Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


23/02/2008

UPKO letak 10 calon

UPKO letak 10 calon

KOTA KINABALU 22 Feb. - Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan 10 calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 termasuk tiga muka baru.

Presidennya, Datuk Seri Bernard Dompok ketika mengumumkan senarai calon itu berkata, beliau akan bertukar kerusi dari Parlimen Ranau ke Parlimen Penampang manakala penyandang kerusi itu, Donald Peter Mojuntin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog.

Timbalan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Bumburing pula kembali semula ke arena politik apabila bertanding kerusi Parlimen Tuaran menggantikan penyandangnya, Datuk Wilfred Tangau yang digugurkan.

Bumburing sebelum ini pernah memegang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli yang kini diwakili Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak pilihan raya 2004.

Muka baru UPKO iaitu, Siringan Gubat, 59, bertanding di Parlimen Ranau, John Teo Mau Sing, 49, (DUN Kuala Penyu) dan Masiung Banah, 35, (DUN Kuamut).

DUN Kuala Penyu dimenangi calon Bebas pada pilihan raya lalu manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Johnny Intang digugurkan.

Calon UPKO yang kekal ialah Datuk Dr. Marcus Mojigoh (Parlimen Putatan); Datuk Ewon Ebin (DUN Paginatan); Justin Guka (DUN Bingkor) dan Datuk Bobbey Suan (DUN Nabawan).

Dalam pada itu, Bernard Dompok berkata, UPKO akan memastikan semua calonnya menang pada pilihan raya kali ini memandangkan semua calon adalah yang terbaik dan mampu membela nasib rakyat.

Ditanya sebab beliau berpindah ke Penampang, Dompok menjelaskan bahawa sudah tiba masanya beliau menyerahkan kembali Ranau kepada calon anak kelahiran Ranau sendiri.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing