakan urusan harian semalam, mengejutkan negara.

Abdullah bersama-sama dua anaknya Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu, anak kepada Kamaluddin berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembus nafas terakhirnya. Ibu Allahyarham Datin Mariam Abdullah juga berada di sisinya.

Abdullah selalu menyatakan secara terbuka bahawa Endon `penyokong nombor satunya.' Semasa bonda Perdana Menteri meninggal dunia pada Februari 2004, Abdullah menelefon Endon di Amerika Syarikat (AS) di mana beliau menjalani rawatan.

Apabila pulang ke tanah air, Endon memberitahu wartawan bahawa Abdullah berkata: ``Saya telah kehilangan ibu dan saya tidak mahu kehilangan kamu juga.''

Harapan itu disambut. Isteri Perdana Menteri tidak pernah mengaku kalah ketika bertarung dengan kanser payu dara yang dikesaninya sejak kematian kembarnya akibat penyakit serupa lebih tiga tahun lepas.

Malah ketabahan Allahyarham menjalani pelbagai rawatan, baik moden dan tradisional di dalam dan luar negara, telah memberi semangat kepada mereka yang menghidapi penyakit yang sama untuk terus cekal menghadapi dugaan.

Dalam satu pertemuan khas dengan wartawan Utusan Malaysia, Ruhaidini Abd. Kadir di kediamannya di Putrajaya akhir Ogos 2002, Endon yang sudi berkongsi pengalaman menentang kanser memberitahu, beliau tidak pernah sakit teruk sepanjang hayatnya.

Hanya pada akhir tahun 2000, rasa cemas Allahyarham mula memuncak apabila mengetahui kakak kembarnya, Noraini disahkan menghidap kanser payu dara. Kakak kembarnya meninggal dunia pada 4 Januari 2003.

Sebagai adik kembar Noraini, anak kedua daripada sembilan adik-beradik, pada awalnya Endon cuba menepis sebarang andaian menakutkan.

Namun takdir Tuhan dan hasil ujian yang dijalani membuktikan Endon juga disahkan menghidap kanser yang sama seperti kakak kembarnya.

Waktu dimaklumkan oleh doktor mengenai penyakit barah itu pada 2001, Endon tidak terus putus asa atau bersedih sebaliknya menghadapi keadaan getir itu dengan hati terbuka serta menanam azam untuk sembuh.

Solat dan berdoa serta berfikiran positif telah membantunya bertahan dengan rawatan yang terpaksa beliau lalui.

Masyarakat tahu keadaan isteri Perdana Menteri yang perlu dirawat; pergerakannya terbatas. Beliau tidak boleh menjejaki langkah seperti Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mengikut Tun Dr. Mahathir Mohamad ke mana-mana.

Pada peringkat awal, Endon pernah mengambil perubatan herba dan dirawat oleh seorang profesor pelawat dari China. Beberapa petua dan nasihat profesor itu memberi kesan apabila ketumbuhan payu dara mula mengecut.

Tetapi gaya hidup yang sentiasa sibuk akhirnya memberi kesan apabila melanggar semua syarat dan amalan yang diberikan oleh profesor berkenaan.

Kesibukan mengurus perkahwinan Nori akhir tahun 2001 dan berpindah ke kediaman baru di Putrajaya menyebabkan ketumbuhannya kembali membesar.

Pada 18 April 2002, Endon menjalani pembedahan membuang payu dara bersama noda-noda limfa dan otot-otot pada ketiak dan rawatan radiasi di Pusat Penyelidikan Kanser John Wayne (JWCI), St. John's Medical Centre sebuah hospital swasta di AS.

Selepas hampir empat bulan menjalani pembedahan kanser payu dara, Endon semakin memahami erti sebenar perawatan dan perasaan yang ditanggung pesakit kanser.

Dengan sokongan padu dan semangat yang kuat daripada keluarganya turut membantu meringankan beban yang ditanggungnya.

Malah Allahyarham pernah mengalirkan air mata sekali sahaja selepas selamat menjalani pembedahan itu.

``Saya bukan menangisi takdir tetapi waktu itu, saya menangis kerana terlalu rindukan Lah (panggilan untuk suami beliau). Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sayunya hati saya tanpa dia di sisi ketika itu,'' cerita Endon kepada Ruhaidini yang suatu ketika beliau juga ternanti-nanti panggilan telefon daripada suaminya.

Namun beliau memahami bahawa negara lebih memerlukan Abdullah yang sibuk dengan tugas Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Malah kecekalan Endon menyembunyikan derita yang dialami akibat penyakit itu membolehkan beliau turun padang memberi sokongan padu kepada Abdullah semasa suaminya selaku Perdana Menteri yang pertama kali menerajui Barisan Nasional pada pilihan raya umum Mac 2004, sedangkan ketika itu beliau baru kembali daripada menjalani rawatan susulan sebulan di AS.

Selepas itu Endon terus menerima rawatan kemoterapi Abraxene dari semasa ke semasa di AS, dan pulang ke tanah air 2 Oktober lepas dengan harapan dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan rakyat.

Beliau kemudian dimasukkan ke Hospital Putrajaya untuk pemerhatian lanjut kerana keadaan fizikalnya masih lemah ekoran rawatan kemoterapi serta penerbangan yang lama dari AS.

Endon tidak pernah kecewa ditakdirkan Allah menghidap kanser, sebaliknya beliau menghargai pengalaman getir itu.

Endon bukan sahaja melawan penyakit kanser yang dihadapinya itu tetapi telah berjuang dengan membantu badan-badan kebajikan untuk pesakit kanser.

Pemergian Endon akan dirasai oleh pihak yang rapat dengan Allahyarham. Tetapi orang yang paling terasa `kehilangannya' tentulah suami yang ditinggalkannya.

Perdana Menteri mungkin akan merindui dakapan mesra dan kasih sayang si isteri apabila setiap kali pulang daripada bertugas untuk agama, bangsa dan negara.

Biodata

Nama: Datin Paduka Seri Endon Datuk Mahmood

Tarikh Lahir: 24 Disember 1940

Keturunan: Melayu

Agama: Islam

Nama suami: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Jumlah anak: Dua orang (seorang lelaki dan perempuan)

Nama anak: Kamaluddin (berkahwin dengan Azrene Abdullah), Nori (berkahwin dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar)

Jumlah cucu: Empat orang (sehingga tahun 2003)

PENDIDIKAN

Sekolah Rendah: Sekolah Kebangsaan Methodist (dahulu dikenali sebagai Sekolah Anglo-Chinese), Kampar, Perak

Sekolah Menengah: St. Mary's Secondary Girls School, Kuala Lumpur

KARIER

Kerajaan:

- Berkhidmat dengan kerajaan sehingga bersara pilihan pada tahun 1976

- Kali terakhir berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam

Swasta:

- Memiliki kedai batik di Plaza Damansara

- Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM) - Canselor pertama di OUM

- Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Presiden Pertubuhan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI)

AKTIVITI LAIN

- Membantu kerja-kerja amal, sosial dan kemasyarakatan khususnya kebajikan dan program membantu wanita serta kanak-kanak.

- Berjaya menerajui beberapa projek kebajikan contohnya Tabung Kebajikan Bosnia, Tabung Kanak-Kanak Korea Utara dan Tabung Kebajikan Kosovo.

© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]