Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


09/08/2008

Mahkamah tolak dengan kos 3 petisyen pilihan raya di Perak

Mahkamah tolak dengan kos 3 petisyen pilihan raya di Perak

IPOH 8 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan dengan kos tiga petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau, Lubok Merbau dan Kuala Sepetang.

Hakim Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim memutuskan demikian selepas menerima bantahan yang dikemukakan pihak responden iaitu Ahli DUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri (Pas); Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof (Pas) dan Tai Sing Ng (Parti Keadilan Rakyat).

Petisyen bagi kerusi DUN Kuala Kurau difailkan oleh Mohd. Salleh Mat Disa, Datuk Jamal Nasir Basri bagi DUN Lubok Merbau manakala See Tean Seng memfailkan petisyen bagi kerusi DUN Kuala Sepetang.

Selaku calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Salleh antara lain dalam petisyennya mendakwa responden pertama iaitu Abdul Yunus menerusi tiga pekerja atau agennya yang berbaju kuning telah merayu pengundi di dalam kawasan 50 meter pusat pengundian di Sekolah Agama Al-Hidayah.

Wan Arfah bagaimanapun menolak dakwaan itu kerana Abdul Yunus sendiri gagal mengaitkan bagaimana kehadiran tiga individu itu boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Beliau juga menolak petisyen Jamal Nasir Basri kerana gagal membuktikan Mohd. Zainuddin selaku responden pertama melakukan rasuah apabila memasang kain rentang atau poster yang mengandungi maklumat tertentu semasa berkempen.

Katanya, sesuatu kain rentang semasa kempen pilihan raya sudah semestinya mempunyai maklumat dan tidak mungkin responden itu akan memasang kain rentang yang kosong.

Bagi petisyen ketiga, Hakim Wan Arfah menolaknya dengan alasan Tean Seng gagal mengenal pasti individu yang melakukan rasuah dan mengaitkannya dengan responden.

Sehubungan itu, Hakim Wan Arfah memutuskan untuk menolak setiap petisyen yang dikemukakan dengan kos yang secara tidak langsung mengekalkan keputusan pilihan raya sedia ada.

Pada pilihan raya umum lepas, Abdul Yunus memenangi kerusi DUN Kuala Kurau dengan majoriti 467 undi, Mohd. Zainuddin pula menang dengan majoriti 72 undi di Lubok Merbau manakala Sing Ng menang di DUN Kuala Sepetang dengan 564 undi.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing