Utusan Online
Untitled Document
 
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita


26/09/2009

Kerajaan negeri bincang kritikan Hassan Ali Isnin ini

Kerajaan negeri bincang kritikan Hassan Ali Isnin ini

SHAH ALAM 25 Sept. - Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kritikan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Negeri Selangor, Isnin ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semua pihak yang terlibat dalam isu tersebut termasuk ahli-ahli Selcat, para pegawai daerah dan Hassan sendiri akan dipanggil menghadiri mesyuarat itu.

''Saya percaya isu ini timbul akibat salah faham antara pihak-pihak yang terlibat.

''Saya akan mempengerusikan mesyuarat yang akan dihadiri semua pihak yang terlibat bagi memberi peluang kepada mereka untuk memberikan pandangan dan menjelaskan perkara tersebut," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, beliau yakin semua pihak yang terlibat akan memahami tanggungjawab masing-masing dan dapat bekerjasama dalam satu pasukan bagi membantu melancarkan pentadbiran di negeri ini.

Hassan sebelum ini mengkritik cara Selcat menyoal pegawai-pegawai daerah yang dipanggil menjadi saksi dalam sesi pendengaran awam Selcat dan mahu rombakan dibuat dalam jawatankuasa itu.

Kritikan Hassan kemudian mengundang pelbagai reaksi hingga menyebabkan beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd. Azmin Ali dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak beliau berundur daripada pakatan itu.

Semalam Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman mengeluarkan kenyataan sedia mengkaji cadangan wakil rakyat yang mahu parti itu melihat semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang di Selangor.

Sementara itu, Hassan yang ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini enggan mengulas mengenai reaksi pelbagai pihak berikutan kritikan yang dibuatnya terhadap Selcat.

Beliau juga enggan mengulas desakan pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang mahu dia berundur daripada parti campuran itu.

''Tolonglah bagi saya masa. Saya mahu berbincang dengan rakan-rakan dalam Pas terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan," ujarnya.


Error: E:\utusan\html\menarik_pilihanraya2008.htm is missing