12/12/2009

Petanque raih perak

Petanque raih perak

VIENTIANE – Mohd. Firdaus Adli Bakri mengalirkan air mata dan terpaksa dipujuk hampir lima minit selepas mensia-siakan detik terbaik untuk melakar sejarah petanque negara apabila menamatkan cabaran dengan meraih perak dalam saingan perseorangan lelaki di sini, semalam.

Firdaus hanya memerlukan dua lagi mata untuk muncul juara selepas mendahului selesa 11-5, namun dia membenarkan perasaan gemuruh menguasai diri dan akhirnya tewas 11-13 kepada Sok Chanmean dari Kemboja.

Pemain berusia 25 tahun itu pada mulanya menjadi calon terbaik untuk memenangi emas selepas mengejutkan juara bertahan dan pilihan utama, Pakin Phukram dari Thailand 13-6.

“Ia sudah begitu hampir... sangat.. sangat hampir (memenangi emas) tetapi nasib tidak menyebelahi Firdaus. Ketika mendahului 11-5 dia sepatutnya lebih tenang tetapi sebaliknya dia mula merasa gemuruh,” kata jurulatih kebangsaan, Zulkifli Salim. – Utusan