Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


08/11/2008

UPKO puas hati penjelasan Kabinet

UPKO puas hati penjelasan Kabinet

KOTA KINABALU 7 Nov. - Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berpuas hati dengan penjelasan Kabinet hari ini berhubung pembangunan industri gas yang bakal menyaksikan penubuhan sebuah pusat industri berasaskan petrokimia di Sabah.

Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok berkata, pihaknya dan rakyat berterima kasih dengan jaminan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan gas yang ditemui di perairan Sabah turut diproses di negeri ini.

"Kabinet menyatakan pusat industri berasaskan petrokimia turut dibina di Sabah menggunakan hasil galian gas dan minyak yang ditemui di negeri ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Dompok yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas perkembangan mengenai isu pembinaan paip gas dari Kimanis ke Bintulu, Sarawak yang dibawanya ke mesyuarat Kabinet hari ini.

UPKO sebelum ini membantah keras pembinaan paip tersebut kerana mendakwa merugikan rakyat Sabah kerana sepatutnya dimanfaatkan bagi mewujudkan industri hiliran berasaskan gas di negeri ini.

Dompok berkata, Kabinet memaklumkan bahawa gas yang akan disalurkan ke Sarawak adalah lebihan selepas digunakan dalam industri berkaitan di Sabah.

Menurutnya, lebih banyak aktiviti ekonomi akan dapat dijana terutama pembinaan kilang-kilang dan loji-loji berkaitan bagi menjamin sumber tenaga bagi negeri ini.

"Saya bagi pihak UPKO dan rakyat Sabah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan di atas keprihatinan ini," ujarnya.

Beliau yakin, Sabah akan mendapat banyak manfaat termasuk membantu negeri ini aktif dalam aktiviti hiliran industri gas dan minyak.

Tambah beliau, pembinaan loji petrokimia dan paip gas mampu membantu memajukan lagi ekonomi Sabah yang selama ini ketinggalan dalam aspek pembangunan industri.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing